Tawaran Naik Taraf Percuma ke Windows 10 Untuk Pengguna Yang Menggunakan Teknologi Bantuan


Bagi orang awam, tawaran naik taraf percuma untuk Windows 10 berakhir pada 29 Julai 2016. Walau bagaimanapun, jika anda menggunakan teknologi bantuan seperti screen reader, anda masih boleh mendapatkan tawaran naik taraf percuma walaupun selepas tarikh akhir awam tamat kerana pihak Microsoft terus usaha untuk meningkatkan keupayaan Windows 10 untuk pengguna yang menggunakan teknologi bantuan.


Dengan Windows 10 Anniversary Update, pihak Microsoft telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan keupayaan accessibility untuk Windows 10. Untuk mengetahui lebih lanjut, sila baca blog Microsoft yang menerangkan beberapa pembaikan ini.


Sebelum anda menaik taraf ke Windows 10, sila periksa dengan pembekal teknologi bantuan anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keserasian perisian mereka dengan Windows 10. Jika anda sudah bersedia untuk naik taraf ke Windows 10 dan ingin mengambil kesempatan daripada tawaran naik taraf percuma, tekan pautan di bawah untuk memulakan proses naik taraf.


Ya, saya menggunakan teknologi bantuan dan saya bersedia untuk naik taraf percuma ke Windows 10.


NOTA: Pautan di atas akan mmuat turun satu fail bernama (Windows10Upgrade9252.exe) dan anda harus memasang pada komputer yang ingin dinaik taraf ke Windows 10 dan ikut arahan selanjutnya pada komputer anda.


Sumber daripada microsoft.com


Demonstrasi Apple TV – MYVICTCast


Salam sejahtera semua.

Dalam episod MYVICTCast kali ini, saya akan membuat demonstrasi tentang salah satu jenis TV pintar (Smart TV) yang ada di pasaran iaitu Apple TV.


Model Apple TV yang akan digunakan dalam demonstrasi ini adalah Apple TV generasi ketiga. Harap MYVICTCast kali ini akan memberikan sedikit pendedahan dan pengetahuan kepada anda di luar sana yang mungkin tidak tahu tentang Apple TV. Selamat mendengar.


P/S: Saya memohon maaf atas suara Voiceover yang mungkin agak perlahan tapi masih boleh didengar.

Windows 7 Boleh Digunakan Sehingga 2020, Windows 8 Sehingga 2023



Kebanyakan pembaca MYVICT mungkin sudah tahu bahawa tempoh untuk naik taraf ke Windows 10 akan tamat menjelang tengah malam ini. Pelbagai kaedah telah digunakan oleh pihak Microsoft untuk menggalakkan pengguna Windows 7, Windows 8, dan Windows 8.1 yang tulin untuk naik taraf ke versi Windows yang terbaru. Walau bagaimanapun, mungkin ada yang masih enggan untuk naik taraf ke Windows 10 atas sebab sebab tertentu, lalu telah mencuba apa juga cara untuk menghalang proses naik taraf tersebut daripada dijalankan.


Jika anda salah seorang daripada pengguna Windows 7 atau Windows 8/8.1 yang tidak mahu upgrade ke Windows 10, anda masih boleh menggunakan Windows 7 selepas tarikh 29 Julai, tetapi proses upgrade selepas tarikh tersebut tidak lagi percuma. Walaupun Microsoft tidak lagi menambah ciri baru dalam kemaskini windows 7 sejak 13 Januari 2015 (Mainstream Support Ends January 2015), mereka masih akan menyokong sistem operasi Windows 7 sehingga 14 Januari 2020 (End of Extended Support). Selepas tarikh tersebut, tiada sebarang kemaskini sekuriti akan diperkenalkan. Untuk Windows 8 dan Windows 8.1, “Mainstream Support” akan tamat pada 9 Januari 2018, manakala “Extended Support” pula adalah sehingga 10 Januari 2023.


Oleh itu, disarankan agar pengguna Windows 7 dan Windows 8/8.1 mula naik taraf ke Windows yang lebih baru sebelum tamat tarikh sokongan rasmi yang disenaraikan di atas, agar keselamatan sistem anda terjamin. Kami merasakan bahawa tempoh sokongan yang diberikan itu adalah munasabah, memandangkan setiap komputer juga mempunyai jangka hayat yang tertentu sebelum ia perlu digantikan.


Sumber daripada Windows lifecycle fact sheet

Tempoh Naik Taraf Secara Percuma ke Windows 10 Hampir Tamat


29 Julai 2015, Microsoft telah melancarkan Windows 10 secara rasminya. Bukan setakat itu, semua pengguna Windows 7 dan Windows 8/8.1 boleh menaik taraf sistem operasi mereka ke Windows 10 secara percuma dalam tempoh setahun selepas pelancaran sistem operasi terbaru ini daripada Microsoft.


Sedar atau tidak, tempoh naik taraf secara percuma itu hampir tamat menjelang penghujung julai ini. Ya, kami tahu, mungkin post ini agak lewat tapi anda masih ada masa lebih kurang 10 hari lagi untuk menaik taraf ke Windows 10. Menurut Microsoft, lebih kurang tiga ratus juta komputer telah dinaik taraf ke windows 10 secara percuma semenjak ia ditawarkan hamper setahun yang lalu. Sumber daripada Windows Experience Blog menyatakan bahawa naik taraf ke Windows 10 ini akan tamat pada 29 Julai 2016. Selepas tarikh tersebut, pengguna yang hendak menggunakan Windows 10 boleh membeli komputer yang telah dilengkapi dengan sistem operasi tersebut, ataupun membeli lessen Windows 10 daripada pengedar sah Microsoft.


Bagi mereka yang berminat untuk naik taraf ke Windows 10 tetapi kurang pasti akan langkah-langkah untuk naik taraf, kami ada menghasilkan sebuah audio tutorial khusus untuk membantu mereka yang mungkin memerlukan. Audio tutorial ini terbahagi kepada tiga bahagian. Sesiapa yang berminat, boleh klik tiga pautan di bawah:


Upgrade ke Windows 10 Bahagian 1


Upgrade ke Windows 10 Bahagian 2


Upgrade ke Windows 10 Bahagian 3

Kemas Kini JAWS 17 Menyokong Mail App pada Windows 10


Ramai dalam kalangan pengguna perisian pembaca skrin (screen readers) mempunyai pilihan tersendiri apabila hendak mengakses emel. Ada yang lebih gemar menggunakan antaramuka web, dan ada yang gemar menggunakan mail client pada windows. Semenjak dari Windows 8 sehingga sekarang, semua sudah sedia maklum bahawa Mail App yang tersedia pada Windows tidak mesra pengguna screen reader. Hal ini menyebabkan ramai yang menggunakan perisian lain seperti Mozilla Thunderbird, Windows Live Mail, dan beberapa lagi perisian lain untuk mengakses emel.


Namun demikian, sejak kebelakangan ini timbul pelbagai usaha dalam kalangan pembangun perisian screen reader untuk cuba membina sokongan bagi Windows 10 Mail App. Pihak VFO, ataupun lebih dikenali sebagai Freedom Scientific baru sahaja mengeluarkan kemas kini bagi perisian screen reader JAWS. melalui kemas kini terbaru ini, mereka menyatakan bahawa kerjasama dengan pihak Microsoft membolehkan JAWS berfungsi di Mail App pada Windows 10. Selain menyokong Mail App, kemas kini terbaru JAWS juga membawa beberapa penambahbaikan, termasuk pada calculator di Windows 10. Untuk melihat senarai penambahbaikan pada versi terbaru JAWS, sila layari halaman ini.


Sementara itu pula, NVAccess, iaitu pembangun perisian screen reader percuma NVDA yang berasaskan sumber terbuka juga sedang dalam proses membina sokongan untuk Mail App di Windows 10. Ini merupakan suatu perkara yang dinanti-nantikan, kerana apabila perisian Mail pada Windows boleh digunakan dengan perisian pembaca skrin, kita tidak lagi perlu terlalu bergantung kepada perisian pihak ketiga untuk mengakses emel, sekaligus mengurangkan perisian yang perlu dipasang pada Windows.


Bagi pengguna perisian JAWS, bolehlah ke halaman Freedom Scientific untuk muat turun kemas kini yang terbaru dan mencubanya pada perisian Mail pada Windows 10.


WhatsApp untuk Beberapa Platform Akan Berhenti Berfungsi Hujung Tahun Ini


Symbian merupakan platform pertama yang menyokong perisian pembaca skrin. Sebelum kewujudan Symbian, pengguna telefon Nokia yang bermasalah penglihatan terpaksa bergantung kepada kaedah menghafal kedudukan sesuatu menu pada telefon. Untuk membaca SMS pula, mereka perlu meminta bantuan rakan di sekeliling. Kewujudan Symbian dan perisian pembaca skrin membuka jalan bagi memgolehkan golongan OKU yang bermasalah penglihatan menggunakan telefon pintar.


Namun, pada hari ini, Symbian sudah semakin dilupakan atas sebab perkembangan meluas pada sistem operasi Android dan iOS yang mendominasi pasaran telefon pintar dunia. Malahan, sistem operasi symbian telah pun ditamatkan sepenuhnya pada awal tahun 2014, menjadikan platform Symbian lenyap terus.


Kebiasaannya, apabila sokongan bagi sesuatu sistem operasi seperti Symbian ditamatkan, pengeluar aplikasi akan turut menghentikan sokongan aplikasi mereka pada platform tersebut kerana sistem operasi itu sudah tidak digunakan oleh majoriti pengguna. Namun begitu, salah satu aplikasi sosial yang popular, iaitu WhatsApp masih menyokong platform Symbian sehingga bertahun lamanya walaupun Symbian sudah jarang digunakan.


Dalam kenyataan pada Febuari lalu, pihak WhatsApp mengatakan bahawa mereka akan menamatkan sokongan pada sejumlah platform pada penghujung tahun ini kerana platform tersebut tidak menyediakan beberapa perkara yang membolehkan WhatsApp menawarkan fungsi baru pada platform berkenaan. Baru-baru ini, WhatsApp telah berkongsi bahawa sokongan bagi platform Symbian akan tamat pada 31 disember 2016. Pengguna yang masih menggunakan WhatsApp pada peranti Symbian telah mula menerima notifikasi mengenai perkara tersebut. Selain Symbian, WhatsApp turut menghentikan sokongan pada platform Android 2.2 dan kebawah, Blackberry 10, dan Windows Phone 7.1. Jika anda masih setia menggunakan peranti symbian ataupun peranti-peranti yang menggunakan platform yang disebutkan, anda hanya mempunyai beberapa bulan lagi untuk membuat keputusan mendapatkan peranti dengan platform yang lebih baru untuk terus menggunakan aplikasi WhatsApp.