Spesifikasi iPhone X, iPhone 8 Plus, dan iPhone 8


Apple melancarkan tiga model iPhone baru pada acara tahunan baru-baru ini, di mana iPhone X menjadi tumpuan bersempena 10 tahun pelancaran iPhone. Dengan ini, berikut adalah spesifikasi iPhone bagi ketiga-tiga model yang dilancarkan.


Persamaan iPhone X, iPhone 8 Plus, dan iPhone 8

  1. Kesemua model iPhone ini hadir dengan iOS 11.
  2. Tahap kalis air pada iPhone X, iPhone 8 Plus, dan iPhone 8 adalah IP67
  3. Ketiga-tiga peranti ini menyokong fungsi fast charging dan pengecasan tanpa wayar dengan format Qi. Namun agak mengecewakan kerana aksesori yang berasingan perlu dibeli.
  4. Processor pada kesemua telefon ini ialah A11 Bionic enam teras dengan sokongan architecture 64-bit dan M10 motion coprocessor.
  5. iPhone tahun ini hanya didatangkan dengan pilihan storan 64GB dan 256GB sahaja.
  6. Masing-masing menyokong fungsi NFC untuk Apple Pay, serta menggunakan Bluetooth 5.0
  7. Kesemua iPhone pada tahun ini tidak mempunyai 3.5MM headphone jack, sama seperti iPhone 7 dan iPhone 7 Plus tahun lepas.


Spesifikasi iPhone X, iPhone 8 Plus, dan iPhone 8


Spesifikasi iPhone 8 iPhone 8 Plus iPhone X
Sais 5.45 x 2.65 x 0.29 inci 6.24 x 3.07 x 0.30 inci 5.65 x 2.79 x 0.30 inci
Skrin 4.7-inci LCD dengan sokongan Retina HD 5.5-inci LCD dengan sokongan Retina HD Skrin Nirbingkai 5.8-inci OLED Super Retina HD display
Resolusi 1,334 x 750 pixels (326 pixels-per-inch) 1,920 x 1,080 pixels (401 ppi) 2,436 x 1,125 pixels (458 ppi)
Berat 148G 202G 174G
RAM 2GB 2GB 3GB
Kapasiti Bateri 1821mAH 2675mAh 2716mAh
Kamera 12 megapixel kamera belakang dengan sokongan penstabilan imej optikal, 7 megapixel kamera depan 12 megapixel (f/1.8 dan f/2.8) dengan sokongan penstabilan imej optikal, 7 megapixel kamera depan 12 megapixel (f/1.8 dan f/2.4) dengan sokongan penstabilan imej optikal, 7 megapixel kamera depan dengan sokongan TrueDepth
Pengimbas Cap Jari Touch ID Touch ID Tiada, digantikan dengan Face ID
Lain-lain Sensor Barometer, 3-axis gyro, accelerometer, proximity sensor, ambient light sensor Barometer, 3-axis gyro, accelerometer, proximity sensor, ambient light sensor Depth sensors, barometer, 3-axis gyro, accelerometer, proximity sensor, ambient light sensor
Warna Gold, silver, dan space gray Gold, silver, dan space gray Silver dan Space Grey sahaja


Untuk pengetahuan para pembaca, iPhone X, iPhone 8 Plus serta iPhone 8 telah mendapat pensijilan SIRIM di Malaysia, satu petanda bahawa ia akan berada di pasaran tempatan tidak lama lagi. Ketiga-tiga model untuk pasaran Malaysia akan menggunakan modem daripada pihak Intel, dan bukannya Qualcomm. Model bagi ketiga-tiga telefon yang akan dijual di Malaysia pula adalah seperti berikut:


  • iPhone X – A1901
  • iPhone 8 Plus – A1897
  • iPhone 8 – A1905


Pembaharuan Accessibility Dalam iOS 11


iOS 11 baru saja dilancarkan secara rasmi pada 20 September yang lalu. bagi pengguna iPhone 5S dan keatas, iPad generasi kelima dan keatas, serta iPod Touch generasi keenam, anda sudah boleh menyemak kemaskini iOS sekiranya belum mendapat notifikasi untuk naiktaraf. Pelbagai perubahan telah dijanjikan semasa Apple memperkenalkan iOS 11 pada acara WWDC bulan Jun 2017. Namun demikian, tulisan kali ini hanya akan memberi tumpuan terhadap perubahan dari segi accessibility, terutamanya kepada pengguna voice Over serta pengguna-pengguna yang rabun.


Penemuan ini bukanlah 100 peratus lengkap, oleh itu, sekiranya ada yang tertingal, kami amat mengalu-alukan komen daripada para pembaca.


Voice Over:

Antara Perubahan yang telah dilakukan pada Voice over ialah seperti berikut:


Drag and Drop Apps

Pada tahun lepas, iOS 10 telah dilengkapi ciri untuk memudahkan pengguna Voice Over memindahkan apps dengan lebih mudah dari satu skrin ke skrin yang lain. dalam perubahan kali ini, sedikit penambahbaikan telah dilakukan, membolehkan pelbagai apps dipindah secara serentak. Untuk mengaktifkan “edit mode”, pengguna voice Over perlu “double tap” dan tahan pada mana-mana bahagian di skrin. Sekiranya anda tidak melakukan apa apa dalam tempoh 30 saat, edit mode akan terpadam dengan sendirinya.


Ketika sudah berada di dalam edit mode, cari aplikasi yang hendak dipindahkan, dan gunakan satu jari untuk swipe ke bawah. Anda akan mempunyai pilihan untuk “drag” aplikasi tersebut untuk dipindahkan ke tempat lain. Sekiranya anda telah “drag” sesuatu aplikasi, ia akan hilang daripada kawasan tersebut buat sementara waktu, sehingga anda meletakkannya di tempat lain ataupun keluar daripada edit mode. Anda juga boleh menambahkan aplikasi yang lain ke dalam “drag session” dan memindahkan beberapa aplikasi secara serentak atau mencipta folder bagi mengkategorikan beberapa aplikasi yang telah dibawa ke dalam “drag session”. Di samping itu, anda boleh “drag” sesuatu fail yang terdapat dalam aplikasi Files dan meletakkannya ke dalam email untuk dijadikan sebagai lampiran.


Cari Ejaan Yang Salah

Jika anda sering menggunakan iPad atau iPhone untuk kerja-kerja penulisan, ada masanya anda perlu menyemak tulisan anda untuk membetulkan sebarang kesilapan pada ejaan. Perkara ini agak sukar dilakukan bagi pengguna voice Over, kerana tiada cara lain yang anda boleh gunakan untuk terus melompat ke perkataan yang ditandakan dengan garisan merah. Namun pada iOS 11, fungsi “read misspelled word” telah ditambahkan bagi memudahkan anda bergerak dari satu perkataan ke perkataan lain yang ditandakan dengan garisan merah. Untuk menggunakan fungsi ini, apabila papan kekunci telah terpapar di skrin, pusing roter sehingga anda menjumpai “Misspelled words”, dan swipe menggunakan satu jari ke bawah untuk melihat perkataan-perkataan yang silap ejaannya.


Alt Text Pada Gambar

Seperti fungsi yang terdapat pada Facebook, iOS 11 turut memperkenalkan fungsi ALT text yang membolehkan anda mengetahui tentang sesuatu gambar. Fungsi ini membolehkan Voice Over memberikan diskripsi pada gambar, ataupun membaca teks yang terkandung pada gambar tersebut. Untuk menggunakan fungsi ini, fokus kepada sesuatu gambar, kemudian tap sekali pada skrin dengan menggunakan tiga jari. Anda perlu memastikan screen curtain telah dimatikan terlebih dahulu agar fungsi ini dapat digunakan. Cara menutup dan membuka screen curtain adalah tap tiga kali dengan tiga jari. Walaubagaimanapun, daripada cubaan kami, fungsi ini masih tidak begitu stabil, kerana kadangkala terdapat gambar yang berbentuk teks, tetapi teks tersebut tidak dapat dibaca oleh Voice Over.


Verbosity Option

Pelbagai tetapan baru diperkenalkan dalam verbosity option bagi membolehkan pengguna mengawal informasi yang disebut oleh Voice Over. Antara tetapan yang boleh dikawal adalah:

  1. “Punctuations”, menetapkan sama ada anda inginkan Voice Over membaca semua, sebahagian, ataupun tidak membaca apa-apa tanda baca.
  2. “media Descriptions”, membolehkan anda membaca captions dan subtitles dalam bentuk Braille ataupun melalui Voice Over.
  3. “Tables”, bagi menentukan sama ada maklumat seperti lajur dan baris jadual disebut ataupun tidak.
  4. Menentukan kaedah Voice Over membaca elemen seperti huruf besar, pautan, ataupun ketika memadam teks.
  5. “Speak Detected Text” membolehkan Voice Over membaca terus perubahan pada elemen yang sedang difokuskan.
  6. Kebolehan mengawal tinggi atau rendah nada suara pada Voice Over.


Pembaharuan Bagi Pengguna Rabun

iOS 11 turut membawa beberapa kemaskini khusus untuk memudahkan lagi pengguna yang rabun menggunakan peranti mereka. Pembaharuan ini tertumpu kepada elemen-elemen seperti:


  1. Elemen visual, seperti ketebalan tulisan, Font dan warna.
  2. penambahbaikan ketika menggunakan fungsi Zoom.
  3. Smart Invert, yang berfungsi untuk menukar warna pada icon-icon tertentu bagi mewujudkan perbezaan, sekaligus memudahkan pengguna rabun membezakan objek.
  4. Penambahbaikan pada Magnifier untuk berfungsi pada keadaan cahaya terang, serta fokus yang lebih baik terhadap teks atau objek yang kecil.




Lain-lain Perubahan:

Antara lain perubahan accessibility yang boleh didapati pada iOS 11 ialah:


  1. Type to Siri, membolehkan anda menaip teks sekiranya hendak berinteraksi dengan siri. Untuk menggunakan fungsi ini, anda boleh ke halaman Settings> General> Accessibility> Siri, kemudian aktifkan “Type to Siri”. Jika fungsi ini diaktifkan, setiap kali anda menghidupkan siri, papan kekunci akan terpapar pada skrin untuk membolehkan anda terus menaip bagi berinteraksi dengan Siri. Sebagai langkah alternatif, anda juga boleh menaip pada Braille Display untuk berinteraksi dengan Siri. Jika Anda ingin berinteraksi melalui percakapan setelah mengaktifkan “Type to Siri”, gunakan fungsi “Hey Siri”.

  2. “Accessibility Control” kini boleh ditambah ke dalam control center. Untuk menambahkan beberapa fungsi accessibility yang sering digunakan pada Control Center, pergi ke Settings> Control Center> Customize, dan pilih fungsi yang ingin digunakan, seperti Magnifier, “text size”, “Accessibility Shortcuts”, dan sebagainya.

  3. Menjawab panggilan secara automatik. Untuk menggunakan fungsi ini, sila ke Settings>General>Accessibility>Call Audio Routing>Auto Answer Calls, dan tetapkan masa di antara 0 hingga 60 saat untuk telefon anda menjawab panggilan secara automatik. Walaubagaimanapun, anda masih boleh menolak sebaarang panggilan masuk sebelum ia dijawab secara automatik.



  4. Pepijat Yang Dikenalpasti:

    Walaupun telah terdapat penambahbaikan mahupun fungsi baru pada iOS yang mengkhusus kepada accessibility, masih terdapat beberapa pepijat yang telah dikenalpasti oleh para pengguna iOS 11. Antara pepijat yang agak ketara dapat dilihat pada:


    • Cela masa ataupun lag pada Voice Over menjadikan ia kadangkala kurang responsif apabila berada dalam suatu aplikasi. Bagi mengatasi masalah ini, anda boleh menggunakan command untuk menyahaktifkan suara Voice Over dan mengaktifkannya semula. Sekiranya Voice Over masih gagal berfungsi, sila padam dan buka semula Voice Over.
    • Smart Invert yang kadangkala tidak begitu tepat dalam mewujudkan kontra warna, menyebabkan mereka yang mempunyai masalah buta warna sukar mengenal icon atau objek yang dipaparkan.
    • bagi pengguna Braille, sekiranya anda menaip terlalu pantas, terdapat masalah sesetengah huruf yang akan hilang. Kemaskini: Masalah ini dipercayai telah diselesaikan pada iOS 11.0.1 yang dikeluarka seminggu selepas pelancaran iOS 11.
    • Masalah focus cursor yang tidak tepat bagi pengguna Braille ketika menyunting teks




    Kesimpulan

    Penambahbaikan dari sudut accessibility yang telah dilakukan pada iOS adalah satu usaha berterusan yang patut disokong, agar pengguna peranti yang bermasalah penglihatan dan pendengaran dapat terus menggunakan sistem operasi ini dengan sebaik mungkin. Walaubagaimanapun, kami mengharapkan agar masalah yang telah dikenalpasti akan diperbaiki apabila Apple mengeluarkan kemaskini iOS 11 yang akan datang. Bagi anda yang masih berfikir sama ada hendak naik taraf atau tidak, mungkin anda boleh meneliti sama ada masalah yang sedia ada ini akan memberi impak kepada aktiviti seharian anda.

    Untuk menaiktaraf ke iOS 11, anda boleh gunakan kaedah Over-The-Air (OTA) di bahagian Settings> General> Software Update, ataupun menaiktaraf dengan menggunakan iTunes dengan mengikuti langkah di posting ini.

Update iOS di iPhone Menggunakan iTune di Komputer (MYVICTCast)


Kemaskini iOS daripada Apple boleh dimuat turun menerusi dua kaedah iaitu Over the Air (OTA) dan iTune. Lazimnya, kebanyakan pengguna akan menggunakan kaedah OTA kerana lebih mudah. Sedangkan, kemaskini melalui iTune mempunyai kelebihan tertentu berbanding kaedah OTA yang tidak akan saya bincangkan di sini (kemungkinan satu posting akan dibuat untuk topik OTA dan iTune).

Bagi pengguna OKU penglihatan pula, salah satu lagi faktor utama mereka memilih kaedah OTA adalah disebabkan oleh perisian iTune itu sendiri. Keluhan yang saya sering dengar tentang iTune di platform Windows mengatakan bahawa iTune kurang mesra pengguna dengan perisian pembaca skrin. Tidak kisah pengguna Jaws atau NVDA, kedua-dua meluahkan permasalahan yang serupa. Mereka mengatakan antaramuka iTune sukar difahami dan sukar untuk navigate. Justeru itu, saya menghasilkan audio tutorial kali ini dengan harapan dapat membantu mereka yang menghadapi kesukaran melakukan update iOS dengan iTune.

Selamat mendengar dan semoga bermanfaat.


P/S: Mohon maaf atas gangguan bunyi dalam rakaman.

Kredit Muzik: The Rains of Castamere daripada Game of Thrones.

iPhone- Personal Hotspot Melalui USB Tidak Berfungsi


Ramai pengguna iPhone pasti pernah menghadapi isu personal hotspot melalui USB yang tidak berfungsi di komputer. Personal hotspot melalui USB bermakna anda menggunakan iPhone sebagai sumber data internet dengan menyambungkan iPhone ke komputer menggunakan kabel lightning. Kadangkala, personal hotspot melalu USB tidak dapat berfungsi seperti yang diharapkan. Terlebih dahulu, sila cuba beberapa kaedah di bawah untuk mengatasi masalah ini:


P/S: Arahan dalam semua kaedah di bawah adalah menggunakan papan kekunci bagi memudahkan pengguna pembaca skrin untuk mengikuti. Kaedah berikut juga diberi berdasarkan platform Windows 10 versi 1703 dan pembaca skrin NVDA 2017.3.


  • Pastikan sambungan iPhone ke komputer melalui kabel lightning kukuh, dengan erti kata lain, pastikan kabel lightning tidak rosak.
  • Cuba restart komputer dan iPhone dan sambungkan semula.
  • Pastikan anda sedang menggunakan iTune versi terkini.


Sekiranya sudah mencuba semua kaedah di atas tetapi masih gagal, berkemungkinan besar Apple Mobile Device Ethernet Driver tidak terpasang. Sebelum mencuba kaedah di bawah, pastikan iphone masih tersambung ke komputer dengan kabel dan pastikan personal hotspot terpasang melalui USB. Sila ikuti kaedah berikut:

  • Pada papan kekunci, tekan butang Windows+R, run dialogue box akan terbuka. Dalam petak run, taip: devmgmt.msc dan tekan enter, Device Manager akan terbuka.
  • Tekan tab sekali ke senarai devices, kemudian tekan anak panah bawah cari “Network Adapters”. Selepas itu, tekan anak panah kanan untuk membuka senarai driver network, lalu tekan anak panah bawah untuk mencari “Apple Mobile Device Ethernet”. Sekiranya tidak ditemui, maka anda perlu memasang driver berkenaan.
  • Tekan anak panah kiri untuk kembali ke “Network Adapters” sehingga anda dengar pembaca skrin menyebut collapse. Seterusnya, tekan anak panah bawah untuk mencari “Other Devices”, lalu tekan anak panah kanan dan tekan anak panah bawah untuk mencari “iPhone”. Sekarang tekan butang application atau right click dan cari “Update driver” dan tekan butang enter. Satu tetingkap Update driver – iPhone akan terbuka.
  • Tekan tab cari “Browse my computer for driver software Locate and install driver software manually” dan tekan enter. Satu tetingkap kecil akan terbuka, tekan tab dan cari “browse button” dan tekan enter. Satu lagi tetingkap kecil akan terbuka untuk kita mencari lokasi driver berkenaan.
  • Pada asalnya, pembaca skrin akan fokus pada OK button, maka tekan shift+tab sehingga anda dengar “Select the folder that contains drivers for your hardware, tree view”. Kita akan berada pada tree view, maka tekan anak panah atas atau bawah atau kiri atau kanan untuk mencari lokasi folder berkenaan: C:\Program Files\Common Files\Apple\Mobile Device Support\NetDrivers dan tekan enter setelah berjaya menemui folder “NetDrivers”. Fokus pembaca skrin akan kembali ke tetingkap kecil pertama.

  • Di sini, tekan tab cari “Next button” dan tekan enter, proses pemasangan akan bermula. Sesudah selesai, fokus akan terus berada di tetingkap yang sama sehingga munculnya “Close button, completes the wizard”. Jika ingin lebih kepastian, tekan NVDA key/Jaws key + B untuk membaca keseluruhan tetingkap, anda akan menemui teks berikut: “Windows has successfully updated your drivers. Windows has finished installing the drivers for this device: Apple Mobile Device Ethernet Close”. Tekan saja enter pada butang Close dan anda akan dibawa kembali ke tetingkap Device Manager.
  • Biasanya, fokus akan berada pada driver Apple Mobile Device Ethernet yang baru saja dipasang. Kebiasaannya, selepas dipasang driver ethernet ini akan terus berfungsi dan anda akan dapat melihat network status di system tray akan menunjukkan sambungan network melalui iPhone.
  • Akhir sekali, ada baiknya anda pastikan driver dalam keadaan enable. Masuk semula ke Device Manager, pergi ke Network Adapters, dan cari Apple Mobile Device Ethernet dan tekan butang application, tekan anak panah bawah dan pastikan adanya tertulis “Disable device”, ini bermakna driver berada dalam keadaan enable. Sekiranya tertulis “Enable device”, maka tekan enter pada pilihan tersebut untuk menjalankan driver ethernet berkenaan.


Semoga semua kaedah yang diberikan di atas akan membuahkan hasil.


Menangani Masalah Jangkitan Virus Shortcut dan Fail yang Disembunyikan oleh Virus

Jangkitan virus merupakan perkara yang paling ditakuti oleh ramai pengguna. Acap kali kita dengari masalah jangkitan virus yang mengakibatkan permasalahan berikut:

  • Fail yang disimpan secara tiba-tiba hilang tetapi ruangan simpanan masih kelihatan seperti digunakan.
  • Munculnya banyak fail dengan nama-nama pelik.
  • Fail asal bertukar menjadi shortcut apabila diaktifkan.


Kesemua simptom di atas merupakan simptom paling biasa berlaku kepada kebanyakan pengguna pendrive dan external hard disk. Ramai yang tidak tahu akan hanya pasrah dengan kehilangan/kerosakan fail dan cenderung bertindak memformat pendrive atau external hard disk mereka. Sebenarnya, dengan sedikit ilmu command prompt, anda boleh menyelesaikan permasalahan di atas, sekali gus menyelamatkan fail berharga yang disimpan. Sebelum anda menggunakan kaedah command prompt di bawah, dinasihatkan anda untuk melakukan scan dan pembersihan dengan mana-mana perisian anti virus/anti malware.


Perhatian: Sesiapa yang kurang biasa dengan command prompt, sila berhati-hati ketika mengikuti arahan di bawah. Dalam contoh di bawah, kita andaikan sedang menggunakan pendrive, namun caranya tetap sama bagi external hard disk.



Langkah 1

Pasang pendrive yang dijangkiti ke komputer, lalu kenal pasti huruf bagi pendrive berkenaan contohnya, f: atau g:.



Langkah 2

Tekan butang Windows untuk membuka search edit box, kemudian taip: cmd.exe lalu tekan ctrl+shift+enter untuk membuka command prompt sebagai administrator.



Langkah 3

Sesudah command prompt administrator terbuka, kita perlu membawa fokus destinasi kepada pendrive yang dijangkiti. Seperti dalam langkah pertama, taip huruf drive bagi pendrive anda seperti berikut: f: dan tekan enter.



Langkah 4

Sekarang untuk membersihkan pendrive anda, sila taip command berikut: attrib -s -r -h *.* /s /d dan tekan enter. Proses pembersihan akan mengambil masa beberapa saat. Sesudah selesai, untuk keluar dari command prompt taip command berikut: exit dan tekan enter. Sekarang anda boleh buka pendrive dan lihat keadaan fail yang disimpan sudah kembali seperti biasa. Anda dinasihatkan untuk memindahkan semua fail tersebut ke komputer dan format pendrive berkenaan.


Diharap posting kali ini akan membantu anda di luar sana untuk menyelamatkan fail peribadi yang berharga daripada menjadi mangsa virus. Namun demikian, kaedah command prompt bukanlah penyelesaian bagi semua ancaman virus, anda masih perlu memasang perisian anti virus dalam komputer.

Acara Tahunan Apple: Jangkaan Untuk Tahun 2017


Mungkin anda sudah sedia tahu bahawa Apple Event bakal berlangsung pada 12 September yang akan datang, iaitu pada hari rabu, sekitar pukul 1 pagi waktu malaysia. Dalam acara ini, pastinya iPhone baru akan diumumkan. Namun begitu, acara kali ini dijangkakan sedikit luar biasa, kerana tahun ini merupakan tahun kesepuluh sejak pengenalan iPhone pada bulan Jun tahun 2007. Dengan itu, beberapa perubahan yang drastik dijangka akan hadir, terutamanya berkaitan iPhone yang baru. Berikut adalah perkara-perkara yang dijangkakan pada acara tahunan Apple kali ini.


iPhone Baru

Acara tahunan kali ini sememangnya akan menumpukan tentang keluaran iPhone baru, di mana tiga model iPhone dijangka akan diperkenalkan oleh Apple. Dua daripada model tersebut adalah kemas kini kepada iPhone 7 dan 7+, yang mana sering kali ditandakan dengan “S” pada nombor versi iPhone sebelumnya. Namun begitu, kita tidak tahu sama ada Apple masih akan mengekalkan tradisi iPhone “S” ataupun terus menggunakan nama “iPhone 8” untuk menjenamakan model telefon tahun ini, tetapi perkara yang pasti ialah kedua-dua telefon ini adalah naiktaraf kepada iPhone 7 dan 7+ yang biasanya akan membawa sedikit penaiktarafan berbanding iPhone sebelumnya.


Selain dua model tersebut, satu lagi iPhone yang akan diperkenalkan oleh Apple dijangka akan membawa pelbagai ciri tambahan, antaranya termasuklah pengecasan tanpa wayar, sistem imbasan wajah 3d, dan skrin sepenuhnya yang pasti membawa kepada pembuangan butang home. Dengan pembuangan butang home, fungsi “touch ID” dikhabarkan akan ditempatkan pada bahagian butang kuasa, ataupun di belakang telephone, iaitu di bahagian logo Apple. Seperkara yang pasti adalah penggunaan skrin OLED keluaran Samsung, iaitu kali pertama Apple meninggalkan penggunaan skrin LCD pada telefon pintar mereka. iPhone baru ini juga dikhabarkan akan menggunakan rekaan kaca di belakang, sama seperti iPhone 4. Perkara-perkara ini masih samar-samar, dan hanya akan diketahui pada acara khas ini nanti.


Apple Watch 3

Selain iPhone yang menjadi fokus utama acara khas ini, Apple dijangka turut akan memperkenalkan jam pintar generasi ketiga dengan sokongan LTE. Melalui sokongan LTE, perkara-perkara yang memerlukan sambungan pada iPhone boleh dilakukan terus pada Apple Watch. Dengan pengenalan fungsi LTE pada jam pintar ini, satu masalah yang dibimbangi ramai ialah pada ketahanan bateri. Persoalannya, mampukah bateri pada Apple Watch 3 bertahan selama 18 Jam seperti pada Apple Watch yang ada sekarang?


Apple TV

Peranti Apple TV terakhir dikemaskini pada tahun 2015. Oleh itu, acara kali ini turut akan menyentuh tentang pembaharuan pada Apple TV, agar ia terus mampu bersaing dengan Chromecast dan Amazon. Daripada apa yang dikhabarkan, Apple TV kali ini akan menyokong penstriman video 4K serta membawakan warna yang lebih jelas. Pihak Apple juga sedar bahawa mereka masih ketinggalan dari segi penghasilan kandungan video sendiri. Oleh itu, pada Jun 2017, mereka telah mengambil dua orang bekas eksekutif Sony Picture TV, Jamie Erlicht dan Zack Van Amburg bagi membantu membangunkan kandungan tersendiri.


Tarikh Kemas kini Sistem Operasi

Seperti tahun-tahun sebelumnya, acara pada bulan September ini turut menyaksikan pengumuman tarikh kemas kini sistem operasi Apple. iOS 11, macOS High Sierra, dan watchOS beta telah diperkenalkan dalam acara WWDC bulan jun yang lalu. Oleh hal yang demikian, Apple mungkin akan mengambil kesempatan pada acara kali ini untuk mengumumkan tarikh rasmi pelancaran sistem operasi tersebut serta peranti yang layak mendapat kemas kini.


iOS 11 membawakan sejumlah pembaharuan untuk pengguna iPad seperti split view, yang membolehkan dua aplikasi dibuka serentak. Selain itu, kemudahan drag-and-drop juga boleh dilakukan antara dua aplikasi pada split view. Pembaharuan lain yang dapat dilihat pada iOS 11 termasuklah perubahan pada control center, lock screen, pembaharuan pada AppStore, serta aplikasi pengurusan fail yang dinamakan sebagai “file”.


Tonton Acara Apple

Dengan semua ura-ura yang kedengaran di Internet, mungkin ada di kalangan peminat-peminat Apple di Malaysia sanggup menunggu pengumuman rasmi yang akan dilakukan, meskipun ia berlangsung pada tengah malam waktu tempatan. Untuk pengetahuan, ini juga merupakan kali pertama acara tahunan Apple diadakan di Steve Jobs Theater yang terletak di kampus baru Apple di Cupertino. Bagi mereka yang berminat untuk menonton acara ini secara langsung, anda boleh berbuat demikian melalui kaedah-kaedah berikut:

  1. Tonton melalui link Apple Event 2017 dengan menggunakan pelayar Safari pada iOS 9.0 atau OS X 10.11, serta Microsoft Edge di Windows 10
  2. Tonton menggunakan Apple TV generasi kedua atau ketiga yang menggunakan software 6.2 dan ke atas.
  3. Tonton menggunakan Apple TV generasi keempat, melalui aplikasi Apple Events.


Apa pun, sama-samalah kita nantikan pelancaran iPhone baru pada tarikh tersebut.