Panduan Telko di Malaysia Siri 2


Sejak artikel bertajuk panduan telco di Malaysia ditulis, terdapat beberapa telko baru yang wujud mulai suku akhir tahun 2017. Dengan penambahan beberapa telko baru di pasaran Malaysia, wajarlah siri kedua diwujudkan sebagai susulan kepada panduan siri pertama. Beberapa perubahan telah berlaku dalam dunia telko Malaysia, dan salah satu daripadaanya ialah kewujudan telko digital. Telko digital ini diwujudkan oleh syarikat-syarikat telko sedia ada untuk memperluaskan tawaran mereka melalui penjenamaan baru agar kelihatan menarik kepada pengguna, di samping memberikan kebebasan pengguna untuk memilih pelan berdasarkan penggunaan semasa, seperti jumlah data dan panggilan suara yang diperlukan. Apa yang menarik ialah terdapat sesetengah telko yang membenarkan jumlah data yang tidak habis digunakan dijual semula ataupun ditukarkan kepada minit panggilan dan sebaliknya. Dari segi rangkaian, pengalaman pengguna adalah lebih kurang sama seperti penggunaan telko konvensional, kerana telko-telko digital yang ada turut menggunakan rangkaian sedia ada daripada syarikat masing-masing.


Satu perkara yang membezakan telko digital daripada telko konvensional ialah segala urusan, bermula daripada pembelian kad sim, menambah nilai dan membeli pakej dilakukan secara atas talian sama ada melalui laman web masing-masing ataupun menggunakan aplikasi yang telah disediakan. Selain itu, khidmat sokongan pelanggan turut dilakukan secara atas talian melalui chat ataupun emel. Harus diingatkan bahawa jika anda menggunakan peranti iPhone, sesetengah telko digital tidak dapat anda gunakan buat masa ini kerana ia memerlukan pemasangan aplikasi VPN. pengguna-pengguna iPhone perlu menunggu telko tersebut mengeluarkan aplikasi VPN mereka untuk platform iOS. Telko yang memerlukan VPN setakat ini ialah Ookyo dan Tapp.


Terdapat empat telko digital yang ditawarkan di Malaysia setakat ini dan anda boleh menyemak tawaran setiap telko pada laman web mereka seperti di bawah. Aplikasi di AppStore dan PlayStore untuk mendaftar dan membeli pelan panggilan perlu anda muat turun jika menggunakan salah satu daripada telko yang disenaraikan, supaya dapat memudahkan pengurusan akaun. Walaubagaimanapun, kami di pihak MYVICT tidak dapat memberikan sebarang komen mengenai aksesibiliti aplikasi tersebut terutamanya bagi pengguna yang bergantung kepada pembaca skrin pada telefon masing-masing.


  1. Ookyo daripada Hotlink

  2. Tapp daripada DiGi

  3. Yoodo daripada Celcom

  4. Unifi Mobile (Penjenamaan semula daripada Webe)


Sekiranya ada perkara yang kami tertinggal, sila komen di bawah agar penulisan ini dapat dikemaskini.


Menutup Tablet Mode dalam Windows 10


Bermula dengan Windows 8, Microsoft telah mula mengintegrasikan mode tablet dengan memperkenalkan fungsi “Start Screen” yang kurang mendapat sambutan. “Start Screen” disasarkan kepada mereka yang menggunakan Windows pada peranti yang mempunyai skrin sesentuh seperti tablet. Microsoft telah membuat penambahbaikan dalam Windows 10 dengan fungsi “Continuum”. “Continuum” membolehkan Windows 10 mengenal pasti jenis peranti yang sedang digunakan lalu mengaktifkan mode yang sepatutnya mengikut kesesuaian, sama ada tablet mode atau desktop mode. Contohnya, jika kita mempunyai sebuah komputer riba yang mempunyai skrin sesentuh, apabila kita hendak menggunakan komputer riba berkenaan seperti sebuah tablet, kita boleh mengaktifkan tablet mode dan berinteraksi dengan Windows dengan menggunakan skrin sesentuh. Kemudian, jika kita mahu kembali menggunakan komputer riba seperti biasa, kita boleh menutup tablet mode.


Biarpun fungsi tablet mode ini kelihatan menarik, namun kita selaku OKU penglihatan masih belum dapat memanfaatkan fungsi skrin sesentuh sepenuhnya dengan pembaca layar pada pelantar Windows. Saya juga yakin masih ramai yang lebih selesa menggunakan Windows dalam desktop mode. Komputer riba di pasaran sekarang semuanya dilengkapi Windows 10 dan sudah pasti juga dengan fungsi tablet mode. Kadangkala, ada antara pengguna OKU penglihatan secara tidak sengaja mengaktifkan mode tablet dalam Windows 10. Kesannya, pembaca layar NVDA dan Jaws tidak dapat berfungsi seperti biasa di desktop.


Tujuan utama artikel kali ini adalah untuk berkongsi dengan rakan-rakan OKU penglihatan yang masih tidak tahu tentang fungsi tablet mode dalam Windows 10 dan bagaimana untuk menutup tablet mode. Sila ikuti langkah ringkas di bawah:

  • Pada papan kekunci, tekan butang “Windows” dan butang “A” untuk membuka “Action Center”.
  • Kemudian, tekan butang “tab” atau “shift+tab” sehingga jumpa “Tablet Mode toggle button pressed” lalu tekan butang “spacebar”” untuk menutup semula tablet mode.
  • Sekarang pastikan tetapan tablet mode telah menjadi “Tablet mode toggle button not pressed” dan tekan butang “alt+f4” atau butang “Esc” untuk menutup tetingkap “Action Center”.
  • Sekarang pembaca layar anda akan berfungsi seperti biasa di desktop.