Magic Phone Cleaner


Dalam platform iOS itu sendiri, tidak terdapat pilihan tetapan untuk membersihkan fail cache, temporary dan junk. Akibat daripada itu, kita perlu melakukan kerja-kerja pembersihan secara manual dengan beberapa kaedah. Salah satu langkah berkenaan adalah menggunakan aplikasi pihak ketiga dari App Store. Dalam posting kali ini, saya akan memperkenalkan applikasi yang diberi nama, Magic Phone Cleaner.


Ulasan Accessibility

  • Voiceover mampu membaca kesemua butang kerana kesemua butang telah dilabel.
  • Voiceover mampu membaca kesemua elemen dalam aplikasi ini. Sedikit masalah apabila kita berada dalam bahagian “Sort Files”, Voiceover hanya membaca saiz fail berkenaan, membuatkan kita tidak tahu fail mana yang dimaksudkan.
  • Navigasi menggunakan kaedah swipe dan explore by touch boleh digunakan.


Cara Penggunaan

Cara penggunaan untuk pengguna Voiceover.

  • Antaramuka aplikasi ini sangat ringkas dan mudah difahami. Sejurus dibuka, jika kita swipe hingga ke hujung kiri, kita akan menemui butang “Clean Junk”. Swipe ke kanan kita akan jumpa butang “Sort Files”. Swipe lagi ke kanan terdapat butang “remove Ads”. Seterusnya, swipe ke kanan akan membawa kita ke butang yang menunjukkan baki kapasiti ruangan peranti. Akhir sekali, swipe ke kanan akan kita temui butang “Menu”. Kesemua butang ini boleh diaktifkan dengan menyentuh dua kali pada skrin.
  • Butang Menu berfungsi untuk memaparkan pilihan butang “Feedback”, “Support”, “Share” dan “Rate”. Bahagian ini untuk kita memberikan maklum balas, rating, berkongsi aplikasi ini dengan pengguna lain dan memberikan bantuan untuk pembangunan aplikasi ini. Sentuh dua kali sekali lagi pada butang Menu akan menutup kesemua pilihan tersebut.
  • Sentuh dua kali pada butang yang memaparkan baki kapasiti ruangan peranti pula akan mengubah format kapasiti sama ada dalam bentuk peratusan atau kiraan GB.
  • Sentuh dua kali pada butang Remove Ads akan memaparkan tetingkap kecil yang memberikan tiga pilihan bayaran dengan nilai berbeza untuk membuang iklan daripada aplikasi ini.
  • Butang Sort Files pula akan menyenaraikan fail yang terdapat dalam peranti anda dari saiz yang paling besar ke paling kecil. Bertujuan untuk memaklumkan kepada kita fail yang paling banyak menggunakan ruangan peranti.
  • Butang Clean Junk, butang paling penting, berfungsi untuk memulakan proses pembersihan. Sewaktu proses pembersihan berjalan, butang “Cancel” akan muncul jika kita swipe ke kiri dari butang “Clean Junk” dan jika swipe ke sebelah kanan, akan ada peratusan proses pembersihan. Kadangkala, semasa proses pembersihan berjalan, akan terpampang tetingkap “iPhone Storage Full”, abaikan saja tetingkap berkenaan kerana tetingkap tersebut akan hilang dalam beberapa saat. Namun, jikalau muncul iklan, cuba swipe ke kanan dan cari butang “Close Advertisement”. Kalau tidak temui butang yang dimaksudkan, boleh gunakan empat jari swipe ke kanan bagi mengubah fokus kepada aplikasi sebelumnya, lalu swipe empat jari ke kiri untuk membawa fokus kembali kepada aplikasi Magic Phone Cleaner. Usai proses pembersihan, perkataan “Well done” atau “Good Job” akan terpampang. Swipe ke kanan untuk mencari jumlah kapasiti yang berjaya dibersihkan dan swipe lagi ke kanan untuk mencari butang “Next” dan sentuh dua kali untuk kembali ke muka depan aplikasi.
  • Kita boleh melakukan proses pembersihan ini berulang-ulang kali untuk membersihkan seberapa banyak kapasiti ruangan yang boleh. Lebih banyak kita ulang langkah pembersihan di atas, lebih banyak ruangan kapasiti yang dapat dibersihkan.


Muat Turun

Sila baca maklumat aplikasi dan muat turun di sini.