Acara Tahunan Apple: Jangkaan Untuk Tahun 2017


Mungkin anda sudah sedia tahu bahawa Apple Event bakal berlangsung pada 12 September yang akan datang, iaitu pada hari rabu, sekitar pukul 1 pagi waktu malaysia. Dalam acara ini, pastinya iPhone baru akan diumumkan. Namun begitu, acara kali ini dijangkakan sedikit luar biasa, kerana tahun ini merupakan tahun kesepuluh sejak pengenalan iPhone pada bulan Jun tahun 2007. Dengan itu, beberapa perubahan yang drastik dijangka akan hadir, terutamanya berkaitan iPhone yang baru. Berikut adalah perkara-perkara yang dijangkakan pada acara tahunan Apple kali ini.


iPhone Baru

Acara tahunan kali ini sememangnya akan menumpukan tentang keluaran iPhone baru, di mana tiga model iPhone dijangka akan diperkenalkan oleh Apple. Dua daripada model tersebut adalah kemas kini kepada iPhone 7 dan 7+, yang mana sering kali ditandakan dengan “S” pada nombor versi iPhone sebelumnya. Namun begitu, kita tidak tahu sama ada Apple masih akan mengekalkan tradisi iPhone “S” ataupun terus menggunakan nama “iPhone 8” untuk menjenamakan model telefon tahun ini, tetapi perkara yang pasti ialah kedua-dua telefon ini adalah naiktaraf kepada iPhone 7 dan 7+ yang biasanya akan membawa sedikit penaiktarafan berbanding iPhone sebelumnya.


Selain dua model tersebut, satu lagi iPhone yang akan diperkenalkan oleh Apple dijangka akan membawa pelbagai ciri tambahan, antaranya termasuklah pengecasan tanpa wayar, sistem imbasan wajah 3d, dan skrin sepenuhnya yang pasti membawa kepada pembuangan butang home. Dengan pembuangan butang home, fungsi “touch ID” dikhabarkan akan ditempatkan pada bahagian butang kuasa, ataupun di belakang telephone, iaitu di bahagian logo Apple. Seperkara yang pasti adalah penggunaan skrin OLED keluaran Samsung, iaitu kali pertama Apple meninggalkan penggunaan skrin LCD pada telefon pintar mereka. iPhone baru ini juga dikhabarkan akan menggunakan rekaan kaca di belakang, sama seperti iPhone 4. Perkara-perkara ini masih samar-samar, dan hanya akan diketahui pada acara khas ini nanti.


Apple Watch 3

Selain iPhone yang menjadi fokus utama acara khas ini, Apple dijangka turut akan memperkenalkan jam pintar generasi ketiga dengan sokongan LTE. Melalui sokongan LTE, perkara-perkara yang memerlukan sambungan pada iPhone boleh dilakukan terus pada Apple Watch. Dengan pengenalan fungsi LTE pada jam pintar ini, satu masalah yang dibimbangi ramai ialah pada ketahanan bateri. Persoalannya, mampukah bateri pada Apple Watch 3 bertahan selama 18 Jam seperti pada Apple Watch yang ada sekarang?


Apple TV

Peranti Apple TV terakhir dikemaskini pada tahun 2015. Oleh itu, acara kali ini turut akan menyentuh tentang pembaharuan pada Apple TV, agar ia terus mampu bersaing dengan Chromecast dan Amazon. Daripada apa yang dikhabarkan, Apple TV kali ini akan menyokong penstriman video 4K serta membawakan warna yang lebih jelas. Pihak Apple juga sedar bahawa mereka masih ketinggalan dari segi penghasilan kandungan video sendiri. Oleh itu, pada Jun 2017, mereka telah mengambil dua orang bekas eksekutif Sony Picture TV, Jamie Erlicht dan Zack Van Amburg bagi membantu membangunkan kandungan tersendiri.


Tarikh Kemas kini Sistem Operasi

Seperti tahun-tahun sebelumnya, acara pada bulan September ini turut menyaksikan pengumuman tarikh kemas kini sistem operasi Apple. iOS 11, macOS High Sierra, dan watchOS beta telah diperkenalkan dalam acara WWDC bulan jun yang lalu. Oleh hal yang demikian, Apple mungkin akan mengambil kesempatan pada acara kali ini untuk mengumumkan tarikh rasmi pelancaran sistem operasi tersebut serta peranti yang layak mendapat kemas kini.


iOS 11 membawakan sejumlah pembaharuan untuk pengguna iPad seperti split view, yang membolehkan dua aplikasi dibuka serentak. Selain itu, kemudahan drag-and-drop juga boleh dilakukan antara dua aplikasi pada split view. Pembaharuan lain yang dapat dilihat pada iOS 11 termasuklah perubahan pada control center, lock screen, pembaharuan pada AppStore, serta aplikasi pengurusan fail yang dinamakan sebagai “file”.


Tonton Acara Apple

Dengan semua ura-ura yang kedengaran di Internet, mungkin ada di kalangan peminat-peminat Apple di Malaysia sanggup menunggu pengumuman rasmi yang akan dilakukan, meskipun ia berlangsung pada tengah malam waktu tempatan. Untuk pengetahuan, ini juga merupakan kali pertama acara tahunan Apple diadakan di Steve Jobs Theater yang terletak di kampus baru Apple di Cupertino. Bagi mereka yang berminat untuk menonton acara ini secara langsung, anda boleh berbuat demikian melalui kaedah-kaedah berikut:

  1. Tonton melalui link Apple Event 2017 dengan menggunakan pelayar Safari pada iOS 9.0 atau OS X 10.11, serta Microsoft Edge di Windows 10
  2. Tonton menggunakan Apple TV generasi kedua atau ketiga yang menggunakan software 6.2 dan ke atas.
  3. Tonton menggunakan Apple TV generasi keempat, melalui aplikasi Apple Events.


Apa pun, sama-samalah kita nantikan pelancaran iPhone baru pada tarikh tersebut.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *