Apple Memperkenalkan iPhone 7 Dan iPhone 7 Plus


Acara media Apple yang diadakan pada awal pagi tadi di san Fransisco merupakan sebuah acara yang dinantikan ramai. Setiap tahun, pada sekitar bulan September, Apple melancarkan produk baru mereka di samping mengumumkan kemaskini perisian. Untuk kali ini, Apple telah memperkenalkan telefon pintar yang dinantikan oleh pengguna seluruh dunia, iaitu iPhone 7 dan iPhone 7 Plus. Berikut ialah ciri-ciri yang terdapat pada kedua-dua model telefon pintar yang baru diperkenalkan oleh Apple.


Seperti yang telah dikhabarkan sebelum ini, iPhone generasi baru tidak lagi mempunyai port 3.5MM Audio jack, dan pada hari ini Apple telah mengesahkannya melalui pelancaran iPhone 7 dan 7 Plus. Semua EarPod yang didatangkan bersama iPhone 7 dan iPhone 7 Plus akan menggunakan lightning connector, iaitu berkongsi port dengan charger. Walaupun begitu, satu adapter khas untuk membolehkan penggunaan earphone 3.5MM akan diberikan apabila anda membeli sebuah iPhone 7 atau iPhone 7 Plus. Naib Presiden pemasaran Apple, Phil Schiller mengatakan bahawa ini merupakan langkah yang “berani” oleh Apple untuk terus maju ke hadapan. Beliau juga menjelaskan bahawa tanpa ruang audio jack, beberapa perkara boleh dimuatkan ke dalam telefon tersebut, termasuklah speaker stereo, kualiti audio yang lebih baik, serta pemproses yang lebih pantas. Menyedari perubahan ini menyebabkan anda tidak dapat menggunakan earphone ketika telefon di caj, satu aksesori baru juga telah diperkenalkan, iaitu Apple Airpod yang membolehkan sambungan ke telefon dengan teknologi Bluetooth. Walau bagaimanapun, aksesori Apple AirPod ini akan dijual secara berasingan.


Selain membuang audio jack pada iPhone, Apple juga mengumumkan bahawa iPhone 7 dan iPhone 7 Plus hadir dengan rekaan kalis air dan habuk pada tahap IP67, membolehkan ia bertahan pada kedalaman 1 meter di dalam air selama 30 minit. Ini sudah pasti menjadi suatu perkara yang dinantikan ramai peminat iPhone, memandangkan sebelum ini beberapa syarikat lain telah menghasilkan telefon dengan klasifikasi IP67, malahan juga terdapat telefon dengan pensijilan IP68 yang boleh bertahan di dalam air sedalam 1.5 Meter selama 30 minit.


Dari segi sais dan rekabentuk, iPhone 7 bersais 4.7 inci manakala iPhone 7 Plus pula bersais 5.5 inci. rekabentuk kedua-dua telefon ini adalah hampir sama dengan iPhone tahun lepas. Pada iPhone 7 dan 7 Plus, butang home kini tidak lagi berbentuk butang fizikal, sebaliknya ia dijana menggunakan “Taptic Engine”. Ini bermakna butang home berfungsi apabila pengguna menyentuhnya, tanpa perlu menekan lagi seperti pada butang home di iPhone sebelum ini. Paparan iPhone 7 dan 7 Plus juga kini 25% lebih terang berbanding iPhone sebelumnya.


Dari segi pemprosesan, iPhone 7 dan 7 Plus dijana dengan cip pemprosesan empat-teras Apple A10 Fusion yang dikatakan 40% lebih pantas berbanding cip pemprosesan A9 yang terdapat pada iPhone 6S. Selain itu, ia juga menawarkan penggunaan bateri yang lebih lama berbanding iPhone sebelumnya, iaitu dalam jangkaan dua jam lebih lama bagi iPhone 7 dan satu jam lebih lama untuk iPhone 7 Plus. Sokongan grafik juga lebih baik daripada pemproses A9, membolehkan pembangun hadir dengan permainan seumpama Konsol pada iPhone. Selain itu, kedua-dua iPhone 7 dan iPhone 7 Plus menyokong rangkaian LTE Cat 9 dengan kelajuan muat turun mencecah 450Mbps.


Bercakap tentang ruang storan pula, bermula iPhone 7, ruang storan minimum telah ditetapkan kepada 32GB, diikuti oleh variasi 128GB, dan variasi 256GB. Walaupun harga jualan dikatakan sama seperti iPhone tahun lepas untuk model 32GB, namun tiada harga rasmi yang diketahui untuk pasaran tempatan.


iPhone 7 dilengkapi dengan kamera belakang 12 megapixel dengan aperture F/1.8, optical image stabilization (OIS), serta quad-led True Tone yang membolehkan gambar diambil dengan lebih jelas pada kadar cahaya yang rendah. Pada iPhone 7 Plus, fungsi dwi-kamera diperkenalkan dengan meletakkan lensa kedua yang dipanggil sebagai telephoto untuk membolehkan pengguna zoom pada gambar dengan lebih jelas. Kamera depan bagi kedua-dua model iPhone ini ialah kamera 7 Megapixel dengan kebolehan rakaman HD.


Pelancaran iPhone fasa pertama akan dilakukan pada 9 September, dan pengguna Malaysia mungkin perlu menunggu satu atau dua bulan lagi untuk pelancaran iPhone di sini.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *