Windows 10: Panduan Menetapkan Sambungan WiFi Yang Terhad


Salah satu fungsi yang menarik sepanjang menggunakan Windows 10 ialah kebolehan untuk menetapkan WiFi tertentu sebagai “metered connection”. Bagi yang tidak tahu, fungsi metered connection diwujudkan untuk menetapkan sambungan internet yang terhad pada Windows. Ia amat berguna sekiranya anda menggunakan data yang disambung daripada hotspot telefon ataupun pelan WiFi yang mempunyai kuota bulanan. Dengan menetapkan sambungan WiFi tertentu sebagai terhad, Windows tidak akan menggunakan WiFi tersebut untuk perkhidmatan yang berfungsi di background seperti Windows Update, sekaligus dapat mengelakkan data anda habis tanpa disedari.


Namun begitu, fungsi ini hanya boleh digunakan pada sambungan WiFI sahaja. Apa-apa sambungan internet berwayar akan dianggap oleh Windows sebagai sambungan tanpa had. Untuk menetapkan WiFi tertentu sebagai metered connection, ikuti langkah berikut:


  1. Masuk ke Settings dengan menekan WindowsKey+I.
  2. Pilih Network and Internet.
  3. Tekan tab sekali untuk ke senarai list box dan pilih Wi-Fi, kemudian tekan Enter.
  4. Tekan tab beberapa kali sehingga “manage known networks, kemudian tekan enter.
  5. Sekali lagi, tekan tab beberapa kali ke senarai network, dan pilih nama WiFi yang hendak ditetapkan sebagai metered connection.
  6. Tekan enter pada nama WiFi tersebut, kemudian tab sekali ke properties button dan tekan enter.
  7. Tekan tab sehingga anda menjumpai opsyen “set as metered connection”, dan tandakan (pressed) opsyen ini.
  8. Windows akan mengingati WiFi ini sebagai connection yang terhad dan tidak akan menggunakan data anda dengan sewenang-wenangnya.


Windows 10: Matikan Kata Laluan Pada Login Screen


Pengguna Windows 10 pasti tahu bahawa anda boleh log masuk ke Windows dengan menggunakan akaun microsoft. Penggunaan akaun Microsoft membolehkan beberapa tetapan Windows di simpan ke dalam akaun anda dan jika anda bertukar ke komputer baru atau memformat Windows, konfigurasi tersebut akan ditetapkan secara automatik apabila anda log masuk menggunakan akaun yang sama. Hal ini adalah sama seperti penggunaan akaun Google pada peranti Android ataupun Apple ID pada iOS. Namun begitu, bagi Windows 10, apabila anda menetapkan untuk log masuk menggunakan akaun Microsoft, anda perlu menaip kata laluan setiap kali hendak masuk ke Windows.


Mungkin ada antara anda yang tidak gemar untuk menaip kata laluan setiap kali hendak masuk ke Windows, tetapi masih ingin kekal menggunakan akaun Microsoft pada Windows 10. Berikut ditunjukkan cara untuk mematikan skrin kata laluan tersebut.


  • login windows10 seperti biasa.

  • tekan start [windows key] dan taip berikut dibahagian search edit box.

    netplwiz

    kemudian tekan enter.




  • Satu skrin user account akan dipaparkan. Pilih akaun yang anda mahu matikan login screen dengan menggunakan arrow key.

  • Uncheck “Users must enter a user name and password to use this computer.”

  • Akhir sekali, tekan apply dan tekan OK.



Article asal ditulis oleh #dg@myvict pada kumpulan WhatsApp MYVICT.

Cara Nyahaktifkan Fungsi Auto Correct Pada Windows 10 (1803)


Sudah sekian lama fungsi auto correction wujud pada telefon pintar, akan tetapi fungsi ini masih belum menjadi kenyataan pada sistem operasi Windows. Sebelum ini fungsi auto correction hanyalah wujud pada aplikasi seperti Microsoft Office tetapi bukan pada sistem windows itu sendiri.


Pihak Microsoft akhirnya telah memperkenalkan fungsi auto correction ini pada Windows10 versi 1803 dan ia adalah fungsi yang terbina pada sistem operasi Windows 10. Walau bagaimanapun, fungsi ini agak mengganggu, kerana apabila pengguna menaip dalam bahasa Malaysia tetapi menggunakan US English keyboard ia akan mengubah ejaan secara automatik.


Untuk matikan fungsi auto correction ini, sila ikut langkah-langkah berikut:

  • Masuk ke Settings dengan menekan WindowsKey+I.
  • Pilih Devices.
  • Tekan tab sekali untuk ke senarai list box dan pilih Typing dan tekan Enter.
  • Nyah-tanda (Not press) semua fungsi yang berikut:
    1. Autocorrect misspelled words, Not press
    2. Highlight misspelled words, Not press
    3. Show text suggestions as I type on the software keyboard, Not press
    4. Add a space after I choose a text suggestion, Not press
    5. Add a period after I double-tap the Spacebar, Not press
    6. Show text suggestions as I type, Not press
    7. Show text predictions based on the recognized languages you’re typing in, Not press


Article asal ditulis oleh #dg@myvict pada kumpulan WhatsApp MYVICT.

Menutup Tablet Mode dalam Windows 10


Bermula dengan Windows 8, Microsoft telah mula mengintegrasikan mode tablet dengan memperkenalkan fungsi “Start Screen” yang kurang mendapat sambutan. “Start Screen” disasarkan kepada mereka yang menggunakan Windows pada peranti yang mempunyai skrin sesentuh seperti tablet. Microsoft telah membuat penambahbaikan dalam Windows 10 dengan fungsi “Continuum”. “Continuum” membolehkan Windows 10 mengenal pasti jenis peranti yang sedang digunakan lalu mengaktifkan mode yang sepatutnya mengikut kesesuaian, sama ada tablet mode atau desktop mode. Contohnya, jika kita mempunyai sebuah komputer riba yang mempunyai skrin sesentuh, apabila kita hendak menggunakan komputer riba berkenaan seperti sebuah tablet, kita boleh mengaktifkan tablet mode dan berinteraksi dengan Windows dengan menggunakan skrin sesentuh. Kemudian, jika kita mahu kembali menggunakan komputer riba seperti biasa, kita boleh menutup tablet mode.


Biarpun fungsi tablet mode ini kelihatan menarik, namun kita selaku OKU penglihatan masih belum dapat memanfaatkan fungsi skrin sesentuh sepenuhnya dengan pembaca layar pada pelantar Windows. Saya juga yakin masih ramai yang lebih selesa menggunakan Windows dalam desktop mode. Komputer riba di pasaran sekarang semuanya dilengkapi Windows 10 dan sudah pasti juga dengan fungsi tablet mode. Kadangkala, ada antara pengguna OKU penglihatan secara tidak sengaja mengaktifkan mode tablet dalam Windows 10. Kesannya, pembaca layar NVDA dan Jaws tidak dapat berfungsi seperti biasa di desktop.


Tujuan utama artikel kali ini adalah untuk berkongsi dengan rakan-rakan OKU penglihatan yang masih tidak tahu tentang fungsi tablet mode dalam Windows 10 dan bagaimana untuk menutup tablet mode. Sila ikuti langkah ringkas di bawah:

  • Pada papan kekunci, tekan butang “Windows” dan butang “A” untuk membuka “Action Center”.
  • Kemudian, tekan butang “tab” atau “shift+tab” sehingga jumpa “Tablet Mode toggle button pressed” lalu tekan butang “spacebar”” untuk menutup semula tablet mode.
  • Sekarang pastikan tetapan tablet mode telah menjadi “Tablet mode toggle button not pressed” dan tekan butang “alt+f4” atau butang “Esc” untuk menutup tetingkap “Action Center”.
  • Sekarang pembaca layar anda akan berfungsi seperti biasa di desktop.


Misteri Office 365 Lifetime Licence

Perhatian: Posting ini adalah untuk pengetahuan semata-mata. Kami di MYVICT tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pihak Microsoft ataupun mana-mana pengedar lesen yang tidak sah.


Jika rakan-rakan ada mengikuti soal jawab di WhatsApp beberapa hari yang lepas, terdapat pertanyaan mengenai fungsi Microsoft Office 365 yang telah diutarakan. Di sebalik perbincangan tersebut, saya tertarik dengan isu perlesenan Office 365 seumur hidup dan harga Office 365 yang sangat murah dijual dalam pelbagai laman web online. Persoalan ini menjadi satu tanda tanya, kerana Microsoft sendiri mengiklankan office 365 sebagai perkhidmatan langganan, bukannya pembelian secara terus (One time purchase). Oleh itu, posting kali ini akan saya cuba rungkaikan tentang “Office 365 lifetime licence” setelah membaca beberapa sumber di internet.


Microsoft telah memperkenalkan Office 365 di peringkat global pada 29 Januari 2013. Ia diperkenalkan sebagai perkhidmatan langganan bulanan atau tahunan yang membolehkan pelanggan menggunakan Microsoft Office bersama dengan storan awan OneDrive sebanyak 1TB serta Office Online. Di samping itu, pengguna boleh mendapatkan kemaskini perisian selagi langganan mereka masih aktif. Langganan office 365 perlu diperbaharui sekiranya pengguna ingin terus menggunakan perisian Office serta ruang storan awan OneDrive sebanyak 1TB yang disediakan. Langganan bagi perisian ini boleh didapatkan menerusi pengedar microsoft yang sah ataupun dibeli terus daripada pihak Microsoft sendiri secara atas talian.


Selain itu, Office 365 dijual dengan variasi penggunaan satu komputer atau lima komputer pada harga antara RM230 sehingga RM300 untuk satu tahun langganan. Walaupun ia bukan office 2016, Office 365 didatangkan dengan perisian yang serupa, iaitu Word, Excel, Powerpoint, Skype for Business, Outlook, One Note, Publisher, dan sebagainya. Kesemua perisian tersebut berada pada versi 2016 setakat hari ini.


Dengan tawaran seperti yang dijelaskan di atas, apakah sebenarnya misteri Office 365 “lifetime licence” yang dijual dalam beberapa laman web tempatan mahupun laman web e-dagang antarabangsa? Kebanyakkan penjual menjanjikan bukan saja penggunaan Office 365 yang sah tanpa had masa, tetapi harga yang ditawarkan tentu menarik minat kebanyakkan pengguna yang ingin mendapatkan perisian asli ini.


Office 365 “lifetime licence” adalah perisian Microsoft Office yang telah dilesenkan kepada institusi pendidikan atau dikenali sebagai Enrolment for Education (EES). Dengan erti kata lain, ini ialah lesen untuk kegunaan akademik. Jika anda menuntut di salah satu institusi yang mempunyai perjanjian untuk mendapatkan perisian daripada Microsoft, anda boleh mendapatkan Office 365 dan perisian lain bagi penggunaan sepanjang pengajian anda. Walau bagaimanapun, jika anda bukan penuntut mana-mana institusi dan anda membelinya daripada laman web, anda akan menerimanya dalam bentuk login ID yang mengandungi suatu alamat emel dan kata laluan. Anda perlu log masuk ke laman web Microsoft dan memuat turun aplikasi tersebut untuk dipasangkan ke komputer. Penggunaan OneDrive juga adalah berdasarkan kepada ID yang anda terima, dan bukannya melalui akaun outlook atau Hotmail anda.


Namun demikian, jika anda membeli di kedai ataupun melalui kedai atas talian Microsoft, anda akan menerima 25 digit product key yang anda boleh gunakan pada laman web Microsoft yang disediakan untuk mendapatkan office 365. Tambahan pula, anda akan menggunakan akaun Microsoft anda sendiri, dan bukannya akaun lain seperti yang anda dapat melalui pelesenan institusi pengajian. Tarikh langganan anda akan bermula sebaik saja anda menggunakan product key tersebut dan tamat selepas tempoh setahun.


Persoalannya, adakah Office 365 “lifetime licence” perisian yang tulen (genuine)? Jawapannya ya, kerana secara teknikalnya perisian ini telah dilesenkan untuk kegunaan suatu institusi pengajian, dan pihak admin institusi tersebut boleh melesenkan sejumlah komputer di institusi pengajian tersebut untuk menggunakan perisian Office 365 berdasarkan perjanjian yang mereka tandatangani dengan Microsoft. Mereka tidak dibenarkan untuk menjual hak milik penggunaan tersebut kepada pihak yang tidak ada kaitan dengan institusi pengajian seperti yang dilesenkan.


Walau bagaimanapun, jika dilihat dari sudut kesahan penggunaan oleh pengguna biasa, penggunaan Office 365 “lifetime licence” ini sebenarnya tidak sah dari segi undang-undang kerana:

  1. Pengguna tersebut bukan daripada institusi pengajian yang dilesenkan, dan tidak sah untuk menggunakan Office 365 education “lifetime licence”.
  2. Mengikut terma Microsoft, pengedar atau penjual tidak dibenarkan untuk menjual lesen akademik kepada orang awam dengan harga yang sebegitu rendah. Sebaliknya, orang awam perlu mendapatkan Office 365 yang diedarkan secara rasmi untuk umum.


Kesimpulannya, sekiranya anda telah membeli perisian seperti yang dimaksudkan dalam article ini, anda menggunakannya atas risiko sendiri. Pihak Microsoft boleh saja pada bila-bila masa menyenarai hitam lesen akademik yang didapati telah disalahguna, dan menyebabkan Office 365 anda tidak berfungsi.


Microsoft Bakal Menamatkan Tawaran Naiktaraf Percuma Ke Windows 10 Bagi Pengguna “accessibility”


Pengguna Windows 7, Windows 8, dan Windows 8.1 telah diberikan peluang untuk naiktaraf ke Windows 10 secara percuma apabila ia dilancarkan pada hujung bulan Julai 2015. Ini sebenarnya adalah kali pertama semua pengguna Windows yang tulen ataupun “genuine” boleh naiktaraf ke versi Windows yang seterusnya tanpa dikenakan sebarang bayaran. Microsoft agak bermurah hati kerana tempoh yang telah diberikan adalah selama setahun, sekaligus memberikan masa kepada pengguna untuk berfikir sama ada hendak bertukar ke Windows 10 atau sebaliknya.


Namun demikian, menyedari Windows 10 pada masa itu masih agak baru dan tidak disokong oleh kebanyakkan perisian accessibility, seperti pembaca skrin, Magnifier, dan sebagainya. Microsoft telah memberikan tempoh kepada pengguna ciri “accessibility” untuk naiktaraf ke Windows 10 selepas tamatnya tempoh naiktaraf rasmi. Kini, setelah lebih daripada setahun tempoh naiktaraf dilanjutkan, nampaknya Microsoft akan menamatkan tempoh naiktaraf ke Windows 10 untuk pengguna “accessibility” pada 31 Disember 2017.


Dalam Halaman rasmi “Windows 10 upgrade for assistive technology users”, Microsoft menyatakan bahawa pelbagai penambahbaikan dari segi accessibility telah dilakukan setelah beberapa kemaskini Windows 10 dilakukan semenjak ia dilancarkan. Oleh itu, pihak Microsoft berpendapat bahawa Windows 10 telah boleh digunakan dengan baik oleh majoriti golongan yang memerlukan ciri “accesibility”, dan menyarankan agar mereka yang layak menaiktaraf ke sistem operasi ini sebelum 31 Disember 2017. Selepas tarikh tersebut, tiada sebarang naiktaraf percuma ke Windows 10, dan pengguna perlulah membeli lesen yang sah sekiranya hendak menggunakan sistem operasi ini.


Bagi anda yang berminat tetapi belum lagi naiktaraf, bolehlah ke laman web di bawah untuk memulakan proses naiktaraf ke windows 10.



Windows 10 upgrade for assistive technology users

Menangani Masalah Jangkitan Virus Shortcut dan Fail yang Disembunyikan oleh Virus

Jangkitan virus merupakan perkara yang paling ditakuti oleh ramai pengguna. Acap kali kita dengari masalah jangkitan virus yang mengakibatkan permasalahan berikut:

  • Fail yang disimpan secara tiba-tiba hilang tetapi ruangan simpanan masih kelihatan seperti digunakan.
  • Munculnya banyak fail dengan nama-nama pelik.
  • Fail asal bertukar menjadi shortcut apabila diaktifkan.


Kesemua simptom di atas merupakan simptom paling biasa berlaku kepada kebanyakan pengguna pendrive dan external hard disk. Ramai yang tidak tahu akan hanya pasrah dengan kehilangan/kerosakan fail dan cenderung bertindak memformat pendrive atau external hard disk mereka. Sebenarnya, dengan sedikit ilmu command prompt, anda boleh menyelesaikan permasalahan di atas, sekali gus menyelamatkan fail berharga yang disimpan. Sebelum anda menggunakan kaedah command prompt di bawah, dinasihatkan anda untuk melakukan scan dan pembersihan dengan mana-mana perisian anti virus/anti malware.


Perhatian: Sesiapa yang kurang biasa dengan command prompt, sila berhati-hati ketika mengikuti arahan di bawah. Dalam contoh di bawah, kita andaikan sedang menggunakan pendrive, namun caranya tetap sama bagi external hard disk.



Langkah 1

Pasang pendrive yang dijangkiti ke komputer, lalu kenal pasti huruf bagi pendrive berkenaan contohnya, f: atau g:.



Langkah 2

Tekan butang Windows untuk membuka search edit box, kemudian taip: cmd.exe lalu tekan ctrl+shift+enter untuk membuka command prompt sebagai administrator.



Langkah 3

Sesudah command prompt administrator terbuka, kita perlu membawa fokus destinasi kepada pendrive yang dijangkiti. Seperti dalam langkah pertama, taip huruf drive bagi pendrive anda seperti berikut: f: dan tekan enter.



Langkah 4

Sekarang untuk membersihkan pendrive anda, sila taip command berikut: attrib -s -r -h *.* /s /d dan tekan enter. Proses pembersihan akan mengambil masa beberapa saat. Sesudah selesai, untuk keluar dari command prompt taip command berikut: exit dan tekan enter. Sekarang anda boleh buka pendrive dan lihat keadaan fail yang disimpan sudah kembali seperti biasa. Anda dinasihatkan untuk memindahkan semua fail tersebut ke komputer dan format pendrive berkenaan.


Diharap posting kali ini akan membantu anda di luar sana untuk menyelamatkan fail peribadi yang berharga daripada menjadi mangsa virus. Namun demikian, kaedah command prompt bukanlah penyelesaian bagi semua ancaman virus, anda masih perlu memasang perisian anti virus dalam komputer.

Cara Mendapatkan Katalaluan Wifi Pada Windows 10



terlupa katalaluan merupakan suatu perkara yang dihadapi oleh para pengguna teknologi, apatah lagi katalaluan yang jarang digunakan. Salah satu daripadanya ialah katalaluan WiFi, yang kebiasaannya hanya perlu dimasukkan sekali sahaja. Namun begitu, tahukah anda bahawa katalaluan WiFi yang telah dimasukkan ke dalam komputer boleh didapatkan semula sekiranya kita terlupa akan katalaluan tersebut.


Cara yang akan ditunjukkan pada posting kali ini adalah untuk mendapatkan kembali katalaluan WiFi pada komputer dengan menggunakan windows 10. Sekiranya anda terlupa katalaluan yang telah dimasukkan ke komputer windows 10, ikuti langkah berikut untuk mendapatkannya.

  1. Tekan Windows key +X, kemudian pilih Command Prompt (Admin).
  2. Di dalam command Prompt, masukkan command seperti berikut:
  3. netsh wlan show profile

    kemudian tekan enter.

  4. Command ini akan menunjukkan semua rangkaian Wifi yang pernah digunakan pada komputer tersebut.
  5. Untuk mendapatkan katalaluan bagi sesuatu WiFi, masukkan command seperti berikut, kemudian tekan enter. Sila gantikan “Network name” dengan nama WiFi anda.
  6. netsh wlan show profile “Network name” key=clear



Katalaluan bagi nama WiFi tersebut akan dipaparkan pada bahagian key content yang ditunjukkan pada command prompt. Sekarang, anda bolehlah salin katalaluan tersebut untuk digunakan pada peranti lain yang memerlukan sambungan ke Wifi tersebut.


Selamat mencuba dan semoga berjaya.

Tawaran Naik Taraf Percuma ke Windows 10 Untuk Pengguna Yang Menggunakan Teknologi Bantuan


Bagi orang awam, tawaran naik taraf percuma untuk Windows 10 berakhir pada 29 Julai 2016. Walau bagaimanapun, jika anda menggunakan teknologi bantuan seperti screen reader, anda masih boleh mendapatkan tawaran naik taraf percuma walaupun selepas tarikh akhir awam tamat kerana pihak Microsoft terus usaha untuk meningkatkan keupayaan Windows 10 untuk pengguna yang menggunakan teknologi bantuan.


Dengan Windows 10 Anniversary Update, pihak Microsoft telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan keupayaan accessibility untuk Windows 10. Untuk mengetahui lebih lanjut, sila baca blog Microsoft yang menerangkan beberapa pembaikan ini.


Sebelum anda menaik taraf ke Windows 10, sila periksa dengan pembekal teknologi bantuan anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keserasian perisian mereka dengan Windows 10. Jika anda sudah bersedia untuk naik taraf ke Windows 10 dan ingin mengambil kesempatan daripada tawaran naik taraf percuma, tekan pautan di bawah untuk memulakan proses naik taraf.


Ya, saya menggunakan teknologi bantuan dan saya bersedia untuk naik taraf percuma ke Windows 10.


NOTA: Pautan di atas akan mmuat turun satu fail bernama (Windows10Upgrade9252.exe) dan anda harus memasang pada komputer yang ingin dinaik taraf ke Windows 10 dan ikut arahan selanjutnya pada komputer anda.


Sumber daripada microsoft.com


Windows 7 Boleh Digunakan Sehingga 2020, Windows 8 Sehingga 2023



Kebanyakan pembaca MYVICT mungkin sudah tahu bahawa tempoh untuk naik taraf ke Windows 10 akan tamat menjelang tengah malam ini. Pelbagai kaedah telah digunakan oleh pihak Microsoft untuk menggalakkan pengguna Windows 7, Windows 8, dan Windows 8.1 yang tulin untuk naik taraf ke versi Windows yang terbaru. Walau bagaimanapun, mungkin ada yang masih enggan untuk naik taraf ke Windows 10 atas sebab sebab tertentu, lalu telah mencuba apa juga cara untuk menghalang proses naik taraf tersebut daripada dijalankan.


Jika anda salah seorang daripada pengguna Windows 7 atau Windows 8/8.1 yang tidak mahu upgrade ke Windows 10, anda masih boleh menggunakan Windows 7 selepas tarikh 29 Julai, tetapi proses upgrade selepas tarikh tersebut tidak lagi percuma. Walaupun Microsoft tidak lagi menambah ciri baru dalam kemaskini windows 7 sejak 13 Januari 2015 (Mainstream Support Ends January 2015), mereka masih akan menyokong sistem operasi Windows 7 sehingga 14 Januari 2020 (End of Extended Support). Selepas tarikh tersebut, tiada sebarang kemaskini sekuriti akan diperkenalkan. Untuk Windows 8 dan Windows 8.1, “Mainstream Support” akan tamat pada 9 Januari 2018, manakala “Extended Support” pula adalah sehingga 10 Januari 2023.


Oleh itu, disarankan agar pengguna Windows 7 dan Windows 8/8.1 mula naik taraf ke Windows yang lebih baru sebelum tamat tarikh sokongan rasmi yang disenaraikan di atas, agar keselamatan sistem anda terjamin. Kami merasakan bahawa tempoh sokongan yang diberikan itu adalah munasabah, memandangkan setiap komputer juga mempunyai jangka hayat yang tertentu sebelum ia perlu digantikan.


Sumber daripada Windows lifecycle fact sheet