Kebocoran Data Pada Yahoo! Melibatkan 500 Juta Pengguna


Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Yahoo! pada hari ini, mereka telah mengesahkan bahawa sejumlah besar data pengguna telah tertiris akibat penggodaman rangkaian mereka pada tahun 2014. Laporan tersebut menyatakan bahawa sebanyak 500 juta akaun pengguna yang terlibat. Antara data yang dicuri termasuklah nama, alamat emel, kata laluan, nombor telefon, dan soalan keselamatan.


Pihak yahoo! berkata mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini. Walaupun kata laluan yang diperolehi telah dilindungi, Yahoo! menasihatkan pengguna yang tidak pernah menukar katalaluan sejak tahun 2014 untuk menukar katalaluan mereka dengan segera. Mereka juga telah menyediakan satu halaman FAQ khusus untuk pengguna Yahoo!.


Penggodaman rangkaian Yahoo! ini merupakan penggodaman yang terbesar di dunia setakat ini. Sebelum ini, penggodaman paling besar berlaku pada MySpace pada tahun 2008 melibatkan kira-kira 360 juta akaun pengguna. Linked In juga pernah menerima nasib yang sama apabila sejumlah 167 juta akaun pengguna telah digodam pada tahun 2012. Namun begitu, bagi kes Linked In, data pengguna tersebut hanya mula disebarkan pada tahun ini. Pada tahun 2013 pula, syarikat Adobe digodam dan sejumlah 153 juta akaun pengguna terjejas. Data yang diperolehi termasuklah alamat emel, nama pengguna, dan kata laluan.


Kejayaan para penggodam memecah masuk rangkaian sesuatu laman web adalah perkara yang merisaukan, lebih-lebih lagi, kebanyakkan pengguna Internet cenderung untuk menggunakan katalaluan yang sama untuk beberapa laman web. Oleh itu, kejayaan mendapatkan emel dan katalaluan Yahoo! misalnya memungkinkan akaun pada laman web lain turut diceroboh. Kepada pembaca MYVICT, kami nasihatkan agar anda sentiasa menggunakan katalaluan yang selamat. Elakkan daripada menggunakan katalaluan yang terlalu mudah untuk diteka seperti abc123456. Sebaik-baiknya, gunakan katalaluan yang berbeza daripada katalaluan emel untuk perkhidmatan kewangan seperti Bank dan PayPal.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *