Mari Kenali Perkembangan Teknologi Cellular


Komunikasi mudah alih sudah menjadi satu keperluan pada masa ini. Kita sedia maklum bahawa komunikasi cellulor yang berbentuk 4G atau LTE sering diperkatakan. Malahan, syarikat telekomunikasi di Malaysia, iaitu Celcom, DiGi, Maxis, UMobile, dan akan datang, Webe, bersaing untuk memperkenalkan dan mengembangkan liputan 4G di negara ini. Walaubagaimanapun, mungkin masih ramai yang tidak mengetahui kaedah komunikasi cellular pra 4G. Jadi pada hari ini, kita akan melihat sedikit sebanyak mengenai perkembangan teknologi cellular sebelum 4G.


Seorang pakar komunikasi tempatan, Prof. Dr. Tharek Abdul Rahman berkata, komunikasi 1G merujuk kepada teknologi selular generasi pertama yang diperkenalkan pada 1980-an. Teknologi 1G menggunakan sistem analog yang mana pengguna boleh menerima dan membuat panggilan telefon di mana sahaja selagi mempunyai liputan dari pemancar radio selular. Contoh sistem tersebut yang digunakan di negara ini adalah ATUR 450, ART 900 dan Mobifon 800 dan penggunaan sistem ini terhad kepada suara sahaja, ujarnya.


Seterusnya ialah teknologi 2G iaitu teknologi selular generasi kedua yang diperkenalkan dalam dekad 1990-an. Teknologi 2G menggunakan sistem digital yang mana prestasinya lebih baik berbanding 1G.
Contoh sistem tersebut yang digunakan di Malaysia adalah GSM. Tetapi penggunaannya adalah untuk suara sahaja. Beliau bagaimanapun berkata, GSM telah ditambah baik kepada sistem yang dinamakan General Packet Radio Services (GPRS) bagi membolehkan penghantaran data di buat melalui sistem selular. Dengan penggunaan GPRS, penghantaran dan penerimaan data boleh dibuat melalui sistem selular dengan kelajuan sehingga 100 kilobit sesaat (kbps) dan dinamakan sebagai 2.5G.


Daripada GPRS, sistem tersebut telah ditambahbaik lagi ke EDGE atau Enhanced Data for GSM Evolution dan dinamakan sebagai 2.75G dan boleh menghantar dan menerima data sehingga 384 kbps. Sistem 2G menggunakan teknologi TDMA (Time Division Multiple Access).


Mengenai 3G, beliau berkata, ia merupakan teknologi selular generasi ketiga yang diperkenalkan dalam pada 2000. Menurut Tharek, kelebihan 3G ialah ia boleh digunakan untuk suara dan data sehingga kelajuan 2Mbps. Teknologi 3G juga membolehkan kita membuat panggilan video selain suara dan data dan merupakan piawaian yang global berbanding dengan 1G atau 2G. Sebagai contoh jika kita ke Jepun atau Korea, panggilan telefon tidak boleh dibuat dengan menggunakan teknologi 2G, sebaliknya teknologi 3G membolehkan kita membuat panggilan telefon ke seluruh dunia, ujarnya.


Perkembangan seterusnya ialah Sistem 3G juga yang dipanggil WCDMA atau Wideband Code Division Multiple Access. Sistem tersebut telah ditambah baik melalui penggunaan HSPA (High Speed Packet Access), yang terbahagi kepada High Speed Downlink Packet Access (HSDPA) dan High Speed Uplink Packet Access (HSUPA). HSDPA boleh mencapai kelajuan sehingga 14 Mbps dan HSUPA boleh mencapai kelajuan sehingga 5Mbps.


Seterusnya, penambahbaikan telah dibuat yang mana kelajuan telah mencapai sehingga 28Mbps yang dinamakan sebagai HSPA + (High Speed Packet Access). 3G mengunakan teknologi yang dinamakan CDMA (Code Division Multiple Acces).


Beliau seterusnya menjelaskan, 4G merupakan teknologi selular generasi keempat yang menggunakan teknologi Evolusi Jangka Panjang (LTE). Kelajuan teknologi LTE boleh mencapai sehingga 100Mbps. Teknologi yang digunakan oleh LTE adalah OFDMA (Orthogonal Frequency Division Multiple Access).


Menurut Tharek, LTE merupakan evolusi dari HSPA+. Selain kelajuan yang tinggi, teknologi tersebut dapat menampung lebih ramai pengguna berbanding dengan 3G iaitu lebih kurang tiga kali ganda. Selain itu, kos penggunaan data adalah lebih murah dengan kelajuan yang lebih tinggi.


Kesimpulannya, perbezaan antara 2G, 3G dengan 4G adalah kelajuan capaian data atau capaian Internet adalah jauh lebih tinggi.


Dipetik dan diubahsuai daripada
Orangmuda.tv


Leave a Reply