Memahami Cara Penggunaan Ribbon


Ribbon adalah sebuah antaramuka menu baru yang menggantikan Menu dan toolbar dan pertama sekali diperkenalkan pada Microsoft Office 2007. Selepas itu, semakin banyak produk Microsoft yang didatangkan dengan Ribbon, termasuklah sistem operasi terbaru Microsoft iaitu Windows 10. Bagi mereka yang celik, sama ada suka atau tidak, lebih mudah bagi mereka menyesuaikan diri dengan Ribbon. Namun sebaliknya bagi golongan OKU penglihatan terutamanya mereka yang menggunakan perisian pembaca skrin seperti JAWS atau NVDA.

Disebabkan sudah terlalu biasa dengan Menu bar, perubahan kepada Ribbon dilihat sebagai perubahan yang drastik bagi sesetengah golongan OKU penglihatan. Ramai yang tidak dapat memahami konsep Ribbon dan gagal untuk menyesuaikan diri dengan Ribbon. Hinggakan ada yang sanggup kekal menggunakan MS Office 2003 dan Windows 7 kerana tidak mahu berdepan dengan Ribbon. Ada juga yang menggunakan tools tambahan untuk mengubah Ribbon kepada Menu bar. Malahan, Freedom Scientific turut memperkenalkan fungsi Virtual Ribbon Menu pada JAWS untuk memudahkan penggunanya mengakses Ribbon.

Pada pendapat kami di MYVICT, adalah lebih baik untuk kita memahami konsep Ribbon dan mempelejari cara menggunakannya. Bayangkan jika anda mendapat sebuah komputer yang didatangkan dengan Windows 10 dan perisian yang menggunakan Ribbon menu, anda pula tidak mempunyai tools untuk mengubah Ribbon. Ditambah pula komputer berkenaan tidak didatangkan dengan JAWS, sudah tentu anda akan terkapai-kapai pada waktu itu untuk menggunakan Ribbon. Oleh itu, posting kali ini akan memperjelaskan beberapa konsep asas Ribbon, membandingkan istilah yang digunakan dalam Ribbon dan Menu bar dan sekali gus menerangkan cara penggunaan Ribbon dengan perisian pembaca skrin.


Terlebih dahulu, kita akan lihat konsep asas Ribbon dan perbandingan istilah yang digunakan dalam Ribbon dan Menu bar.

  • Menu lama dikenali sebagai Menu bar dan menu baru dikenali sebagai Ribbon.
  • Dalam Menu bar, mengandungi subMenu. Manakala dalam Ribbon, mengandungi tab.
  • Dalam subMenu dan tab, terdapat pelbagai pilihan untuk sebarang perkara yang ingin dilaksanakan bergantung pada perisian yang digunakan.


Sekarang mari kita lihat perbandingan cara penggunaan Ribbon dan Menu bar dengan menggunakan pembaca skrin.

  • Untuk mengaktifkan Menu bar dan Ribbon, tekan butang Alt.
  • Untuk melihat senarai subMenu dan tab yang ada, tekan butang arrow kiri atau kanan.
  • Di sini bermula perbezaan, untuk membuka satu-satu subMenu, tekan butang arrow bawah. Namun bagi tab, tekan butang tab untuk membuka sesuatu tab.
  • Dalam subMenu, boleh menekan butang arrow atas dan bawah untuk melihat semua opsyen yang ada. Bagi tab pula, boleh menekan butang tab dan kombinasi shift+tab untuk melihat kandungan sesuatu tab.
  • Dalam sesuatu subMenu, tekan butang Enter untuk mengaktifkan opsyen yang dikehendaki. Dalam sesuatu tab pula, boleh menekan butang Enter atau butang Spacebar untuk mengaktifkan sesuatu opsyen.
  • Untuk menutup atau keluar daripada Ribbon, Menu bar, tab dan subMenu, tekan butang Esc atau butang Alt.


Memperlihatkan penjelasan menerusi perbandingan yang diberikan di atas, anda seharusnya sudah lebih faham cara untuk menggunakan Ribbon. Di bawah, mari kita lihat beberapa perkara tambahan yang boleh anda manfaatkan untuk meningkatkan tahap keefisienan penggunaan Ribbon.

  • Dalam Ribbon dan Menu bar, terdapat shortcut key untuk mengaktifkan sesuatu opsyen. Begitu juga apabila berada dalam subMenu dan tab, pasti akan ada shortcut key yang akan dibaca oleh pembaca skrin di hujung setiap menu. Sebagai contoh, pada Windows 10, apabila berada di file explorer atau membuka mana-mana folder, anda boleh menekan shortcut key Alt+h lalu menakan butang n untuk menghasilkan sebuah folder baru. Pada Windows 7 pula, untuk melakukan perkara yang sama, tekan butang Alt+f kemudian tekan butang w dan tekan butang f.
  • Kita boleh mengubah keadaan Ribbon dengan menekan butang Alt untuk pergi ke Ribbon, kemudian tekan butang arrow kiri sehingga anda dengar pembaca skring menyebut, “Minimize the Ribbon button Show only the tab names on the Ribbon”. Menu ini bermaksud, apabila berada pada Ribbon dan fokus pada satu tab, boleh terus tekan butang Tab untuk melihat isi kandungan tab tersebut. Namun begitu, sekiranya anda menekan butang Spacebar pada menu ini, menu tersebut akan berubah menjadi, “Minimize the Ribbon button Show the Ribbon so that it is always expanded even after you click a command”, ini bermaksud, apabila berada pada Ribbon dan fokus pada satu tab, kita perlu menekan butang Spacebar untuk terlebih dahulu mengaktifkan tab tersebut, kemudian barulah kita boleh menekan butang Tab untuk melihat kandungan tab berkenaan.


Setelah membaca dan mencuba tips yang diberikan di atas, adakah anda lebih faham dan mampu menggunakan Ribbon dengan pembaca skrin? Sekiranya artikel di atas tidak memadai, sila klik di sini untuk mendengar audio tutorial berkenaan Ribbon.


Kongsikan pada Media Sosial Anda
1 COMMENT
  • Ribbon: Memahami Konsep dan Cara Penggunaan – MYVICTCast – MYVICT

    […] Sila klik di sini untuk membaca artikel berkenaan Ribbon. […]

Leave a Reply

Switch to desktop version