Memanfaatkan Fungsi Low Power Mode dalam Platform iOS (iPhone)


Pengenalan kepada Low Power Mode

Low Power Mode adalah fungsi yang diperkenalkan pada iOS 9 untuk iPhone. Low Power Mode membolehkan bateri iPhone anda bertahan lebih lama dalam satu cas dengan mengurangkan prestasi iPhone melalui beberapa cara. Sekiranya anda tahu yang anda akan berada di luar untuk satu jangka masa yang panjang dan tidak mempunyai tempat untuk mengecas iPhone, maka fungsi Low Power Mode adalah salah satu fungsi yang boleh menjadi penyelamat. Pada tetapan asal, iOS akan memberikan pilihan untuk anda mengaktifkan Low Power Mode apabila peratusan bateri berbaki 20% dan sekali lagi sewaktu berbaki 10%. Jika fungsi Low Power Mode diaktifkan, bateri anda akan dapat bertahan sekitar 30% hingga 40% lebih lama.


Secara peribadi, saya sering menggunakan fungsi Low Power Mode biarpun bateri masih pada 100%. Impaknya, bateri iPhone saya mampu bertahan lebih lama untuk beberapa jam. Contoh rutin harian saya, keluar rumah untuk ke tempat kerja pada pukul 7 pagi dan balik rumah pada pukul 7 petang. Corak penggunaan iPhone sepanjang hari pula, menonton beberapa video di Youtube, mendengar lagu, membuat/menerima beberapa panggilan telefon dan menggunakan WhatsApp dengan agak kerap. Tanpa penggunaan Low Power Mode, baki tenaga bateri saya selalunya akan berada sekitar 10% hingga 30% apabila sampai di rumah. Dengan penggunaan Low Power Mode pula, baki tenaga bateri saya selalunya berbaki sekitar 30% hingga 50%. Harus diingatkan, hasil di atas amat bergantung pada corak penggunaan iPhone dan keadaan bateri anda.


Impak Low Power Mode Terhadap Peranti

Pengaktifan Low Power Mode akan meningkatkan ketahanan tenaga bateri dengan mematikan beberapa fungsi dalam iPhone. Dengan erti kata lain, anda tidak akan dapat menggunakan fungsi berikut:

  • Fungsi “Hey Siri”, Background app refresh, Email fetch, Automatic download, Motion wallpapers dan sebarang efek animasi akan dimatikan.
  • Screen brightness akan dikurangkan dan Auto-lock pula akan ditetapkan pada 30 saat.
  • Aplikasi yang mempunyai efek animasi dan fungsi yang menggunakan banyak tenaga juga akan dinyahaktifkan.
  • Prestasi CPU dan GPU akan dikurangkan.

Semua perkara di atas dilaksanakan untuk menjimatkan penggunaan tenaga bateri, sekali gus membuatkan bateri bertahan lebih lama. Sudah tentu, prestasi iPhone akan sedikit berkurangan akibat daripada pengaktifan Low Power Mode, oleh sebab itu anda sentiasa boleh memilih untuk mengaktifkan atau menyahaktifkan fungsi ini pada bila-bila masa. Pada pendapat saya, bukannya sepanjang masa kita akan menggunakan potensi sebenar CPU dan GPU, maka amat berbaloi jika Low Power Mode diaktifkan pada masa-masa tertentu untuk ketahanan bateri yang lebih lama.


Cara Mengaktifkan dan menyahaktifkan Low Power Mode

Sekarang kita lihat bagaimana untuk mengaktifkan Low Power Mode:

P/S: Semua langkah di bawah adalah berdasarkan penggunaan VoiceOver.

  • Masuk ke “Settings”.
  • Scroll ke bawah dan masuk ke “Battery”.
  • Swipe ke kanan sehingga jumpa “Low Power Mode, off”.
  • Tap dua kali untuk aktifkan Low Power Mode. Kaedah yang sama boleh digunakan untuk menyahaktifkan fungsi ini.

Terima kasih ppada iOS 11, kita kini boleh meletakkan pelbagai fungsi di Control Centre untuk akses yang lebih pantas. Sila ikuti langkah berikut untuk menambah fungsi Low Power Mode di Control Centre:

  • Masuk “Settings”.
  • Scroll ke bawah dan masuk ke “Control Centre”.
  • Swipe ke kanan sehingga jumpa “Customise Controls”.
  • Pada skrin ini, terdapat dua heading, gerak ke heading kedua iaitu “More Controls”.
  • Kemudian, swipe ke kanan sehingga jumpa “Insert Low Power Mode” dan tap dua kali.
  • Sekarang gerak ke heading pertama iaitu “Include”, dan swipe ke kanan untuk pastikan “Low Power Mode” berada di bawah heading ini.
  • Untuk mengakses Low Power Mode dengan lebih pantas, anda boleh sentuh sekali dengan satu jari pada status bar, lalu swipe tiga jari ke atas di bahagian tengah skrin untuk membuka Control Center. Sekarang cari Low Power Mode dan tap dua kali untuk aktifkan atau nyahtifkan fungsi tersebut.


Maklumat Tambahan

Berikut adalah beberapa maklumat tambahan yang perlu diketahui tentang Low Power Mode:

  • Fungsi Low Power Mode hanya terdapat pada iPhone.
  • Sewaktu mengecas bateri dengan Low Power Mode diaktifkan, secara automatik Low Power Mode akan dinyahaktifkan apabila peratusan bateri mencecah 80%. Hal ini demikian kerana iOS beranggapan bahawa bateri pada tahap 80% akan membekalkan anda penggunaan peranti yang cukup panjang.
  • Mungkin ada yang bertanya, adakah terdapat sebarang impak negatif terhadap bateri atau peranti jika terlalu kerap menggunakan Low Power Mode? Jawapannya, tidak. Fungsi ini hanya mengurangkan prestasi peranti dan menjimatkan penggunaan bateri.
  • Mengaktifkan Low Power Mode ketika mengecas bateri akan membantu mempercepatkan lagi proses pengecasan bateri. Saya selalunya akan mengaktifkan Airplane Mode dan Low Power Mode ketika mengecas bateri.
  • Sekiranya anda mahu membuat tugasan-tugasan yang berat atau memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi, sebaiknya anda menyahaktifkan Low Power Mode. Begitu juga, jika anda sedari iPhone anda berkelakuan luar daripada biasa, cuba matikan fungsi berkenaan dan lihat sebarang perubahan.

Bagi mereka yang belum pernah mencuba Low Power Mode, sila cuba dan lihat perbezaan jangka masa ketahanan bateri anda untuk sehari. Selamat mencuba.


Leave a Reply