Menutup Tablet Mode dalam Windows 10


Bermula dengan Windows 8, Microsoft telah mula mengintegrasikan mode tablet dengan memperkenalkan fungsi “Start Screen” yang kurang mendapat sambutan. “Start Screen” disasarkan kepada mereka yang menggunakan Windows pada peranti yang mempunyai skrin sesentuh seperti tablet. Microsoft telah membuat penambahbaikan dalam Windows 10 dengan fungsi “Continuum”. “Continuum” membolehkan Windows 10 mengenal pasti jenis peranti yang sedang digunakan lalu mengaktifkan mode yang sepatutnya mengikut kesesuaian, sama ada tablet mode atau desktop mode. Contohnya, jika kita mempunyai sebuah komputer riba yang mempunyai skrin sesentuh, apabila kita hendak menggunakan komputer riba berkenaan seperti sebuah tablet, kita boleh mengaktifkan tablet mode dan berinteraksi dengan Windows dengan menggunakan skrin sesentuh. Kemudian, jika kita mahu kembali menggunakan komputer riba seperti biasa, kita boleh menutup tablet mode.


Biarpun fungsi tablet mode ini kelihatan menarik, namun kita selaku OKU penglihatan masih belum dapat memanfaatkan fungsi skrin sesentuh sepenuhnya dengan pembaca layar pada pelantar Windows. Saya juga yakin masih ramai yang lebih selesa menggunakan Windows dalam desktop mode. Komputer riba di pasaran sekarang semuanya dilengkapi Windows 10 dan sudah pasti juga dengan fungsi tablet mode. Kadangkala, ada antara pengguna OKU penglihatan secara tidak sengaja mengaktifkan mode tablet dalam Windows 10. Kesannya, pembaca layar NVDA dan Jaws tidak dapat berfungsi seperti biasa di desktop.


Tujuan utama artikel kali ini adalah untuk berkongsi dengan rakan-rakan OKU penglihatan yang masih tidak tahu tentang fungsi tablet mode dalam Windows 10 dan bagaimana untuk menutup tablet mode. Sila ikuti langkah ringkas di bawah:

  • Pada papan kekunci, tekan butang “Windows” dan butang “A” untuk membuka “Action Center”.
  • Kemudian, tekan butang “tab” atau “shift+tab” sehingga jumpa “Tablet Mode toggle button pressed” lalu tekan butang “spacebar”” untuk menutup semula tablet mode.
  • Sekarang pastikan tetapan tablet mode telah menjadi “Tablet mode toggle button not pressed” dan tekan butang “alt+f4” atau butang “Esc” untuk menutup tetingkap “Action Center”.
  • Sekarang pembaca layar anda akan berfungsi seperti biasa di desktop.


Kongsikan pada Media Sosial Anda

Leave a Reply

Switch to mobile version