Misteri Office 365 Lifetime Licence

Perhatian: Posting ini adalah untuk pengetahuan semata-mata. Kami di MYVICT tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pihak Microsoft ataupun mana-mana pengedar lesen yang tidak sah.


Jika rakan-rakan ada mengikuti soal jawab di WhatsApp beberapa hari yang lepas, terdapat pertanyaan mengenai fungsi Microsoft Office 365 yang telah diutarakan. Di sebalik perbincangan tersebut, saya tertarik dengan isu perlesenan Office 365 seumur hidup dan harga Office 365 yang sangat murah dijual dalam pelbagai laman web online. Persoalan ini menjadi satu tanda tanya, kerana Microsoft sendiri mengiklankan office 365 sebagai perkhidmatan langganan, bukannya pembelian secara terus (One time purchase). Oleh itu, posting kali ini akan saya cuba rungkaikan tentang “Office 365 lifetime licence” setelah membaca beberapa sumber di internet.


Microsoft telah memperkenalkan Office 365 di peringkat global pada 29 Januari 2013. Ia diperkenalkan sebagai perkhidmatan langganan bulanan atau tahunan yang membolehkan pelanggan menggunakan Microsoft Office bersama dengan storan awan OneDrive sebanyak 1TB serta Office Online. Di samping itu, pengguna boleh mendapatkan kemaskini perisian selagi langganan mereka masih aktif. Langganan office 365 perlu diperbaharui sekiranya pengguna ingin terus menggunakan perisian Office serta ruang storan awan OneDrive sebanyak 1TB yang disediakan. Langganan bagi perisian ini boleh didapatkan menerusi pengedar microsoft yang sah ataupun dibeli terus daripada pihak Microsoft sendiri secara atas talian.


Selain itu, Office 365 dijual dengan variasi penggunaan satu komputer atau lima komputer pada harga antara RM230 sehingga RM300 untuk satu tahun langganan. Walaupun ia bukan office 2016, Office 365 didatangkan dengan perisian yang serupa, iaitu Word, Excel, Powerpoint, Skype for Business, Outlook, One Note, Publisher, dan sebagainya. Kesemua perisian tersebut berada pada versi 2016 setakat hari ini.


Dengan tawaran seperti yang dijelaskan di atas, apakah sebenarnya misteri Office 365 “lifetime licence” yang dijual dalam beberapa laman web tempatan mahupun laman web e-dagang antarabangsa? Kebanyakkan penjual menjanjikan bukan saja penggunaan Office 365 yang sah tanpa had masa, tetapi harga yang ditawarkan tentu menarik minat kebanyakkan pengguna yang ingin mendapatkan perisian asli ini.


Office 365 “lifetime licence” adalah perisian Microsoft Office yang telah dilesenkan kepada institusi pendidikan atau dikenali sebagai Enrolment for Education (EES). Dengan erti kata lain, ini ialah lesen untuk kegunaan akademik. Jika anda menuntut di salah satu institusi yang mempunyai perjanjian untuk mendapatkan perisian daripada Microsoft, anda boleh mendapatkan Office 365 dan perisian lain bagi penggunaan sepanjang pengajian anda. Walau bagaimanapun, jika anda bukan penuntut mana-mana institusi dan anda membelinya daripada laman web, anda akan menerimanya dalam bentuk login ID yang mengandungi suatu alamat emel dan kata laluan. Anda perlu log masuk ke laman web Microsoft dan memuat turun aplikasi tersebut untuk dipasangkan ke komputer. Penggunaan OneDrive juga adalah berdasarkan kepada ID yang anda terima, dan bukannya melalui akaun outlook atau Hotmail anda.


Namun demikian, jika anda membeli di kedai ataupun melalui kedai atas talian Microsoft, anda akan menerima 25 digit product key yang anda boleh gunakan pada laman web Microsoft yang disediakan untuk mendapatkan office 365. Tambahan pula, anda akan menggunakan akaun Microsoft anda sendiri, dan bukannya akaun lain seperti yang anda dapat melalui pelesenan institusi pengajian. Tarikh langganan anda akan bermula sebaik saja anda menggunakan product key tersebut dan tamat selepas tempoh setahun.


Persoalannya, adakah Office 365 “lifetime licence” perisian yang tulen (genuine)? Jawapannya ya, kerana secara teknikalnya perisian ini telah dilesenkan untuk kegunaan suatu institusi pengajian, dan pihak admin institusi tersebut boleh melesenkan sejumlah komputer di institusi pengajian tersebut untuk menggunakan perisian Office 365 berdasarkan perjanjian yang mereka tandatangani dengan Microsoft. Mereka tidak dibenarkan untuk menjual hak milik penggunaan tersebut kepada pihak yang tidak ada kaitan dengan institusi pengajian seperti yang dilesenkan.


Walau bagaimanapun, jika dilihat dari sudut kesahan penggunaan oleh pengguna biasa, penggunaan Office 365 “lifetime licence” ini sebenarnya tidak sah dari segi undang-undang kerana:

  1. Pengguna tersebut bukan daripada institusi pengajian yang dilesenkan, dan tidak sah untuk menggunakan Office 365 education “lifetime licence”.
  2. Mengikut terma Microsoft, pengedar atau penjual tidak dibenarkan untuk menjual lesen akademik kepada orang awam dengan harga yang sebegitu rendah. Sebaliknya, orang awam perlu mendapatkan Office 365 yang diedarkan secara rasmi untuk umum.


Kesimpulannya, sekiranya anda telah membeli perisian seperti yang dimaksudkan dalam article ini, anda menggunakannya atas risiko sendiri. Pihak Microsoft boleh saja pada bila-bila masa menyenarai hitam lesen akademik yang didapati telah disalahguna, dan menyebabkan Office 365 anda tidak berfungsi.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *