Panduan Membeli Telefon Pintar Untuk Pengguna Cacat Penglihatan


Beberapa tahun kebelakangan ini, telefon pintar telah menjadi satu keperluan bagi kebanyakkan pengguna telefon bimbit. Memang tidak dapat dinafikan bahawa masih ada pengguna yang menggemari telefon klasik seperti Nokia 3310, namun jumlahnya mungkin tidak ramai. Setiap tahun bermacam-macam jenis telefon yang dikeluarkan oleh pelbagai syarikat, dan kebanyakkan telefon ini menggunakan sistem operasi Android.


Android pula merupakan sistem operasi yang bersifat sumber terbuka atau “open source”. Ini membolehkan syarikat-syarikat pengeluar telefon mengubahsuai antaramuka Android untuk menjadikannya kelihatan lebih menarik dan menambah ciri-ciri tertentu yang tiada dalam sistem Android asli untuk disesuaikan dengan telefon keluaran mereka. Malangnya, tidak semua penambahan dan pengubahsuaian ini mengambil kira fungsi “accessibility” yang sangat diperlukan oleh pembaca skrin. Hal ini menyebabkan pengguna perlu mengubah pelbagai tetapan asal sekiranya mereka membeli salah satu daripada telefon yang telah banyak dicustomasi sehingga menjejaskan tahap kebolehcapaian fungsi telefon tersebut.


Perubahan-perubahan ini mungkin tidak menjadi masalah bagi seseorang yang telah mahir, tetapi bagi mereka yang baru hendak belajar, ia mungkin agak sukar untuk dicapai. Oleh itu, panduan ini diwujudkan agar dapat membantu golongan cacat penglihatan yang berhasrat membeli telefon pintar agar dapat memaksimumkan pengalaman mereka ketika menggunakan telefon yabg dibeli. Berikut adalah cadangan untuk memilih telefon yang bukan saja “accessible”, tetapi boleh digunakan dengan sebaik-baiknya oleh warga cacat penglihatan.


  • Telefon-telefon keluaran Google, seperti Nexus dan Pixel. Telefon-telefon ini menggunakan Android asli dan menerima kemas kini daripada Google. Walaubagaimanapun, setakat ini pengguna di Malaysia hanya bergantung pada set import (AP set) sekiranya hendak membeli telefon Nexus atau Pixel. Ia lebih menyukarkan lagi apabila pihak Google telah menghentikan pengeluaran telefon Nexus pada tahun 2016 dan digantikan dengan Pixel yang mana Pixel adalah produk Google yang lebih primium harganya.

  • Telefon-telefon di bawah projek Android One. Umum mengetahui bahawa semua telefon di bawah projek Android One menggunakan Android asli daripada Google walaupun telefon ini dibuat oleh syarikat-syarikat lain. Antara jenama-jenama telefon yang setakat hari ini terletak di bawah projek Android One termasuk:
    1. Telefon-telefon baharu keluaran Nokia seperti Nokia 2, 3, 5, 6, 7, 8 dan lain-lain.
    2. Xiaomi Mi A1 dan Mi A2.
    3. HTC U11 Life.
    4. Motorola Moto X4.
    5. General Mobile GM6/GM5/GM5 Plus.
    6. Y!Mobile X1/X2/S1/S2.

    Tidak semua telefon-telefon ini ada di pasaran Malaysia.


  • Telefon-telefon keluaran Samsung. Sungguhpun mempunyai modifikasi oleh pihak Samsung, tahap kebolehgunaan telefon ini masih sangat baik bagi golongan cacat penglihatan. Pada telefon Samsung yang berspesifikasi sederhana tinggi dan telefon flagship, ia turut didatangi dengan Voice Assistance, sebuah perisian pembaca skrin yang dihasilkan oleh pihak Samsung berasaskan kod sumber daripada Talkback.

  • Telefon-telefon keluaran Motorola. Sejak dari tahun 2013, pihak Motorola telah menghasilkan beberapa katagori telefon yang menggunakan system operasi Android asli. Antara model telefon Motorola ialah Moto C, Moto E, Moto G, Moto M, Moto X dan juga Moto Z. Walaupun Motorola mengunakan system operasi Android asli pada telefon-telefon keluaran mereka, ia terdapat perbezaan berbanding dengan telefon-telefon dalam projek Android One iaitu telefon-telefon Motorola dipakejkan bersama beberapa aplikasi dari pihak Motorola, meskipun begitu ia tidak mengganggu penggunaan pembaca skrin.

  • Lain-lain jenama yang tidak dinyatakan di atas, bagi pengguna yang sanggup menghadapi risiko akibat pengubahsuaian yang telah merosakkan fungsi “accessibility”. Bagi warga cacat penglihatan yang memilih jalan ini, anda perlu mengubah pelbagai tetapan seperti menukar launcher, menukar dialer, memasang perisian Talkback dan sebagainya. Telefon-telefon ini boleh digunakan tetapi anda perlu bersedia untuk menghadapi sebarang fungsi yang mungkin tidak boleh dicapai oleh pembaca skrin Talkback.



Semoga posting ini dapat dijadikan panduan untuk mereka yang sering bertanyakan jenis telefon apakah yang sesuai digunakan oleh orang cacat penglihatan.

Leave a Reply