Panduan Membeli Telefon Pintar Untuk Pengguna Cacat Penglihatan


Beberapa tahun kebelakangan ini, telefon pintar telah menjadi satu keperluan bagi kebanyakkan pengguna telefon bimbit. Memang tidak dapat dinafikan bahawa masih ada pengguna yang menggemari telefon klasik seperti Nokia 3310, namun jumlahnya mungkin tidak ramai. Setiap tahun bermacam-macam jenis telefon yang dikeluarkan oleh pelbagai syarikat, dan telefon pintar ini menggunakan sistem operasi Android. Hanya telefon keluaran Apple sahaja yang menggunakan sistem operasi iOS. Panduan ini diwujudkan untuk membantu anda memilih telefon-telefon yang mesra OKU penglihatan.


Telefon Berasaskan Android

Android merupakan sistem operasi yang bersifat sumber terbuka atau “open source”. Ini membolehkan syarikat-syarikat pengeluar telefon mengubahsuai antaramuka Android untuk menjadikannya kelihatan lebih menarik dan menambah ciri-ciri tertentu yang tiada dalam sistem Android asli untuk disesuaikan dengan telefon keluaran mereka. Malangnya, tidak semua penambahan dan pengubahsuaian ini mengambil kira fungsi “accessibility” yang sangat diperlukan oleh pembaca skrin. Hal ini menyebabkan pengguna perlu mengubah pelbagai tetapan asal sekiranya mereka membeli salah satu daripada telefon yang telah banyak dicustomasi sehingga menjejaskan tahap kebolehcapaian fungsi telefon tersebut.


Perubahan-perubahan ini mungkin tidak menjadi masalah bagi seseorang yang telah mahir, tetapi bagi mereka yang baru hendak belajar, ia mungkin agak sukar untuk dicapai. Oleh itu, panduan ini diwujudkan agar dapat membantu golongan cacat penglihatan yang berhasrat membeli telefon dengan sistem operasi Android agar dapat memaksimumkan pengalaman mereka ketika menggunakan telefon yang dibeli. Berikut adalah cadangan untuk memilih telefon Android yang bukan saja “accessible”, tetapi boleh digunakan dengan sebaik-baiknya oleh warga cacat penglihatan.


  • Telefon-telefon keluaran Google, seperti Nexus dan Pixel. Telefon-telefon ini menggunakan Android asli dan menerima kemas kini daripada Google. Walaubagaimanapun, setakat ini pengguna di Malaysia hanya bergantung pada set import (AP set) sekiranya hendak membeli telefon Nexus atau Pixel. Ia lebih menyukarkan lagi apabila pihak Google telah menghentikan pengeluaran telefon Nexus pada tahun 2016 dan digantikan dengan Pixel yang mana Pixel adalah produk Google yang lebih primium harganya.

  • Telefon-telefon di bawah projek Android One. Umum mengetahui bahawa semua telefon di bawah projek Android One menggunakan Android asli daripada Google walaupun telefon ini dibuat oleh syarikat-syarikat lain. Antara jenama-jenama telefon yang setakat hari ini terletak di bawah projek Android One termasuk:
    1. Telefon-telefon baharu keluaran Nokia seperti Nokia 2, 3, 5, 6, 7, 8 dan lain-lain.
    2. Xiaomi Mi A1 dan Mi A2.
    3. HTC U11 Life.
    4. Motorola Moto X4.
    5. General Mobile GM6/GM5/GM5 Plus.
    6. Y!Mobile X1/X2/S1/S2.

    Tidak semua telefon-telefon ini ada di pasaran Malaysia.


  • Telefon-telefon keluaran Samsung. Sungguhpun mempunyai modifikasi oleh pihak Samsung, tahap kebolehgunaan telefon ini masih sangat baik bagi golongan cacat penglihatan. Pada telefon Samsung yang berspesifikasi sederhana tinggi dan telefon flagship, ia turut didatangi dengan Voice Assistance, sebuah perisian pembaca skrin yang dihasilkan oleh pihak Samsung berasaskan kod sumber daripada Talkback.

  • Telefon-telefon keluaran Motorola. Sejak dari tahun 2013, pihak Motorola telah menghasilkan beberapa katagori telefon yang menggunakan system operasi Android asli. Antara model telefon Motorola ialah Moto C, Moto E, Moto G, Moto M, Moto X dan juga Moto Z. Walaupun Motorola mengunakan system operasi Android asli pada telefon-telefon keluaran mereka, ia terdapat perbezaan berbanding dengan telefon-telefon dalam projek Android One iaitu telefon-telefon Motorola dipakejkan bersama beberapa aplikasi dari pihak Motorola, meskipun begitu ia tidak mengganggu penggunaan pembaca skrin.

  • Lain-lain jenama yang tidak dinyatakan di atas, bagi pengguna yang sanggup menghadapi risiko akibat pengubahsuaian yang telah mengganggu fungsi “accessibility”. Bagi warga cacat penglihatan yang memilih jalan ini, anda perlu mengubah pelbagai tetapan seperti menukar launcher, menukar dialer, memasang perisian Talkback dan sebagainya. Telefon-telefon ini boleh digunakan tetapi anda perlu bersedia untuk menghadapi sebarang fungsi yang mungkin tidak boleh dicapai oleh pembaca skrin Talkback.


Telefon Pintar Keluaran Apple

Berbeza dengan telefon pintar Android, syarikat Apple mengawal sepenuhnya keluaran telefon bimbit mereka, dari segi hardware mahupun sistem operasi. dengan satu jenis telefon bimbit iaitu iPhone, pengalaman penggunaan telefon pintar keluaran Apple rata-ratanya sama, walaupun pada generasi iPhone yang berbeza-beza. Tahap accessibility pada iOS adalah sekata bagi semua peranti, kecuali beberapa fungsi yang tidak terdapat pada peranti lama yang sudah tidak menerima kemaskini. Sekiranya anda memilih iPhone, usah khuatir dengan isu accessibility dan tidak perlu melakukan sebarang modifikasi. Hal ini demikian kerana perisian pembaca skrin VoiceOver yang didatangkan sekali sememangnya berfungsi dengan baik dalam sistem operasi iOS. Dari segi harga pula, telefon pintar keluaran Apple berada pada harga yang premium, iaitu setaraf dengan telefon Pixel 2 keluaran Google. Walaupun begitu, jika anda berhasrat untuk membeli telefon pintar keluaran Apple, berikut merupakan beberapa perkara yang mungkin boleh menjadi panduan dalam memilih iPhone yang hendak dibeli.


iPhone Bersais Kecil

Jika anda merupakan penggemar telefon bersais kecil, jadikan iPhone SE sebagai pilihan. iPhone SE yang dilancarkan pada 21 Mac 2016 mempunyai sais yang serupa dengan iPhone 5S, tetapi mempunyai pemproses dan kamera yang lebih baik, selain kapasiti bateri yang sedikit lebih besar berbanding iPhone 5S. Pendek kata, iPhone SE merupakan versi iPhone 6 dan iPhone 6S dengan saiz yang lebih kecil. iPhone SE dilancarkan untuk memenuhi permintaan segelintir pengguna yang inginkan telefon bersais kecil dan boleh digunakan dengan sebelah tangan sahaja.


iPhone dengan skrin OLED

iPhone X merupakan keluaran Apple bersempena 10 tahun pelancaran iPhone. Ia merupakan iPhone pertama yang menggunakan skrin OLED keluaran Samsung, di samping telah membawa beberapa perubahan seperti ketiadaan butang home, skrin penuh, dan sebagainya. Anda boleh mendengar Ulasan Aksesibility mengenai iPhone X yang telah disediakan oleh saudara Dg. Jika mahukan iPhone dengan skrin OLED, iPhone X merupakan satu-satunya pilihan dengan harga yang premium.


Elakkan Membeli iPhone Generasi Yang Terlalu Lama

Memang tidak dapat dinafikan bahawa iPhone 5S misalnya, dijual pada harga yang sangat murah di pasaran, sehingga menyebabkan orang ramai beratur panjang hingga ke jalan raya pada jualan penghabisan gudang Apple 2018. Walaupun harganya murah, tetapi anda harus pertimbangkan bahawa telefon flagship keluaran tahun 2013 tidak akan sama dengan telefon flagship 2017 atau 2018 dari segi teknologi dan prestasi penggunaan. Hal ini sama tanpa mengira sistem operasi yang digunakan pada telefon. Jika anda masih berkeras untuk mendapatkan telefon generasi yang bertahun-tahun lamanya, masalah lagging dalam penggunaan haruslah dijangkakan.


Cadangan kami, jika bajet bukan menjadi masalah, belilah iPhone keluaran yang terkini ataupun iPhone keluaran tahun sebelumnya. Dengan itu anda boleh menggunakan telefon dengan prestasi yang lebih baik, malah anda boleh mendapatkan kemaskini perisian untuk satu tempoh yang lebih lama. Setiap iPhone dijangka mendapat kemaskini iOS sekitar empat atau lima tahun, umpamanya iOS 12 yang bakal dilancarkan pada hujung september tahun ini masih boleh menyokong iPhone 5S dan keatas. Jikalau bajet menjadi kekangan untuk mendapatkan keluaran terkini, setakat tarikh posting ini ditulis, sekurang-kurangnya dapatkan iPhone 6/6 Plus atau 6S/6S Plus.


Berhati-hati Membeli iPhone Refurbished

Bagi yang tidak tahu, “refurbished” bermaksud sebuah unit peranti lama yang telah dibaiki, digantikan komponen dan melalui proses repackaging menjadi peranti baharu. Kami yakin pasti anda pernah terjumpa pengiklanan jualan iPhone yang murah berbanding harga pasaran. Selain daripada set second hand, kemungkinan itu juga sett refurbished. iPhone merupakan peranti yang mempunyai nilai jualan semula (resale value) yang tinggi, maka tidak hairanlah terdapat ramai penjual yang menjual iPhone refurbished. Jika anda ingin membeli iPhone terutamanya melalui atas talian, pastikan status sebenar iPhone berkenaan.


iPhone refurbished hanya mengekalkan komponen motherboard yang original daripada Apple tetapi komponen lain datang daripada pihak ketiga. Sebab itulah anda sering mendengar iPhone refurbished lebih cepat rosak atau selalu menghadapi masalah. Tambahan pula, warranty untuk iPhone refurbished tidak boleh ditebus daripada pengedar rasmi Apple Malaysia. Sebaliknya, anda perlu berurusan dengan pihak penjual untuk penebusan warranty. Tempoh warranty bagi iPhone refurbished ini juga lebih singkat berbanding iPhone baru. Sebagai contoh, warranty untuk skrin dan bateri hanya selama 6 bulan dan warranty untuk aksesori seperti kabel lightning dan earpod hanya selama 3 bulan. Kami tidak menghalang anda daripada mendapatkan unit refurbished tetapi anda seharusnya tahu dan berhak untuk tahu status sebenar sesebuah peranti yang ingin dibeli. Jika anda bernasib baik, ada juga unit refurbished yang dapat berfungsi dengan baik. Nasihat kami, seandainya anda tetap mahu mendapatkan set iPhone refurbished, beli daripada penjual yang mempunyai kedai fizikal agar memudahkan urusan penebusan warranty.


Lain-lain Perkara

  1. iPhone 7 dan keatas tidak mempunyai sambungan jack audio 3.5MM, sebaliknya menggunakan sambungan lightning. Namun begitu, penyesuai lightning ke 3.5MM akan dibekalkan bagi setiap pembelian.
  2. Sokongan untuk wireless charging berasaskan QI standard dan fast charging hanya tersedia pada iPhone 8 dan keatas. Amat mengecewakan bahawa aksesori tambahan perlu dibeli secara berasingan untuk menggunakan wireless charging dan fast charging.
  3. Untuk penggemar speaker stereo, iPhone 7 dan keatas mempunyai dua speaker stereo, satu di bahagian atas telefon dan satu lagi di sebelah kanan.
  4. Untuk membantu anda mengenal pasti status sebenar iPhone dan warranty,

    sila klik di sini untuk menyemak status “service and support coverage,”

    dan

    sila klik di sini untuk membaca artikel kami tentang cara menyemak jenis unit peranti iOS yang dimiliki.


Kesimpulan

Kelak apapun pilihan anda sama ada peranti Android atau Apple, diharapkan anda akan dapat memiliki peranti yang bersesuaian dengan cita rasa anda dan paling penting mampu memanfaatkan kegunaan telefon pintar tersebut secara maksima. Semoga posting ini dapat dijadikan panduan untuk mereka yang sering bertanyakan jenis telefon apakah yang sesuai digunakan oleh orang cacat penglihatan.


Kongsikan pada Media Sosial Anda

Leave a Reply

Switch to desktop version