Pembaharuan Accessibility Dalam iOS 11


iOS 11 baru saja dilancarkan secara rasmi pada 20 September yang lalu. bagi pengguna iPhone 5S dan keatas, iPad generasi kelima dan keatas, serta iPod Touch generasi keenam, anda sudah boleh menyemak kemaskini iOS sekiranya belum mendapat notifikasi untuk naiktaraf. Pelbagai perubahan telah dijanjikan semasa Apple memperkenalkan iOS 11 pada acara WWDC bulan Jun 2017. Namun demikian, tulisan kali ini hanya akan memberi tumpuan terhadap perubahan dari segi accessibility, terutamanya kepada pengguna voice Over serta pengguna-pengguna yang rabun.


Penemuan ini bukanlah 100 peratus lengkap, oleh itu, sekiranya ada yang tertingal, kami amat mengalu-alukan komen daripada para pembaca.


Voice Over:

Antara Perubahan yang telah dilakukan pada Voice over ialah seperti berikut:


Drag and Drop Apps

Pada tahun lepas, iOS 10 telah dilengkapi ciri untuk memudahkan pengguna Voice Over memindahkan apps dengan lebih mudah dari satu skrin ke skrin yang lain. dalam perubahan kali ini, sedikit penambahbaikan telah dilakukan, membolehkan pelbagai apps dipindah secara serentak. Untuk mengaktifkan “edit mode”, pengguna voice Over perlu “double tap” dan tahan pada mana-mana bahagian di skrin. Sekiranya anda tidak melakukan apa apa dalam tempoh 30 saat, edit mode akan terpadam dengan sendirinya.


Ketika sudah berada di dalam edit mode, cari aplikasi yang hendak dipindahkan, dan gunakan satu jari untuk swipe ke bawah. Anda akan mempunyai pilihan untuk “drag” aplikasi tersebut untuk dipindahkan ke tempat lain. Sekiranya anda telah “drag” sesuatu aplikasi, ia akan hilang daripada kawasan tersebut buat sementara waktu, sehingga anda meletakkannya di tempat lain ataupun keluar daripada edit mode. Anda juga boleh menambahkan aplikasi yang lain ke dalam “drag session” dan memindahkan beberapa aplikasi secara serentak atau mencipta folder bagi mengkategorikan beberapa aplikasi yang telah dibawa ke dalam “drag session”. Di samping itu, anda boleh “drag” sesuatu fail yang terdapat dalam aplikasi Files dan meletakkannya ke dalam email untuk dijadikan sebagai lampiran.


Cari Ejaan Yang Salah

Jika anda sering menggunakan iPad atau iPhone untuk kerja-kerja penulisan, ada masanya anda perlu menyemak tulisan anda untuk membetulkan sebarang kesilapan pada ejaan. Perkara ini agak sukar dilakukan bagi pengguna voice Over, kerana tiada cara lain yang anda boleh gunakan untuk terus melompat ke perkataan yang ditandakan dengan garisan merah. Namun pada iOS 11, fungsi “read misspelled word” telah ditambahkan bagi memudahkan anda bergerak dari satu perkataan ke perkataan lain yang ditandakan dengan garisan merah. Untuk menggunakan fungsi ini, apabila papan kekunci telah terpapar di skrin, pusing roter sehingga anda menjumpai “Misspelled words”, dan swipe menggunakan satu jari ke bawah untuk melihat perkataan-perkataan yang silap ejaannya.


Alt Text Pada Gambar

Seperti fungsi yang terdapat pada Facebook, iOS 11 turut memperkenalkan fungsi ALT text yang membolehkan anda mengetahui tentang sesuatu gambar. Fungsi ini membolehkan Voice Over memberikan diskripsi pada gambar, ataupun membaca teks yang terkandung pada gambar tersebut. Untuk menggunakan fungsi ini, fokus kepada sesuatu gambar, kemudian tap sekali pada skrin dengan menggunakan tiga jari. Anda perlu memastikan screen curtain telah dimatikan terlebih dahulu agar fungsi ini dapat digunakan. Cara menutup dan membuka screen curtain adalah tap tiga kali dengan tiga jari. Walaubagaimanapun, daripada cubaan kami, fungsi ini masih tidak begitu stabil, kerana kadangkala terdapat gambar yang berbentuk teks, tetapi teks tersebut tidak dapat dibaca oleh Voice Over.


Verbosity Option

Pelbagai tetapan baru diperkenalkan dalam verbosity option bagi membolehkan pengguna mengawal informasi yang disebut oleh Voice Over. Antara tetapan yang boleh dikawal adalah:

  1. “Punctuations”, menetapkan sama ada anda inginkan Voice Over membaca semua, sebahagian, ataupun tidak membaca apa-apa tanda baca.
  2. “media Descriptions”, membolehkan anda membaca captions dan subtitles dalam bentuk Braille ataupun melalui Voice Over.
  3. “Tables”, bagi menentukan sama ada maklumat seperti lajur dan baris jadual disebut ataupun tidak.
  4. Menentukan kaedah Voice Over membaca elemen seperti huruf besar, pautan, ataupun ketika memadam teks.
  5. “Speak Detected Text” membolehkan Voice Over membaca terus perubahan pada elemen yang sedang difokuskan.
  6. Kebolehan mengawal tinggi atau rendah nada suara pada Voice Over.


Pembaharuan Bagi Pengguna Rabun

iOS 11 turut membawa beberapa kemaskini khusus untuk memudahkan lagi pengguna yang rabun menggunakan peranti mereka. Pembaharuan ini tertumpu kepada elemen-elemen seperti:


  1. Elemen visual, seperti ketebalan tulisan, Font dan warna.
  2. penambahbaikan ketika menggunakan fungsi Zoom.
  3. Smart Invert, yang berfungsi untuk menukar warna pada icon-icon tertentu bagi mewujudkan perbezaan, sekaligus memudahkan pengguna rabun membezakan objek.
  4. Penambahbaikan pada Magnifier untuk berfungsi pada keadaan cahaya terang, serta fokus yang lebih baik terhadap teks atau objek yang kecil.




Lain-lain Perubahan:

Antara lain perubahan accessibility yang boleh didapati pada iOS 11 ialah:


  1. Type to Siri, membolehkan anda menaip teks sekiranya hendak berinteraksi dengan siri. Untuk menggunakan fungsi ini, anda boleh ke halaman Settings> General> Accessibility> Siri, kemudian aktifkan “Type to Siri”. Jika fungsi ini diaktifkan, setiap kali anda menghidupkan siri, papan kekunci akan terpapar pada skrin untuk membolehkan anda terus menaip bagi berinteraksi dengan Siri. Sebagai langkah alternatif, anda juga boleh menaip pada Braille Display untuk berinteraksi dengan Siri. Jika Anda ingin berinteraksi melalui percakapan setelah mengaktifkan “Type to Siri”, gunakan fungsi “Hey Siri”.

  2. “Accessibility Control” kini boleh ditambah ke dalam control center. Untuk menambahkan beberapa fungsi accessibility yang sering digunakan pada Control Center, pergi ke Settings> Control Center> Customize, dan pilih fungsi yang ingin digunakan, seperti Magnifier, “text size”, “Accessibility Shortcuts”, dan sebagainya.

  3. Menjawab panggilan secara automatik. Untuk menggunakan fungsi ini, sila ke Settings>General>Accessibility>Call Audio Routing>Auto Answer Calls, dan tetapkan masa di antara 0 hingga 60 saat untuk telefon anda menjawab panggilan secara automatik. Walaubagaimanapun, anda masih boleh menolak sebaarang panggilan masuk sebelum ia dijawab secara automatik.



  4. Pepijat Yang Dikenalpasti:

    Walaupun telah terdapat penambahbaikan mahupun fungsi baru pada iOS yang mengkhusus kepada accessibility, masih terdapat beberapa pepijat yang telah dikenalpasti oleh para pengguna iOS 11. Antara pepijat yang agak ketara dapat dilihat pada:


    • Cela masa ataupun lag pada Voice Over menjadikan ia kadangkala kurang responsif apabila berada dalam suatu aplikasi. Bagi mengatasi masalah ini, anda boleh menggunakan command untuk menyahaktifkan suara Voice Over dan mengaktifkannya semula. Sekiranya Voice Over masih gagal berfungsi, sila padam dan buka semula Voice Over.
    • Smart Invert yang kadangkala tidak begitu tepat dalam mewujudkan kontra warna, menyebabkan mereka yang mempunyai masalah buta warna sukar mengenal icon atau objek yang dipaparkan.
    • bagi pengguna Braille, sekiranya anda menaip terlalu pantas, terdapat masalah sesetengah huruf yang akan hilang. Kemaskini: Masalah ini dipercayai telah diselesaikan pada iOS 11.0.1 yang dikeluarka seminggu selepas pelancaran iOS 11.
    • Masalah focus cursor yang tidak tepat bagi pengguna Braille ketika menyunting teks




    Kesimpulan

    Penambahbaikan dari sudut accessibility yang telah dilakukan pada iOS adalah satu usaha berterusan yang patut disokong, agar pengguna peranti yang bermasalah penglihatan dan pendengaran dapat terus menggunakan sistem operasi ini dengan sebaik mungkin. Walaubagaimanapun, kami mengharapkan agar masalah yang telah dikenalpasti akan diperbaiki apabila Apple mengeluarkan kemaskini iOS 11 yang akan datang. Bagi anda yang masih berfikir sama ada hendak naik taraf atau tidak, mungkin anda boleh meneliti sama ada masalah yang sedia ada ini akan memberi impak kepada aktiviti seharian anda.

    Untuk menaiktaraf ke iOS 11, anda boleh gunakan kaedah Over-The-Air (OTA) di bahagian Settings> General> Software Update, ataupun menaiktaraf dengan menggunakan iTunes dengan mengikuti langkah di posting ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *