Windows 10: Panduan Menetapkan Sambungan WiFi Yang Terhad


Salah satu fungsi yang menarik sepanjang menggunakan Windows 10 ialah kebolehan untuk menetapkan WiFi tertentu sebagai “metered connection”. Bagi yang tidak tahu, fungsi metered connection diwujudkan untuk menetapkan sambungan internet yang terhad pada Windows. Ia amat berguna sekiranya anda menggunakan data yang disambung daripada hotspot telefon ataupun pelan WiFi yang mempunyai kuota bulanan. Dengan menetapkan sambungan WiFi tertentu sebagai terhad, Windows tidak akan menggunakan WiFi tersebut untuk perkhidmatan yang berfungsi di background seperti Windows Update, sekaligus dapat mengelakkan data anda habis tanpa disedari.


Namun begitu, fungsi ini hanya boleh digunakan pada sambungan WiFI sahaja. Apa-apa sambungan internet berwayar akan dianggap oleh Windows sebagai sambungan tanpa had. Untuk menetapkan WiFi tertentu sebagai metered connection, ikuti langkah berikut:


  1. Masuk ke Settings dengan menekan WindowsKey+I.
  2. Pilih Network and Internet.
  3. Tekan tab sekali untuk ke senarai list box dan pilih Wi-Fi, kemudian tekan Enter.
  4. Tekan tab beberapa kali sehingga “manage known networks, kemudian tekan enter.
  5. Sekali lagi, tekan tab beberapa kali ke senarai network, dan pilih nama WiFi yang hendak ditetapkan sebagai metered connection.
  6. Tekan enter pada nama WiFi tersebut, kemudian tab sekali ke properties button dan tekan enter.
  7. Tekan tab sehingga anda menjumpai opsyen “set as metered connection”, dan tandakan (pressed) opsyen ini.
  8. Windows akan mengingati WiFi ini sebagai connection yang terhad dan tidak akan menggunakan data anda dengan sewenang-wenangnya.


iPhone- Personal Hotspot Melalui USB Tidak Berfungsi


Ramai pengguna iPhone pasti pernah menghadapi isu personal hotspot melalui USB yang tidak berfungsi di komputer. Personal hotspot melalui USB bermakna anda menggunakan iPhone sebagai sumber data internet dengan menyambungkan iPhone ke komputer menggunakan kabel lightning. Kadangkala, personal hotspot melalu USB tidak dapat berfungsi seperti yang diharapkan. Terlebih dahulu, sila cuba beberapa kaedah di bawah untuk mengatasi masalah ini:


P/S: Arahan dalam semua kaedah di bawah adalah menggunakan papan kekunci bagi memudahkan pengguna pembaca skrin untuk mengikuti. Kaedah berikut juga diberi berdasarkan platform Windows 10 versi 1703 dan pembaca skrin NVDA 2017.3.


  • Pastikan sambungan iPhone ke komputer melalui kabel lightning kukuh, dengan erti kata lain, pastikan kabel lightning tidak rosak.
  • Cuba restart komputer dan iPhone dan sambungkan semula.
  • Pastikan anda sedang menggunakan iTune versi terkini.


Sekiranya sudah mencuba semua kaedah di atas tetapi masih gagal, berkemungkinan besar Apple Mobile Device Ethernet Driver tidak terpasang. Sebelum mencuba kaedah di bawah, pastikan iphone masih tersambung ke komputer dengan kabel dan pastikan personal hotspot terpasang melalui USB. Sila ikuti kaedah berikut:

  • Pada papan kekunci, tekan butang Windows+R, run dialogue box akan terbuka. Dalam petak run, taip: devmgmt.msc dan tekan enter, Device Manager akan terbuka.
  • Tekan tab sekali ke senarai devices, kemudian tekan anak panah bawah cari “Network Adapters”. Selepas itu, tekan anak panah kanan untuk membuka senarai driver network, lalu tekan anak panah bawah untuk mencari “Apple Mobile Device Ethernet”. Sekiranya tidak ditemui, maka anda perlu memasang driver berkenaan.
  • Tekan anak panah kiri untuk kembali ke “Network Adapters” sehingga anda dengar pembaca skrin menyebut collapse. Seterusnya, tekan anak panah bawah untuk mencari “Other Devices”, lalu tekan anak panah kanan dan tekan anak panah bawah untuk mencari “iPhone”. Sekarang tekan butang application atau right click dan cari “Update driver” dan tekan butang enter. Satu tetingkap Update driver – iPhone akan terbuka.
  • Tekan tab cari “Browse my computer for driver software Locate and install driver software manually” dan tekan enter. Satu tetingkap kecil akan terbuka, tekan tab dan cari “browse button” dan tekan enter. Satu lagi tetingkap kecil akan terbuka untuk kita mencari lokasi driver berkenaan.
  • Pada asalnya, pembaca skrin akan fokus pada OK button, maka tekan shift+tab sehingga anda dengar “Select the folder that contains drivers for your hardware, tree view”. Kita akan berada pada tree view, maka tekan anak panah atas atau bawah atau kiri atau kanan untuk mencari lokasi folder berkenaan: C:\Program Files\Common Files\Apple\Mobile Device Support\NetDrivers dan tekan enter setelah berjaya menemui folder “NetDrivers”. Fokus pembaca skrin akan kembali ke tetingkap kecil pertama.

  • Di sini, tekan tab cari “Next button” dan tekan enter, proses pemasangan akan bermula. Sesudah selesai, fokus akan terus berada di tetingkap yang sama sehingga munculnya “Close button, completes the wizard”. Jika ingin lebih kepastian, tekan NVDA key/Jaws key + B untuk membaca keseluruhan tetingkap, anda akan menemui teks berikut: “Windows has successfully updated your drivers. Windows has finished installing the drivers for this device: Apple Mobile Device Ethernet Close”. Tekan saja enter pada butang Close dan anda akan dibawa kembali ke tetingkap Device Manager.
  • Biasanya, fokus akan berada pada driver Apple Mobile Device Ethernet yang baru saja dipasang. Kebiasaannya, selepas dipasang driver ethernet ini akan terus berfungsi dan anda akan dapat melihat network status di system tray akan menunjukkan sambungan network melalui iPhone.
  • Akhir sekali, ada baiknya anda pastikan driver dalam keadaan enable. Masuk semula ke Device Manager, pergi ke Network Adapters, dan cari Apple Mobile Device Ethernet dan tekan butang application, tekan anak panah bawah dan pastikan adanya tertulis “Disable device”, ini bermakna driver berada dalam keadaan enable. Sekiranya tertulis “Enable device”, maka tekan enter pada pilihan tersebut untuk menjalankan driver ethernet berkenaan.


Semoga semua kaedah yang diberikan di atas akan membuahkan hasil.


Panduan Telco di Malaysia


Sekiranya anda merupakan pengguna telefon bimbit, anda pasti pernah menyemak ataupun mengurus akaun anda dari masa ke masa mengikut keperluan. Dahulunya, sebelum USSD diperkenalkan, setiap kali anda ingin melakukan sebarang perubahan, anda perlu menelefon kepada pusat perkhidmatan pelanggan bagi telco tersebut. proses ini memakan masa kerana sekiranya talian sibuk, anda terpaksa menunggu lama sebelum panggilan dapat disambungkan kepada pegawai yang bertugas.


Menyedari hakikat ini, pembekal perkhidmatan menyediakan menu USSD yang tersendiri untuk membolehkan anda menguruskan akaun dengan lebih mudah. Antara menu USSD yang digunakan oleh telco di Malaysia ialah seperti berikut;


  1. Altel: *102#
  2. Celcom: *118#
  3. DiGi: *128#
  4. Hotlink: *100#
  5. Maxis: *100#
  6. ONEXOX: *150#
  7. redONE: *123#
  8. speakOUT Wireless: *129#
  9. Tron: *129#
  10. Tune Talk: *111#
  11. U Mobile: *118#
  12. XOX: *132#


Melalui menu USSD yang disediakan, anda boleh menguruskan akaun anda dengan melakukan pelbagai perkara seperti menyemak bill atau baki semasa, tambah nilai, membeli pelan internet, menyahaktifkan perkhidmatan mel suara, dan sebagainya. Setiap fungsi yang disediakan bergantung kepada telco masing-masing.


Di samping menggunakan menu USSD, pada hari ini anda juga boleh mengakses dan menguruskan akaun telco anda dengan menggunakan aplikasi yang telah disediakan oleh penyedia perkhidmatan anda. Aplikasi ini berfungsi seumpama menu yang terdapat pada USSD, membolehkan anda menyemak akaun serta melanggan perkhidmatan dengan lebih mudah, tanpa perlu mengingati kod-kod USSD. Namun demikian, setakat hari ini tidak semua penyedia perkhidmatan mempunyai App untuk menguruskan akaun. Di bawah ini akan disenaraikan beberapa telco yang mempunyai app tersendiri untuk proses pengurusan akaun, serta memberikan pautan untuk muat turun App tersebut.


  1. Celcom Life

  2. DiGi:

  3. Hotlink:

  4. Maxis:

  5. speakOUT Wireless: (Hanya aplikasi untuk Android sahaja buat masa ini.)

  6. Tune Talk:

  7. U Mobile:


Untuk menggunakan applikasi yang disenaraikan di atas amat mudah. Anda hanya perlu memastikan kad sim yang hendak diuruskan berada di dalam telefon, seterusnya anda boleh membuka aplikasi yang berkenaan sama ada dengan menggunakan mobile data ataupun WiFi, dan anda akan diberi panduan untuk menguruskan akaun anda. Tetapi sebaiknya dicadangkan agar menggunakan mobile data pada sim tersebut, supaya ia boleh terus mengesan akaun anda.


Jika selepas menggunakan kaedah USSD ataupun aplikasi yang disediakan dan anda masih tidak dapat untuk melihat atau melakukan kemaskini pada akaun anda, jalan terakhir yang boleh diambil ialah dengan menghubungi pusat khidmat pelanggan telco. Nombor-nombor pusat khidmat pelanggan telco adalah seperti pada senarai di bawah:


  1. Altel:
    • Dalam Rangkaian: 13388
    • Luar Rangkaian: +603-26133888


  2. Celcom:
    • Dalam rangkaian: 1111
    • Luar rangkaian: +6019-6011111


  3. DiGi:
    • Dalam dan luar rangkaian: +6016-2211800
    • *125# untuk menghubungi pusat khidmat pelanggan sekiranya berada di luar negara


  4. Hotlink:
    • Dalam dan luar rangkaian: 1300-82-0120


  5. Maxis:
    • Dalam rangkaian: 123
    • Luar rangkaian: 1800-82-1123


  6. RedONE:
    • Dalam rangkaian: 1909
    • Luar rangkaian: 1800-11-0800


  7. Tron:
    • Dalam negara: 1300-80-0188


  8. Tune Talk:
    • Dalam rangkaian: 13100
    • Luar Rangkaian: +603-27720000


  9. U Mobile:
    • Dalam rangkaian: 1318
    • Luar rangkaian: +6018-3881318


  10. UniFi Mobile:

  11. Yes Wimax:
    • Dalam dan luar rangkaian: +6018-3330000


Diharapkan panduan ini dapat membantu anda apabila perlu berurusan dengan penyedia perkhidmatan cellular di Malaysia.


* Sekiranya ada maklumat yang kurang tepat atau yang kami tertinggal, sila komen di bawah, kami akan perbetulkan secepat mungkin.


Mari Kenali Perkembangan Teknologi Cellular


Komunikasi mudah alih sudah menjadi satu keperluan pada masa ini. Kita sedia maklum bahawa komunikasi cellulor yang berbentuk 4G atau LTE sering diperkatakan. Malahan, syarikat telekomunikasi di Malaysia, iaitu Celcom, DiGi, Maxis, UMobile, dan akan datang, Webe, bersaing untuk memperkenalkan dan mengembangkan liputan 4G di negara ini. Walaubagaimanapun, mungkin masih ramai yang tidak mengetahui kaedah komunikasi cellular pra 4G. Jadi pada hari ini, kita akan melihat sedikit sebanyak mengenai perkembangan teknologi cellular sebelum 4G.


Seorang pakar komunikasi tempatan, Prof. Dr. Tharek Abdul Rahman berkata, komunikasi 1G merujuk kepada teknologi selular generasi pertama yang diperkenalkan pada 1980-an. Teknologi 1G menggunakan sistem analog yang mana pengguna boleh menerima dan membuat panggilan telefon di mana sahaja selagi mempunyai liputan dari pemancar radio selular. Contoh sistem tersebut yang digunakan di negara ini adalah ATUR 450, ART 900 dan Mobifon 800 dan penggunaan sistem ini terhad kepada suara sahaja, ujarnya.


Seterusnya ialah teknologi 2G iaitu teknologi selular generasi kedua yang diperkenalkan dalam dekad 1990-an. Teknologi 2G menggunakan sistem digital yang mana prestasinya lebih baik berbanding 1G.
Contoh sistem tersebut yang digunakan di Malaysia adalah GSM. Tetapi penggunaannya adalah untuk suara sahaja. Beliau bagaimanapun berkata, GSM telah ditambah baik kepada sistem yang dinamakan General Packet Radio Services (GPRS) bagi membolehkan penghantaran data di buat melalui sistem selular. Dengan penggunaan GPRS, penghantaran dan penerimaan data boleh dibuat melalui sistem selular dengan kelajuan sehingga 100 kilobit sesaat (kbps) dan dinamakan sebagai 2.5G.


Daripada GPRS, sistem tersebut telah ditambahbaik lagi ke EDGE atau Enhanced Data for GSM Evolution dan dinamakan sebagai 2.75G dan boleh menghantar dan menerima data sehingga 384 kbps. Sistem 2G menggunakan teknologi TDMA (Time Division Multiple Access).


Mengenai 3G, beliau berkata, ia merupakan teknologi selular generasi ketiga yang diperkenalkan dalam pada 2000. Menurut Tharek, kelebihan 3G ialah ia boleh digunakan untuk suara dan data sehingga kelajuan 2Mbps. Teknologi 3G juga membolehkan kita membuat panggilan video selain suara dan data dan merupakan piawaian yang global berbanding dengan 1G atau 2G. Sebagai contoh jika kita ke Jepun atau Korea, panggilan telefon tidak boleh dibuat dengan menggunakan teknologi 2G, sebaliknya teknologi 3G membolehkan kita membuat panggilan telefon ke seluruh dunia, ujarnya.


Perkembangan seterusnya ialah Sistem 3G juga yang dipanggil WCDMA atau Wideband Code Division Multiple Access. Sistem tersebut telah ditambah baik melalui penggunaan HSPA (High Speed Packet Access), yang terbahagi kepada High Speed Downlink Packet Access (HSDPA) dan High Speed Uplink Packet Access (HSUPA). HSDPA boleh mencapai kelajuan sehingga 14 Mbps dan HSUPA boleh mencapai kelajuan sehingga 5Mbps.


Seterusnya, penambahbaikan telah dibuat yang mana kelajuan telah mencapai sehingga 28Mbps yang dinamakan sebagai HSPA + (High Speed Packet Access). 3G mengunakan teknologi yang dinamakan CDMA (Code Division Multiple Acces).


Beliau seterusnya menjelaskan, 4G merupakan teknologi selular generasi keempat yang menggunakan teknologi Evolusi Jangka Panjang (LTE). Kelajuan teknologi LTE boleh mencapai sehingga 100Mbps. Teknologi yang digunakan oleh LTE adalah OFDMA (Orthogonal Frequency Division Multiple Access).


Menurut Tharek, LTE merupakan evolusi dari HSPA+. Selain kelajuan yang tinggi, teknologi tersebut dapat menampung lebih ramai pengguna berbanding dengan 3G iaitu lebih kurang tiga kali ganda. Selain itu, kos penggunaan data adalah lebih murah dengan kelajuan yang lebih tinggi.


Kesimpulannya, perbezaan antara 2G, 3G dengan 4G adalah kelajuan capaian data atau capaian Internet adalah jauh lebih tinggi.


Dipetik dan diubahsuai daripada
Orangmuda.tv