CIMB EVA: Alternatif bagi CIMB Clicks yang Boleh Digunakan oleh OKU Penglihatan – MYVICTCast


Perkhidmatan perbankan online telah mempermudahkan pelbagai urusan kewangan seharian kita seperti membayar bil, pemindahan wang ke akaun lain dan pembelian barangan secara online. CIMB merupakan salah sebuah bank yang terkenal di Malaysia dan perkhidmatan perbankan online mereka dikenali sebagai, CIMB Clicks.

Sekitar Mac tahun ini, saya mendengar keluhan daripada OKU penglihatan yang merupakan pengguna CIMB Clicks sama ada dari dalam MYVICT atau luar MYVICT. Menurut mereka, CIMB Clicks sudah tidak lagi mesra OKU penglihatan. Bermakna, golongan OKU penglihatan yang merupakan pengguna CIMB Clicks tidak lagi mampu melakukan transaksi kewangan online melalui CIMB Clicks. Biarpun berjaya melakukan transaksi, golongan OKU penglihatan perlu berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan permasalahan sepanjang proses transaksi berkenaan. Ada pula yang kurang mahir terpaksa meminta bantuan orang celik untuk melaksanakan transaksi kewangan mereka. Sekali gus merencatkan kemampuan OKU penglihatan untuk berdikari dalam menguruskan aktiviti kewangan online mereka. Saya telah mencuba CIMB Clicks di platform iOS dan Windows (aplikasi dan web browser), ternyata CIMB Clicks tidak lagi dapat digunakan seperti dahulu. Kita terpaksa melalui pelbagai kesukaran ketika menggunakan CIMB Clicks. Keadaan sedemikian benar-benar mengganggu produktiviti OKU penglihatan dalam aktiviti kewangan online.

Akhirnya, setelah puas melaksanakan pelbagai eksperimen, saya telah berjaya menemui alternatif bagi CIMB Clicks yang boleh digunakan oleh OKU penglihatan. Walaupun aplikasi ini tidaklah accessible sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita yang menggunakan screen reader boleh melaksanakan transaksi online dengan sendiri tanpa perlu meminta bantuan orang celik. Setakat percubaan saya, saya berjaya memindahkan wang daripada akaun CIMB saya ke akaun CIMB isteri saya dan ke akaun Maybank saya. Semuanya dilaksanakan tanpa bantuan orang celik. Transaksi tambah nilai prepaid, pembayaran bil melalui JomPAY dan pembayaran loan dan kredit kad juga telah saya cuba. Namun, saya hanya mencuba transaksi berkenaan sehinga ke proses memasukkan nombor TAC. Sekali lagi, semua itu saya lakukan tanpa bantuan orang celik. Untuk mengetahui alternatif yang saya maksudkan, sila perdengarkan MYVICTCast di bawah.


P/S: Kredit kepada isteri saya kerana memberikan cadangan untuk perkhidmatan tersebut.


Apple AirPods – Ulasan dan Pengalaman Pengguna OKU Penglihatan


AirPods, merupakan sebuah peranti audio bluetooth yang diperkenalkan oleh Apple pada September 2016 tetapi hanya mula dipasarkan pada Disember tahun yang sama. Tidak keterlaluan jika saya katakan produk ini benar-benar inovasi yang menarik daripada pihak Apple setelah sekian lama. Saya sendiri telah menggunakan AirPods selama lebih kurang setahun, maka posting kali ini adalah berdasarkan pengalaman saya selaku pengguna OKU penglihatan.

Pandangan dalam posting ini hanyalah pandangan peribadi saya hasil daripada pengalaman menggunakan AirPods, maka ada kemungkinan pengguna lain akan memiliki pandangan dan pengalaman yang berbeza. Posting akan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kelebihan dan kekurangan, sekali gus akan menyatakan ciri-ciri yang terdapat pada AirPods.

Jika anda mahu mendengar audio demo yang telah saya hasilkan berkenaan Apple AirPods, sila klik di sini untuk mendengar MYVICTCast.


Kelebihan


  • Kualiti audio yang mantap.
  • Sebagai sebuah peranti audio bluetooth, kualiti audio yang dihasilkan oleh produk ini amat memuaskan. Secara kasarnya, kualiti audio AirPods lebih kurang sama dengan earpods berwayar yang dikeluarkan oleh Apple. Sebelum saya menggunakan AirPods, saya sudah mencuba beberapa peranti audio bluetooth daripada beberapa jenama seperti JBL, Jabra dan Bose.

    Boleh dikatakan kualiti audio yang dihasilkan oleh AirPods adalah antara yang terbaik yang pernah saya dengar bagi kategori peranti audio bluetooth. Selaku penggemar muzik dan Youtube, AirPods sememangnya memberikan kualiti bunyi yang sangat baik untuk dinikmati oleh pengguna. Saya bukanlah seorang pakar audio, tetapi setakat apa yang saya perdengarkan, bass, treble, mid-range, vokal cukup seimbang dan jelas.

  • Ketahanan bateri dan sarung pengecas.
  • Dalam sekali caj penuh, bateri AirPods boleh bertahan selama hampir 5 jam (masa mendengar) dan 2 jam (masa panggilan). Menurut pengalaman, saya dapat menggunakan AirPods selama lebih kurang 4 jam lebih apabila menerima notifikasi bateri lemah. Sekiranya saya hampir kehabisan bateri (jarang berlaku), saya hanya perlu masukkan AirPods kembali ke sarung pengecas dan biarkan dicaj selama 15 hingga 20 minit untuk mendapatkan 3 jam masa penggunaan.

    Sarung pengecas mempunyai kapasiti bateri yang mampu mengecas penuh AirPods sebanyak 5 kali. Dengan erti kata lain, AirPods mampu bertahan selama 25 jam, bermaksud anda tidak perlu bimbang akan masalah kehabisan bateri jika anda perlu berada di luar sepanjang hari. AirPods hanya mengambil masa dalam 30 minit untuk dicaj penuh manakala sarung pengecas pula mengambil masa sekitar 1 jam hingga 1 jam 30 minit untuk dicaj penuh. Sekarang anda faham kenapa saya jarang hadapi masalah kehabisan bateri AirPods. Sejujurnya, saya hanya menghadapi masalah kehabisan bateri sebanyak sekali.

  • Reka bentuk dan saiz.
  • Selaku OKU penglihatan, saya tidak dapat menilai reka bentuk AirPods secara menyeluruh. Setakat yang saya dapat komen, reka bentuk AirPods terasa sangat kukuh, padat dan ringkas dalam tangan. Saiz yang kecil juga memudahkan tujuan penyimpanan. Reka bentuk tanpa wayar juga membuatkan penggunaan AirPods amat selesa digunakan di mana-mana saja.

    Saya menggunakan AirPods sambil berbaring dan saya boleh menukar posisi baring sesuka hati tanpa merasa ketidakselesaan pada telinga. Saya juga pernah menggunakan AirPods sambil bersenam dan tidak pernah lagi setakat ini AirPods terjatuh dari telinga saya kecuali secara tidak sengaja saya tertolak dengan tangan. Kira saya bernasib baik kerana saiz dan bentuk AirPods sesuai dengan telinga saya. Sekiranya tidak sesuai, Apple tidak memberikan sebarang ekstra ear tip atau wingtip untuk saiz telinga yang berbeza. Terdapat pengguna di luar sana yang mengadu AirPods terasa longgar dan mudah terkeluar daripada telinga mereka. Namun, ada seorang pengguna AirPods yang telah menjumpai penyelesaian bagi masalah ini, sila klik di sini jika anda merupakan salah seorang yang menghadapi masalah serupa.

  • Sambungan yang efisien.
  • Terima kasih kepada cip W1 Apple, langkah menyambung AirPods dengan iPhone saya boleh dilakukan dengan efisien. AirPods juga akan secara automatik mengenali semua peranti saya yang menggunakan akaun iCloud yang sama. Untuk sambungkan AirPods ke iPhone buat kali pertama, pastikan bluetooth di iPhone dihidupkan, kemudian buka penutup sarung pengecas dan dekatkan kedua-dua peranti sehingga muncul tetingkap baru pada iPhone. Selepas itu, cari dan aktifkan butang “Connect”, lalu kita akan diminta untuk menekan butang pairing di belakang sarung bagi 2 hingga 3 saat untuk pair iPhone dan AirPods. Setelah pairing berjaya, lain kali kita mahu menyambung AirPods ke Iphone, ulang semua langkah di atas sehingga munculnya tetingkap AirPods, kemudian kita hanya perlu mengeluarkan salah satu AirPod dan pasangkan pada telinga kita untuk memindahkan audio dari iPhone ke AirPods. Satu nada akan kedengaran daripada AirPod yang dimasukkan tadi untuk menandakan audio telah berpindah ke AirPods. Akhir sekali keluarkan AirPod kedua dan masukkan ke telinga.

    Apa yang lebih menarik adalah AirPods akan automatik pause sebarang media yang sedang bermain apabila saya mengeluarkan salah satu AirPod daripada telinga. Apabila saya memasukkan kembali AirPod tadi ke dalam telinga, media tadi akan bermain semula. Fungsi ini dipanggil “Automatic Ear Detection” yang boleh diubah dalam Settings > Bluetooth > nama AirPods > Automatic Ear Detection. Kita boleh memilih untuk menghidupkan atau mematikan fungsi ini. Sambbungan bluetooth antara AirPods dan iPhone saya juga amat stabil dan setakat ini tidak pernah lagi berlaku audio drop out apabila saya menjarakkan AirPods yang sedang diguna dan iPhone selaku sumber audio. Sewaktu panggilan masuk, saya boleh menggunakan gesture ketuk dua kali pada mana-mana AirPods untuk menjawab panggilan dan menggunakan gesture yang sama untuk menamatkan panggilan.


Kelemahan


  • Kualiti microphone yang mengecewakan apabila digunakan dengan aplikasi pihak ketiga.
  • Ketika membuat panggilan telefon biasa dan Facetime, microphone AirPods dapat berfungsi dengan baik. Kualiti panggilan saya sama seperti menggunakan microphone yang ada pada iPhone. Semua yang bercakap dengan saya langsung tidak menyedari bahawa saya sedang bercakap menggunakan AirPods. Perkara ini telah memberikan saya harapan di mana saya boleh menggunakan AirPods untuk semua aktiviti audio di iPhone.

    Namun begitu, saya amat kecewa apabila menggunakan AirPods dengan aplikasi pihak ketiga seperti WhatsApp. Kualiti mesej suara yang dihantar menggunakan AirPods sangat teruk, sangat mengecewakan. Biarpun menggunakan microphone beamforming, hampir kesemua aplikasi pihak ketiga menunjukkan keputusan yang sama. Sila klik di sini untuk mendengar MYVICTCast yang menunjukkan kualiti rakaman audio yang menggunakan AirPods.

  • Ketiadaan butang fizikal untuk mengawal media.
  • Perkara ini mungkin tidak seberapa penting bagi saya tetapi mungkin satu kriteria yang sangat dititikberatkan oleh sesetengah pengguna. Tidak terdapat sebarang butang fizikal pada AirPods untuk mengawal media seperti play, pause, next/previous track. Semua kawalan tersebut boleh dilaksanakan sama ada dengan memberikan arahan suara kepada SIRI, menggunakan gesture ketuk dua kali ataupun menggunakan iPhone itu sendiri. Pada pendapat saya, kadangkala SIRI tidak dapat menerima arahan dengan baik dan ini akan membazirkan masa. Memang betul masih boleh mengawal media menggunakan iPhone, tetapi ini juga bermakna kita perlu mendapatkan iPhone yang mungkin berada dalam poket, beg dan mungkin juga diletakkan jauh daripada pengguna.

  • Sukar untuk berinteraksi dengan SIRI.
  • Seperti yang kita tahu, arahan suara perlu diberikan kepada SIRI untuk mengawal media. Sebelum memberi arahan suara, saya perlu memanggil SIRI dengan cara ketuk dua kali pada AirPods. Namun, kadangkala ketuk dua kali tidak mendatangkan apa-apa respon daripada SIRI. Sekiranya saya berada di rumah atau di tempat yang tidak ramai orang, saya akan menggunakan SIRI. Lain ceritanya apabila berada di tempat khalayak umum, saya berasa kurang selesa untuk memberikan arahan suara kepada SIRI kerana saya perlu bersuara dengan agak lantang bagi memastikan SIRI dapat mendengar arahan dengan jelas. Apatah lagi di tempat khalayak ramai, pastinya ssuasana akan lebih bising dan boleh mengganggu interaksi dengan SIRI. Pada saat inilah akan timbul fikiran “alangkah baiknya jika AirPods mempunyai butang fizikal untuk mengawal media”. Akhirnya, kita terpaksa mendapatkan iPhone semata-mata untuk mengawal media.

  • Ketiadaan noise isolation/cancellation.
  • Disebabkan reka bentuk AirPods yang open-air, bunyi sekeliling masih boleh keedengaran ketika saya menggunakan AirPods. Perkara ini boleh dilihat sebagai positif dan negatif bergantung kepada pendapat peribadi. Semasa mendengar muzik, saya masih boleh mendengar bunyi luaran. Masalah berlaku apabila persekitaran yang terlalu bising akan lebih kedengaran dan mengganggu bunyi daripada AirPods. Keesannya, saya terpaksa meningkatkan volume AirPods ke tahap yang lebih tinggi. Untuk jangka masa panjang, tindakan ini pasti tidak sihat untuk pendengaran. Oleh itu, saya biasanya akan mengubah posisi AirPods sehingga dapat mengurangkan bunyi luaran.

    Rutin harian saya adalah ulang-alik ke tempat kerja dengan menaiki MRT, sekiranya kebetulan saya duduk berdekatan sistem pengumuman dan MRT ketika itu riuh dengan penumpang, dua perkara di atas akan saya lakukan. Pada pendapat saya, Apple sekurang-kurangnya patut mereka bentuk AirPods yang boleh menghasilkan noise isolation pasif.


Maklumat Tambahan Anda Perlu Tahu


  • Isu latency pada peranti bluetooth.
  • Peranti audio bluetooth sememangnya sinonim dengan isu latency. Persoalannya, sejauh mana tahap latency untuk satu-satu peranti audio bluetooth? Pada AirPods, isu latency juga tidak terkecuali. Latency bermaksud kelewatan perpindahan data dari satu peranti ke satu peranti. Dalam kes ini, latency merujuk pada kelewatan signal audio dari iPhone ke AirPods. Sewaktu mendengar muzik dan menonton video di Youtube, isu latency tidak menjadi isu yang besar bagi saya. Namun sebaliknya berlaku apabila berkaitan penggunaan Voiceover. Saya dapat merasakan latency yang sangat ketara terutamanya apabila sedang menaip. Kelajuan menaip saya benar-benar terjejas. Seperkara lagi, AirPods tidak sesuai digunakan untuk bermain audiogames yang memerlukan respon segera/realtime.

    Saya tidak meletakkan isu ini sebagai kelemahan sebab masalah ini merupakan kelaziman bagi teknologi bluetooth. Maka, saya senaraikan di sini sebagai makluman kepada yang tidak mengetahui. Walau apapun jenama peranti audio bluetooth yang anda hendak dapatkan, isu latency ini pasti wujud. Pendek kata, AirPods saya digunakan tanpa masalah untuk mendengar muzik/audiobook, Youtube, navigate dalam iOS dan apa-apa saja aktiviti yang tidak memerlukan respon segera. Untuk menaip, saya masih juga menggunakan AirPods, cuma perlu membiasakan diri dan kadangkala saya akan menggunakan kaedah menaip handwriting. Untuk bermain audiogames pula, jika permainan audiogames yang tidak memerlukan respon realtime/segera, AirPods masih sesuai digunakan.

  • Mudah tercicir dan hilang.
  • Saya merupakan seorang yang sangat berhati-hati dengan peranti yang saya miliki. Perasaan berhati-hati lebih lagi ketika mengendalikan AirPods. Keadaan saya yang tidak mampu untuk melihat dan saiz AirPods yang kecil, sudah cukup membuat saya meningkatkan tahap berjaga-jaga. Kerisauan utama saya adalah AirPods terjatuh di kawasan khalayak ramai. Setakat ini perkara itu belum berlaku lagi. Hanya pernah berlaku sewaktu di rumah beberapa kali.

    Bermula pada iOS 10.3, fungsi find my AirPods telah diperkenalkan untuk membantu mencari AirPods yang tercicir. Anda perlu menggunakan aplikasi Find My iPhone untuk fungsi berkenaan. Melalui fungsi find my AirPods, kita boleh melihat lokasi AirPods berada dan aktifkan isyarat bunyi bagi mendengar kedudukan AirPods. Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh perdengarkan audio demo saya berkenaan AirPods, sila klik di sini untuk mendengar demonstrasi cara penggunaan find my AirPods.

  • Kos mengganti bateri, memperbaiki dan mendapatkan unit gantian.
  • Prestasi bateri yang semakin merundum saban tahun merupakan situasi yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya AirPods anda menghadapi masalah bateri yang berpunca daripada manufacturer defects dan masih dalam jaminan setahun, anda boleh menggantikan bateri baru tanpa sebarang bayaran. Bagi bateri yang prestasi berkurangan akibat daripada penggunaan dan usia bateri tapi masih dalam jaminan, anda perlu membuat bayaran sebanyak US$49 (RM194), manakala bagi AirPods yang sudah tidak mempunyai jaminan perlu membayar US$69 (RM273) untuk menukar bateri. Apple juga menyediakan unit gantian baru bagi mereka yang kehilangan salah satu AirPods atau sarung pengecas dengan bayaran US$69 (RM273) bagi setiap unit (2x AirPods dan 1x sarung pengecas). Setelah melihat harga yang diberikan, saya cuba lebih berhati-hati dalam mengedalikan AirPods saya.


Konklusi

Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan produk Apple kali ini. Kualiti audio yang cukup baik, sambungan dan penggunaan yang efisien, reka bentuk yang selesa dan mudah dibawa, sudah cukup membuatkan saya terpikat dengan AirPods. Semua kelebihan dan kelemahan di atas disenaraikan atas pendapat dan pengalaman saya dan tidak semestinya dipersetujui oleh semua individu. Dengan harga premium pada produk ini (RM849), ada baiknya anda cuba AirPods ini terlebih dahulu daripada kawan-kawan yang memiliki AirPods atau pergi ke mana-mana cawangan Apple reseller yang mempunyai unit demo.

Bagi mereka yang sedang berkira-kira untuk mendapatkan AirPods, mungkin anda boleh tunggu sehingga AirPods 2 dikeluarkan oleh Apple. Semestinya, apabila AirPods 2 masuk ke pasaran, harga bagi AirPods generasi pertama akan jatuh. Jika dilihat pada khabar angin di Macworld UK dan di TechRadar, dan di Forbes, AirPods 2 berkemungkinan dikeluarkan dalam pertengahan atau penghujung 2018 dan ada juga yang meramal pada awal tahun 2019.

Sekali lagi, jika anda ingin tahu dengan lebih lagi, boleh klik di sini untuk mendengar MYVICTCast demo Apple Airpods.


Ulasan Apple AirPods – Peranti Audio Bluetooth – MYVICTCast


Apple AirPods, produk yang menarik perhatian dunia sama ada daripada pencinta atau pembenci Apple telah diperkenalkan pada tahun 2016. Saya telah mendapat AirPods ini sebagai hadiah perkahwinan daripada tunang saya ketika itu, kini isteri saya. Gembira dan teruja, saya mahu membuat audio demo yang lengkap berkenaan AirPods. Namun, akibat masalah tertentu, saya terpaksa menangguhkan niat tersebut. Akhirnya, selepas setahun menggunakan AirPods, inilah ulasan dan pengalaman penggunaan AirPods daripada seorang OKU penglihatan.

Anda juga boleh membaca posting saya berkenaan topik AirPods dalam bentuk teks di sini.


Sila klik pada link timestamp di bawah untuk skip ke bahagian yang anda mahu dengari:

00:21 – Pengenalan dan unboxing. Menunjukkan isi kandungan kotak AirPods dan menerangkan bentuk AirPods.
10:13 – Cara pairing dan connect AirPods ke iPhone buat kali pertama.
18:06 – Cara memberi nama kepada AirPods, configure double tap gesture, membuat tetapan pada microphone dan menghidupkan atau mematikan fungsi automatic ear detection.
28:45 – Penerangan tentang bateri dari segi ketahanan dan jangka masa untuk mengecas.
32:37 – Cara memeriksa tahap bateri AirPods dan sarung pengecas.
39:14 – Mengesan AirPods yang tercicir menggunakan fungsi Find My AirPods.
49:17 – Konklusi dan memperdengarkan sampel rakaman audio yang dirakam menggunakan microphone AirPods.

Unit Baru, Refurbished atau Gantian: Ketahui Status Sebenar Peranti iOS Anda


Sewaktu membeli peranti iOS seperti iPhone, pernahkah anda tertanya-tanya sama ada peranti yang dibeli adalah sebuah unit yang benar-benar baru atau refurbished unit atau unit gantian? Jika ya, posting ini akan menjawab persoalan anda.

Untuk mengenal pasti status sebenar peranti yang dibeli, sila ikuti langkah berikut:

  • Buka Settings di homescreen.
  • Masuk ke General.
  • Kemudian, buka About.
  • Cari “Model” dan kenal pasti huruf pertama yang tertera.


Lazimnya, M, N, F, dan P merupakan antara huruf pertama yang anda akan jumpai. Setiap huruf ini mempunyai maksud yang tersendiri untuk menunjukkan status sebenar unit yang anda miliki.

  • M – Peranti ini merupakan sebuah unit yang baru dari Apple.
  • N – Unit ini merupakan sebuah unit gantian. Biasanya unit ini diberikan kepada pembeli yang mengembalikan unit baru yang bermasalah. Dengan erti kata lain, unit gantian adalah juga unit refurbished rasmi daripada Apple.
  • F – Unit yang sudah melalui proses refurbish daripada pihak ketiga.
  • P – Unit yang ditempah khas dengan engraving (ukiran laser) sewaktu pembelian.


Setelah membaca maklumat di atas, apakah status unit anda? Hasil pemeriksaan, status iPhone saya adalah, M.



Cara Backup dan Restore Peranti iOS Menggunakan iTunes Part 2 – MYVICTCast


Dalam bahagian kedua ini pula, kita akan memfokuskan cara untuk restore peranti iOS melalui iTunes. Mereka yang terlepas bahagian pertama boleh klik di sini untuk mengikuti cara melakukan backup peranti iOS ke iTunes.

Seperti biasa, diharapkan perkongsian kali ini dapat dikongsikan kepada seberapa ramai OKU penglihatan yang merupakan pengguna peranti iOS. Selamat mendengar.


Sila klik link timestamp di bawah untuk skip ke bahagian yang anda mahu dengari:

00:20 – Penerangan sebelum memulakan proses restore.
01:07 – Memulakan proses restore dengan tujuan overwrite isi kandungan yang sedia ada.
03:00 – Menutup fungsi Find My iPhone sebelum memulakan proses restore.
06:53 – Menyambung proses restore.
09:30 – Menunjukkan proses restore yang telah selesai dan konfigurasi yang perlu dilakukan sejurus selepas proses restore.
18:19 – Melakukan pemadaman semua isi kandungan iPhone (Erase all content and settings).
21:00 – Melakukan first time setup bagi iPhone yang baru atau iPhone yang telah dipadam semua isi kandungan (Erase all content and settings).
26:23 – Memulakan proses restore ke atas iPhone yang baru atau iPhone yang telah dipadam semua isi kandungan (Erase all content and settings).
32:33 – Menunjukkan proses restore yang sudah selesai.

Magic Phone Cleaner


Dalam platform iOS itu sendiri, tidak terdapat pilihan tetapan untuk membersihkan fail cache, temporary dan junk. Akibat daripada itu, kita perlu melakukan kerja-kerja pembersihan secara manual dengan beberapa kaedah. Salah satu langkah berkenaan adalah menggunakan aplikasi pihak ketiga dari App Store. Dalam posting kali ini, saya akan memperkenalkan applikasi yang diberi nama, Magic Phone Cleaner.


Ulasan Accessibility

  • Voiceover mampu membaca kesemua butang kerana kesemua butang telah dilabel.
  • Voiceover mampu membaca kesemua elemen dalam aplikasi ini. Sedikit masalah apabila kita berada dalam bahagian “Sort Files”, Voiceover hanya membaca saiz fail berkenaan, membuatkan kita tidak tahu fail mana yang dimaksudkan.
  • Navigasi menggunakan kaedah swipe dan explore by touch boleh digunakan.


Cara Penggunaan

Cara penggunaan untuk pengguna Voiceover.

  • Antaramuka aplikasi ini sangat ringkas dan mudah difahami. Sejurus dibuka, jika kita swipe hingga ke hujung kiri, kita akan menemui butang “Clean Junk”. Swipe ke kanan kita akan jumpa butang “Sort Files”. Swipe lagi ke kanan terdapat butang “remove Ads”. Seterusnya, swipe ke kanan akan membawa kita ke butang yang menunjukkan baki kapasiti ruangan peranti. Akhir sekali, swipe ke kanan akan kita temui butang “Menu”. Kesemua butang ini boleh diaktifkan dengan menyentuh dua kali pada skrin.
  • Butang Menu berfungsi untuk memaparkan pilihan butang “Feedback”, “Support”, “Share” dan “Rate”. Bahagian ini untuk kita memberikan maklum balas, rating, berkongsi aplikasi ini dengan pengguna lain dan memberikan bantuan untuk pembangunan aplikasi ini. Sentuh dua kali sekali lagi pada butang Menu akan menutup kesemua pilihan tersebut.
  • Sentuh dua kali pada butang yang memaparkan baki kapasiti ruangan peranti pula akan mengubah format kapasiti sama ada dalam bentuk peratusan atau kiraan GB.
  • Sentuh dua kali pada butang Remove Ads akan memaparkan tetingkap kecil yang memberikan tiga pilihan bayaran dengan nilai berbeza untuk membuang iklan daripada aplikasi ini.
  • Butang Sort Files pula akan menyenaraikan fail yang terdapat dalam peranti anda dari saiz yang paling besar ke paling kecil. Bertujuan untuk memaklumkan kepada kita fail yang paling banyak menggunakan ruangan peranti.
  • Butang Clean Junk, butang paling penting, berfungsi untuk memulakan proses pembersihan. Sewaktu proses pembersihan berjalan, butang “Cancel” akan muncul jika kita swipe ke kiri dari butang “Clean Junk” dan jika swipe ke sebelah kanan, akan ada peratusan proses pembersihan. Kadangkala, semasa proses pembersihan berjalan, akan terpampang tetingkap “iPhone Storage Full”, abaikan saja tetingkap berkenaan kerana tetingkap tersebut akan hilang dalam beberapa saat. Namun, jikalau muncul iklan, cuba swipe ke kanan dan cari butang “Close Advertisement”. Kalau tidak temui butang yang dimaksudkan, boleh gunakan empat jari swipe ke kanan bagi mengubah fokus kepada aplikasi sebelumnya, lalu swipe empat jari ke kiri untuk membawa fokus kembali kepada aplikasi Magic Phone Cleaner. Usai proses pembersihan, perkataan “Well done” atau “Good Job” akan terpampang. Swipe ke kanan untuk mencari jumlah kapasiti yang berjaya dibersihkan dan swipe lagi ke kanan untuk mencari butang “Next” dan sentuh dua kali untuk kembali ke muka depan aplikasi.
  • Kita boleh melakukan proses pembersihan ini berulang-ulang kali untuk membersihkan seberapa banyak kapasiti ruangan yang boleh. Lebih banyak kita ulang langkah pembersihan di atas, lebih banyak ruangan kapasiti yang dapat dibersihkan.


Muat Turun

Sila baca maklumat aplikasi dan muat turun di sini.

Cara Backup dan Restore Peranti iOS Menggunakan iTunes Part 1 – MYVICTCast


iTunes sering digunakan oleh pengguna peranti iOS untuk memasukkan ringtone dan muzik ke dalam peranti iOS. Namun, ramai yang terlepas pandang satu lagi fungsi iTunes yang amat penting iaitu fungsi backup dan restore. Teknologi yang semakin pesat membolehkan pelbagai benda dilakukan secara tanpa wayar, termasuklah melakukan backup dan restore di peranti iOS dengan menggunakan iCloud. Kemudahan ini membuatkan ramai yang mengabaikan iTunes dan lebih memilih iCloud. Secara tidak langsung, ramai yang terlepas manfaat yang boleh diperolehi menerusi backup dan restore menggunakan iTunes. Lantaran itu, audio tutorial ini dihasilkan untuk menjadi panduan bagi pengguna peranti iOS khususnya golongan OKU penglihatan yang tidak jelas cara melakukan backup untuk peranti iOS menggunakan iTunes.

Audio tutorial ini akan dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama akan memfokuskan pada cara melakukan backup dan bahagian kedua pula menunjukkan cara melakukan restore. Dalam audio tutorial ini, saya akan menggunakan:

  • Windows 10 versi 1703
  • NVDA versi 2017.4
  • iTunes versi 12.7.1

Selamat mendengar dan harap tutorial ini dapat membuka mata anda untuk melihat kelebihan melakukan backup dan restore menggunakan iTunes.


Sila klik link timestamp di bawah untuk skip ke bahagian yang anda mahu dengari:

00:19 – Pengenalan.
02:53 – penerangan berkenaan backup sebelum bermula, dan cara mengelakkan peranti iOS sync secara automatik ke iTunes.
06:57 – Memulakan proses backup menggunakan iTunes, menerangkan fungsi butang Restore iPhone, mengubah jenis backup dari iCloud ke iTunes dan menerangkan fungsi Encrypt iPhone Backup.
14:09 – Menunjukkan proses backup yang sudah selesai dan cara memeriksa senarai backup yang telah dibuat ke iTunes.

Ulasan Aksesibility dan Fungsi Baru iPhone X – MYVICTCast

Kami di MYVICT yakin pasti ramai peminat Apple yang ternanti-nanti produk terbaru daripada Apple iaitu iPhone X/10. Penggunaan Face ID, skrin OLED paparan penuh, ketiadaan butang “Home”, semua ini antara faktor penarik bagi iPhone X. Kita selaku OKU penglihatan juga tidak mahu ketinggalan untuk mengetahui dan merasai perubahan besar pada iPhone generasi terbaru ini. Antara persoalan yang kerap ditanyakan berkenaan iPhone X oleh OKU penglihatan, “Bagaimana untuk aktifkan Voiceover kalau butang Home sudah tiada? Macam mana orang buta mahu manfaatkan fungsi Face ID?” Untuk menjawab semua persoalan yang bersarang di minda, sila ikuti ulasan di bawah oleh Doctor Gadget.


Kredit kepada: Doctor Gadget

Spesifikasi iPhone X, iPhone 8 Plus, dan iPhone 8


Apple melancarkan tiga model iPhone baru pada acara tahunan baru-baru ini, di mana iPhone X menjadi tumpuan bersempena 10 tahun pelancaran iPhone. Dengan ini, berikut adalah spesifikasi iPhone bagi ketiga-tiga model yang dilancarkan.


Persamaan iPhone X, iPhone 8 Plus, dan iPhone 8

  1. Kesemua model iPhone ini hadir dengan iOS 11.
  2. Tahap kalis air pada iPhone X, iPhone 8 Plus, dan iPhone 8 adalah IP67
  3. Ketiga-tiga peranti ini menyokong fungsi fast charging dan pengecasan tanpa wayar dengan format Qi. Namun agak mengecewakan kerana aksesori yang berasingan perlu dibeli.
  4. Processor pada kesemua telefon ini ialah A11 Bionic enam teras dengan sokongan architecture 64-bit dan M10 motion coprocessor.
  5. iPhone tahun ini hanya didatangkan dengan pilihan storan 64GB dan 256GB sahaja.
  6. Masing-masing menyokong fungsi NFC untuk Apple Pay, serta menggunakan Bluetooth 5.0
  7. Kesemua iPhone pada tahun ini tidak mempunyai 3.5MM headphone jack, sama seperti iPhone 7 dan iPhone 7 Plus tahun lepas.


Spesifikasi iPhone X, iPhone 8 Plus, dan iPhone 8


Spesifikasi iPhone 8 iPhone 8 Plus iPhone X
Sais 5.45 x 2.65 x 0.29 inci 6.24 x 3.07 x 0.30 inci 5.65 x 2.79 x 0.30 inci
Skrin 4.7-inci LCD dengan sokongan Retina HD 5.5-inci LCD dengan sokongan Retina HD Skrin Nirbingkai 5.8-inci OLED Super Retina HD display
Resolusi 1,334 x 750 pixels (326 pixels-per-inch) 1,920 x 1,080 pixels (401 ppi) 2,436 x 1,125 pixels (458 ppi)
Berat 148G 202G 174G
RAM 2GB 2GB 3GB
Kapasiti Bateri 1821mAH 2675mAh 2716mAh
Kamera 12 megapixel kamera belakang dengan sokongan penstabilan imej optikal, 7 megapixel kamera depan 12 megapixel (f/1.8 dan f/2.8) dengan sokongan penstabilan imej optikal, 7 megapixel kamera depan 12 megapixel (f/1.8 dan f/2.4) dengan sokongan penstabilan imej optikal, 7 megapixel kamera depan dengan sokongan TrueDepth
Pengimbas Cap Jari Touch ID Touch ID Tiada, digantikan dengan Face ID
Lain-lain Sensor Barometer, 3-axis gyro, accelerometer, proximity sensor, ambient light sensor Barometer, 3-axis gyro, accelerometer, proximity sensor, ambient light sensor Depth sensors, barometer, 3-axis gyro, accelerometer, proximity sensor, ambient light sensor
Warna Gold, silver, dan space gray Gold, silver, dan space gray Silver dan Space Grey sahaja


Untuk pengetahuan para pembaca, iPhone X, iPhone 8 Plus serta iPhone 8 telah mendapat pensijilan SIRIM di Malaysia, satu petanda bahawa ia akan berada di pasaran tempatan tidak lama lagi. Ketiga-tiga model untuk pasaran Malaysia akan menggunakan modem daripada pihak Intel, dan bukannya Qualcomm. Model bagi ketiga-tiga telefon yang akan dijual di Malaysia pula adalah seperti berikut:


  • iPhone X – A1901
  • iPhone 8 Plus – A1897
  • iPhone 8 – A1905


Pembaharuan Accessibility Dalam iOS 11


iOS 11 baru saja dilancarkan secara rasmi pada 20 September yang lalu. bagi pengguna iPhone 5S dan keatas, iPad generasi kelima dan keatas, serta iPod Touch generasi keenam, anda sudah boleh menyemak kemaskini iOS sekiranya belum mendapat notifikasi untuk naiktaraf. Pelbagai perubahan telah dijanjikan semasa Apple memperkenalkan iOS 11 pada acara WWDC bulan Jun 2017. Namun demikian, tulisan kali ini hanya akan memberi tumpuan terhadap perubahan dari segi accessibility, terutamanya kepada pengguna voice Over serta pengguna-pengguna yang rabun.


Penemuan ini bukanlah 100 peratus lengkap, oleh itu, sekiranya ada yang tertingal, kami amat mengalu-alukan komen daripada para pembaca.


Voice Over:

Antara Perubahan yang telah dilakukan pada Voice over ialah seperti berikut:


Drag and Drop Apps

Pada tahun lepas, iOS 10 telah dilengkapi ciri untuk memudahkan pengguna Voice Over memindahkan apps dengan lebih mudah dari satu skrin ke skrin yang lain. dalam perubahan kali ini, sedikit penambahbaikan telah dilakukan, membolehkan pelbagai apps dipindah secara serentak. Untuk mengaktifkan “edit mode”, pengguna voice Over perlu “double tap” dan tahan pada mana-mana bahagian di skrin. Sekiranya anda tidak melakukan apa apa dalam tempoh 30 saat, edit mode akan terpadam dengan sendirinya.


Ketika sudah berada di dalam edit mode, cari aplikasi yang hendak dipindahkan, dan gunakan satu jari untuk swipe ke bawah. Anda akan mempunyai pilihan untuk “drag” aplikasi tersebut untuk dipindahkan ke tempat lain. Sekiranya anda telah “drag” sesuatu aplikasi, ia akan hilang daripada kawasan tersebut buat sementara waktu, sehingga anda meletakkannya di tempat lain ataupun keluar daripada edit mode. Anda juga boleh menambahkan aplikasi yang lain ke dalam “drag session” dan memindahkan beberapa aplikasi secara serentak atau mencipta folder bagi mengkategorikan beberapa aplikasi yang telah dibawa ke dalam “drag session”. Di samping itu, anda boleh “drag” sesuatu fail yang terdapat dalam aplikasi Files dan meletakkannya ke dalam email untuk dijadikan sebagai lampiran.


Cari Ejaan Yang Salah

Jika anda sering menggunakan iPad atau iPhone untuk kerja-kerja penulisan, ada masanya anda perlu menyemak tulisan anda untuk membetulkan sebarang kesilapan pada ejaan. Perkara ini agak sukar dilakukan bagi pengguna voice Over, kerana tiada cara lain yang anda boleh gunakan untuk terus melompat ke perkataan yang ditandakan dengan garisan merah. Namun pada iOS 11, fungsi “read misspelled word” telah ditambahkan bagi memudahkan anda bergerak dari satu perkataan ke perkataan lain yang ditandakan dengan garisan merah. Untuk menggunakan fungsi ini, apabila papan kekunci telah terpapar di skrin, pusing roter sehingga anda menjumpai “Misspelled words”, dan swipe menggunakan satu jari ke bawah untuk melihat perkataan-perkataan yang silap ejaannya.


Alt Text Pada Gambar

Seperti fungsi yang terdapat pada Facebook, iOS 11 turut memperkenalkan fungsi ALT text yang membolehkan anda mengetahui tentang sesuatu gambar. Fungsi ini membolehkan Voice Over memberikan diskripsi pada gambar, ataupun membaca teks yang terkandung pada gambar tersebut. Untuk menggunakan fungsi ini, fokus kepada sesuatu gambar, kemudian tap sekali pada skrin dengan menggunakan tiga jari. Anda perlu memastikan screen curtain telah dimatikan terlebih dahulu agar fungsi ini dapat digunakan. Cara menutup dan membuka screen curtain adalah tap tiga kali dengan tiga jari. Walaubagaimanapun, daripada cubaan kami, fungsi ini masih tidak begitu stabil, kerana kadangkala terdapat gambar yang berbentuk teks, tetapi teks tersebut tidak dapat dibaca oleh Voice Over.


Verbosity Option

Pelbagai tetapan baru diperkenalkan dalam verbosity option bagi membolehkan pengguna mengawal informasi yang disebut oleh Voice Over. Antara tetapan yang boleh dikawal adalah:

  1. “Punctuations”, menetapkan sama ada anda inginkan Voice Over membaca semua, sebahagian, ataupun tidak membaca apa-apa tanda baca.
  2. “media Descriptions”, membolehkan anda membaca captions dan subtitles dalam bentuk Braille ataupun melalui Voice Over.
  3. “Tables”, bagi menentukan sama ada maklumat seperti lajur dan baris jadual disebut ataupun tidak.
  4. Menentukan kaedah Voice Over membaca elemen seperti huruf besar, pautan, ataupun ketika memadam teks.
  5. “Speak Detected Text” membolehkan Voice Over membaca terus perubahan pada elemen yang sedang difokuskan.
  6. Kebolehan mengawal tinggi atau rendah nada suara pada Voice Over.


Pembaharuan Bagi Pengguna Rabun

iOS 11 turut membawa beberapa kemaskini khusus untuk memudahkan lagi pengguna yang rabun menggunakan peranti mereka. Pembaharuan ini tertumpu kepada elemen-elemen seperti:


  1. Elemen visual, seperti ketebalan tulisan, Font dan warna.
  2. penambahbaikan ketika menggunakan fungsi Zoom.
  3. Smart Invert, yang berfungsi untuk menukar warna pada icon-icon tertentu bagi mewujudkan perbezaan, sekaligus memudahkan pengguna rabun membezakan objek.
  4. Penambahbaikan pada Magnifier untuk berfungsi pada keadaan cahaya terang, serta fokus yang lebih baik terhadap teks atau objek yang kecil.




Lain-lain Perubahan:

Antara lain perubahan accessibility yang boleh didapati pada iOS 11 ialah:


  1. Type to Siri, membolehkan anda menaip teks sekiranya hendak berinteraksi dengan siri. Untuk menggunakan fungsi ini, anda boleh ke halaman Settings> General> Accessibility> Siri, kemudian aktifkan “Type to Siri”. Jika fungsi ini diaktifkan, setiap kali anda menghidupkan siri, papan kekunci akan terpapar pada skrin untuk membolehkan anda terus menaip bagi berinteraksi dengan Siri. Sebagai langkah alternatif, anda juga boleh menaip pada Braille Display untuk berinteraksi dengan Siri. Jika Anda ingin berinteraksi melalui percakapan setelah mengaktifkan “Type to Siri”, gunakan fungsi “Hey Siri”.

  2. “Accessibility Control” kini boleh ditambah ke dalam control center. Untuk menambahkan beberapa fungsi accessibility yang sering digunakan pada Control Center, pergi ke Settings> Control Center> Customize, dan pilih fungsi yang ingin digunakan, seperti Magnifier, “text size”, “Accessibility Shortcuts”, dan sebagainya.

  3. Menjawab panggilan secara automatik. Untuk menggunakan fungsi ini, sila ke Settings>General>Accessibility>Call Audio Routing>Auto Answer Calls, dan tetapkan masa di antara 0 hingga 60 saat untuk telefon anda menjawab panggilan secara automatik. Walaubagaimanapun, anda masih boleh menolak sebaarang panggilan masuk sebelum ia dijawab secara automatik.



  4. Pepijat Yang Dikenalpasti:

    Walaupun telah terdapat penambahbaikan mahupun fungsi baru pada iOS yang mengkhusus kepada accessibility, masih terdapat beberapa pepijat yang telah dikenalpasti oleh para pengguna iOS 11. Antara pepijat yang agak ketara dapat dilihat pada:


    • Cela masa ataupun lag pada Voice Over menjadikan ia kadangkala kurang responsif apabila berada dalam suatu aplikasi. Bagi mengatasi masalah ini, anda boleh menggunakan command untuk menyahaktifkan suara Voice Over dan mengaktifkannya semula. Sekiranya Voice Over masih gagal berfungsi, sila padam dan buka semula Voice Over.
    • Smart Invert yang kadangkala tidak begitu tepat dalam mewujudkan kontra warna, menyebabkan mereka yang mempunyai masalah buta warna sukar mengenal icon atau objek yang dipaparkan.
    • bagi pengguna Braille, sekiranya anda menaip terlalu pantas, terdapat masalah sesetengah huruf yang akan hilang. Kemaskini: Masalah ini dipercayai telah diselesaikan pada iOS 11.0.1 yang dikeluarka seminggu selepas pelancaran iOS 11.
    • Masalah focus cursor yang tidak tepat bagi pengguna Braille ketika menyunting teks




    Kesimpulan

    Penambahbaikan dari sudut accessibility yang telah dilakukan pada iOS adalah satu usaha berterusan yang patut disokong, agar pengguna peranti yang bermasalah penglihatan dan pendengaran dapat terus menggunakan sistem operasi ini dengan sebaik mungkin. Walaubagaimanapun, kami mengharapkan agar masalah yang telah dikenalpasti akan diperbaiki apabila Apple mengeluarkan kemaskini iOS 11 yang akan datang. Bagi anda yang masih berfikir sama ada hendak naik taraf atau tidak, mungkin anda boleh meneliti sama ada masalah yang sedia ada ini akan memberi impak kepada aktiviti seharian anda.

    Untuk menaiktaraf ke iOS 11, anda boleh gunakan kaedah Over-The-Air (OTA) di bahagian Settings> General> Software Update, ataupun menaiktaraf dengan menggunakan iTunes dengan mengikuti langkah di posting ini.