Menangani Masalah Jangkitan Virus Shortcut dan Fail yang Disembunyikan oleh Virus

Jangkitan virus merupakan perkara yang paling ditakuti oleh ramai pengguna. Acap kali kita dengari masalah jangkitan virus yang mengakibatkan permasalahan berikut:

  • Fail yang disimpan secara tiba-tiba hilang tetapi ruangan simpanan masih kelihatan seperti digunakan.
  • Munculnya banyak fail dengan nama-nama pelik.
  • Fail asal bertukar menjadi shortcut apabila diaktifkan.


Kesemua simptom di atas merupakan simptom paling biasa berlaku kepada kebanyakan pengguna pendrive dan external hard disk. Ramai yang tidak tahu akan hanya pasrah dengan kehilangan/kerosakan fail dan cenderung bertindak memformat pendrive atau external hard disk mereka. Sebenarnya, dengan sedikit ilmu command prompt, anda boleh menyelesaikan permasalahan di atas, sekali gus menyelamatkan fail berharga yang disimpan. Sebelum anda menggunakan kaedah command prompt di bawah, dinasihatkan anda untuk melakukan scan dan pembersihan dengan mana-mana perisian anti virus/anti malware.


Perhatian: Sesiapa yang kurang biasa dengan command prompt, sila berhati-hati ketika mengikuti arahan di bawah. Dalam contoh di bawah, kita andaikan sedang menggunakan pendrive, namun caranya tetap sama bagi external hard disk.



Langkah 1

Pasang pendrive yang dijangkiti ke komputer, lalu kenal pasti huruf bagi pendrive berkenaan contohnya, f: atau g:.



Langkah 2

Tekan butang Windows untuk membuka search edit box, kemudian taip: cmd.exe lalu tekan ctrl+shift+enter untuk membuka command prompt sebagai administrator.



Langkah 3

Sesudah command prompt administrator terbuka, kita perlu membawa fokus destinasi kepada pendrive yang dijangkiti. Seperti dalam langkah pertama, taip huruf drive bagi pendrive anda seperti berikut: f: dan tekan enter.



Langkah 4

Sekarang untuk membersihkan pendrive anda, sila taip command berikut: attrib -s -r -h *.* /s /d dan tekan enter. Proses pembersihan akan mengambil masa beberapa saat. Sesudah selesai, untuk keluar dari command prompt taip command berikut: exit dan tekan enter. Sekarang anda boleh buka pendrive dan lihat keadaan fail yang disimpan sudah kembali seperti biasa. Anda dinasihatkan untuk memindahkan semua fail tersebut ke komputer dan format pendrive berkenaan.


Diharap posting kali ini akan membantu anda di luar sana untuk menyelamatkan fail peribadi yang berharga daripada menjadi mangsa virus. Namun demikian, kaedah command prompt bukanlah penyelesaian bagi semua ancaman virus, anda masih perlu memasang perisian anti virus dalam komputer.

Tingkatkan Keselamatan WhatsApp Melalui Pengesahan Dwi-Faktor


Sejak kebelakangan ini, pihak WhatsApp aktif menambah sejumlah fungsi baru pada perkhidmatan mereka. Salah satu fungsi yang turut diambil berat adalah berkaitan dengan keselamatan. Jika anda merasakan penggunaan SMS untuk mengesahkan akaun WhatsApp tidak memadai, kini anda boleh mengaktifkan fungsi pengesahan dwi-faktor yang telah diperkenalkan secara umum kepada semua pengguna WhatsApp di platform Android dan iOS. Melalui pengesahan dwi-faktor, anda tidak perlu risau sekiranya kehilangan kad sim ataupun telefon, kerana akaun WhatsApp anda tidak boleh diakses dengan mudah tanpa kata laluan yang sah.


Untuk mengaktifkan fungsi pengesahan dwi-faktor pada WhatsApp, sila masuk ke bahagian settings pada WhatsApp, kemudian masuk account, dan pilih Two Step Verification. Proses untuk mengaktifkannya tidaklah begitu sukar. Anda hanya akan diminta untuk memasukkan enam digit nombor pin dan alamat e-mel. Sila pastikan anda memasukkan alamat e-mel yang betul agar anda dapat menetapkan semula pin tersebut sekiranya anda terlupanya.


Apabila fungsi pengesahan dwi-faktor telah diaktifkan, WhatsApp akan meminta anda untuk memasukkan enam digit kata laluan dari semasa ke semasa bagi memastikan bahawa anda adalah pemilik yang sah bagi akaun tersebut. Sekiranya anda terlupa kata laluan tersebut, anda akan dihalang daripada mengakses akaun WhatsApp untuk tempoh 7 hari. Selepas tamat tempoh halangan tersebut, anda boleh mengesahkan semula nombor telefon anda untuk mengakses WhatsApp tanpa kata laluan tersebut, tetapi segala mesej yang belum dibaca akan dipadam.


Cara Mendapatkan Katalaluan Wifi Pada Windows 10



terlupa katalaluan merupakan suatu perkara yang dihadapi oleh para pengguna teknologi, apatah lagi katalaluan yang jarang digunakan. Salah satu daripadanya ialah katalaluan WiFi, yang kebiasaannya hanya perlu dimasukkan sekali sahaja. Namun begitu, tahukah anda bahawa katalaluan WiFi yang telah dimasukkan ke dalam komputer boleh didapatkan semula sekiranya kita terlupa akan katalaluan tersebut.


Cara yang akan ditunjukkan pada posting kali ini adalah untuk mendapatkan kembali katalaluan WiFi pada komputer dengan menggunakan windows 10. Sekiranya anda terlupa katalaluan yang telah dimasukkan ke komputer windows 10, ikuti langkah berikut untuk mendapatkannya.

  1. Tekan Windows key +X, kemudian pilih Command Prompt (Admin).
  2. Di dalam command Prompt, masukkan command seperti berikut:
  3. netsh wlan show profile

    kemudian tekan enter.

  4. Command ini akan menunjukkan semua rangkaian Wifi yang pernah digunakan pada komputer tersebut.
  5. Untuk mendapatkan katalaluan bagi sesuatu WiFi, masukkan command seperti berikut, kemudian tekan enter. Sila gantikan “Network name” dengan nama WiFi anda.
  6. netsh wlan show profile “Network name” key=clear



Katalaluan bagi nama WiFi tersebut akan dipaparkan pada bahagian key content yang ditunjukkan pada command prompt. Sekarang, anda bolehlah salin katalaluan tersebut untuk digunakan pada peranti lain yang memerlukan sambungan ke Wifi tersebut.


Selamat mencuba dan semoga berjaya.

Kebocoran Data Pada Yahoo! Melibatkan 500 Juta Pengguna


Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Yahoo! pada hari ini, mereka telah mengesahkan bahawa sejumlah besar data pengguna telah tertiris akibat penggodaman rangkaian mereka pada tahun 2014. Laporan tersebut menyatakan bahawa sebanyak 500 juta akaun pengguna yang terlibat. Antara data yang dicuri termasuklah nama, alamat emel, kata laluan, nombor telefon, dan soalan keselamatan.


Pihak yahoo! berkata mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini. Walaupun kata laluan yang diperolehi telah dilindungi, Yahoo! menasihatkan pengguna yang tidak pernah menukar katalaluan sejak tahun 2014 untuk menukar katalaluan mereka dengan segera. Mereka juga telah menyediakan satu halaman FAQ khusus untuk pengguna Yahoo!.


Penggodaman rangkaian Yahoo! ini merupakan penggodaman yang terbesar di dunia setakat ini. Sebelum ini, penggodaman paling besar berlaku pada MySpace pada tahun 2008 melibatkan kira-kira 360 juta akaun pengguna. Linked In juga pernah menerima nasib yang sama apabila sejumlah 167 juta akaun pengguna telah digodam pada tahun 2012. Namun begitu, bagi kes Linked In, data pengguna tersebut hanya mula disebarkan pada tahun ini. Pada tahun 2013 pula, syarikat Adobe digodam dan sejumlah 153 juta akaun pengguna terjejas. Data yang diperolehi termasuklah alamat emel, nama pengguna, dan kata laluan.


Kejayaan para penggodam memecah masuk rangkaian sesuatu laman web adalah perkara yang merisaukan, lebih-lebih lagi, kebanyakkan pengguna Internet cenderung untuk menggunakan katalaluan yang sama untuk beberapa laman web. Oleh itu, kejayaan mendapatkan emel dan katalaluan Yahoo! misalnya memungkinkan akaun pada laman web lain turut diceroboh. Kepada pembaca MYVICT, kami nasihatkan agar anda sentiasa menggunakan katalaluan yang selamat. Elakkan daripada menggunakan katalaluan yang terlalu mudah untuk diteka seperti abc123456. Sebaik-baiknya, gunakan katalaluan yang berbeza daripada katalaluan emel untuk perkhidmatan kewangan seperti Bank dan PayPal.