iPhone- Personal Hotspot Melalui USB Tidak Berfungsi


Ramai pengguna iPhone pasti pernah menghadapi isu personal hotspot melalui USB yang tidak berfungsi di komputer. Personal hotspot melalui USB bermakna anda menggunakan iPhone sebagai sumber data internet dengan menyambungkan iPhone ke komputer menggunakan kabel lightning. Kadangkala, personal hotspot melalu USB tidak dapat berfungsi seperti yang diharapkan. Terlebih dahulu, sila cuba beberapa kaedah di bawah untuk mengatasi masalah ini:


P/S: Arahan dalam semua kaedah di bawah adalah menggunakan papan kekunci bagi memudahkan pengguna pembaca skrin untuk mengikuti. Kaedah berikut juga diberi berdasarkan platform Windows 10 versi 1703 dan pembaca skrin NVDA 2017.3.


  • Pastikan sambungan iPhone ke komputer melalui kabel lightning kukuh, dengan erti kata lain, pastikan kabel lightning tidak rosak.
  • Cuba restart komputer dan iPhone dan sambungkan semula.
  • Pastikan anda sedang menggunakan iTune versi terkini.


Sekiranya sudah mencuba semua kaedah di atas tetapi masih gagal, berkemungkinan besar Apple Mobile Device Ethernet Driver tidak terpasang. Sebelum mencuba kaedah di bawah, pastikan iphone masih tersambung ke komputer dengan kabel dan pastikan personal hotspot terpasang melalui USB. Sila ikuti kaedah berikut:

  • Pada papan kekunci, tekan butang Windows+R, run dialogue box akan terbuka. Dalam petak run, taip: devmgmt.msc dan tekan enter, Device Manager akan terbuka.
  • Tekan tab sekali ke senarai devices, kemudian tekan anak panah bawah cari “Network Adapters”. Selepas itu, tekan anak panah kanan untuk membuka senarai driver network, lalu tekan anak panah bawah untuk mencari “Apple Mobile Device Ethernet”. Sekiranya tidak ditemui, maka anda perlu memasang driver berkenaan.
  • Tekan anak panah kiri untuk kembali ke “Network Adapters” sehingga anda dengar pembaca skrin menyebut collapse. Seterusnya, tekan anak panah bawah untuk mencari “Other Devices”, lalu tekan anak panah kanan dan tekan anak panah bawah untuk mencari “iPhone”. Sekarang tekan butang application atau right click dan cari “Update driver” dan tekan butang enter. Satu tetingkap Update driver – iPhone akan terbuka.
  • Tekan tab cari “Browse my computer for driver software Locate and install driver software manually” dan tekan enter. Satu tetingkap kecil akan terbuka, tekan tab dan cari “browse button” dan tekan enter. Satu lagi tetingkap kecil akan terbuka untuk kita mencari lokasi driver berkenaan.
  • Pada asalnya, pembaca skrin akan fokus pada OK button, maka tekan shift+tab sehingga anda dengar “Select the folder that contains drivers for your hardware, tree view”. Kita akan berada pada tree view, maka tekan anak panah atas atau bawah atau kiri atau kanan untuk mencari lokasi folder berkenaan: C:\Program Files\Common Files\Apple\Mobile Device Support\NetDrivers dan tekan enter setelah berjaya menemui folder “NetDrivers”. Fokus pembaca skrin akan kembali ke tetingkap kecil pertama.

  • Di sini, tekan tab cari “Next button” dan tekan enter, proses pemasangan akan bermula. Sesudah selesai, fokus akan terus berada di tetingkap yang sama sehingga munculnya “Close button, completes the wizard”. Jika ingin lebih kepastian, tekan NVDA key/Jaws key + B untuk membaca keseluruhan tetingkap, anda akan menemui teks berikut: “Windows has successfully updated your drivers. Windows has finished installing the drivers for this device: Apple Mobile Device Ethernet Close”. Tekan saja enter pada butang Close dan anda akan dibawa kembali ke tetingkap Device Manager.
  • Biasanya, fokus akan berada pada driver Apple Mobile Device Ethernet yang baru saja dipasang. Kebiasaannya, selepas dipasang driver ethernet ini akan terus berfungsi dan anda akan dapat melihat network status di system tray akan menunjukkan sambungan network melalui iPhone.
  • Akhir sekali, ada baiknya anda pastikan driver dalam keadaan enable. Masuk semula ke Device Manager, pergi ke Network Adapters, dan cari Apple Mobile Device Ethernet dan tekan butang application, tekan anak panah bawah dan pastikan adanya tertulis “Disable device”, ini bermakna driver berada dalam keadaan enable. Sekiranya tertulis “Enable device”, maka tekan enter pada pilihan tersebut untuk menjalankan driver ethernet berkenaan.


Semoga semua kaedah yang diberikan di atas akan membuahkan hasil.


Menangani Masalah Jangkitan Virus Shortcut dan Fail yang Disembunyikan oleh Virus

Jangkitan virus merupakan perkara yang paling ditakuti oleh ramai pengguna. Acap kali kita dengari masalah jangkitan virus yang mengakibatkan permasalahan berikut:

  • Fail yang disimpan secara tiba-tiba hilang tetapi ruangan simpanan masih kelihatan seperti digunakan.
  • Munculnya banyak fail dengan nama-nama pelik.
  • Fail asal bertukar menjadi shortcut apabila diaktifkan.


Kesemua simptom di atas merupakan simptom paling biasa berlaku kepada kebanyakan pengguna pendrive dan external hard disk. Ramai yang tidak tahu akan hanya pasrah dengan kehilangan/kerosakan fail dan cenderung bertindak memformat pendrive atau external hard disk mereka. Sebenarnya, dengan sedikit ilmu command prompt, anda boleh menyelesaikan permasalahan di atas, sekali gus menyelamatkan fail berharga yang disimpan. Sebelum anda menggunakan kaedah command prompt di bawah, dinasihatkan anda untuk melakukan scan dan pembersihan dengan mana-mana perisian anti virus/anti malware.


Perhatian: Sesiapa yang kurang biasa dengan command prompt, sila berhati-hati ketika mengikuti arahan di bawah. Dalam contoh di bawah, kita andaikan sedang menggunakan pendrive, namun caranya tetap sama bagi external hard disk.



Langkah 1

Pasang pendrive yang dijangkiti ke komputer, lalu kenal pasti huruf bagi pendrive berkenaan contohnya, f: atau g:.



Langkah 2

Tekan butang Windows untuk membuka search edit box, kemudian taip: cmd.exe lalu tekan ctrl+shift+enter untuk membuka command prompt sebagai administrator.



Langkah 3

Sesudah command prompt administrator terbuka, kita perlu membawa fokus destinasi kepada pendrive yang dijangkiti. Seperti dalam langkah pertama, taip huruf drive bagi pendrive anda seperti berikut: f: dan tekan enter.



Langkah 4

Sekarang untuk membersihkan pendrive anda, sila taip command berikut: attrib -s -r -h *.* /s /d dan tekan enter. Proses pembersihan akan mengambil masa beberapa saat. Sesudah selesai, untuk keluar dari command prompt taip command berikut: exit dan tekan enter. Sekarang anda boleh buka pendrive dan lihat keadaan fail yang disimpan sudah kembali seperti biasa. Anda dinasihatkan untuk memindahkan semua fail tersebut ke komputer dan format pendrive berkenaan.


Diharap posting kali ini akan membantu anda di luar sana untuk menyelamatkan fail peribadi yang berharga daripada menjadi mangsa virus. Namun demikian, kaedah command prompt bukanlah penyelesaian bagi semua ancaman virus, anda masih perlu memasang perisian anti virus dalam komputer.

Spesifikasi Audio USB-C Diperkenalkan, Bicu 3.5MM Bakal Lenyap


Jika sebelum ini iPhone 7 dan 7+ telah membuang bicu audio 3.5MM, baru-baru ini, USB Implementers Forum (USB-IF) mengumumkan bahawa spesifikasi audio berasaskan USB-C telahpun siap. Ia dikenali dengan nama rasmi “USB Audio Device Class 3.0 specification” yang merupakan garis panduan untuk membolehkan audio diimplementasikan menggunakan USB-C. Pihak USB-IF berharap spesifikasi yang baru akan menjadi penyelesaian utama untuk semua peranti audio digital, termasuk fon telinga, peranti mudah alih, docking station, dan VR.


Spesifikasi baru audio menggunakan USB Type-C ini mampu mengurangkan penggunaan tenaga pada peranti, selain dilengkapi dengan ciri lain seperti “hotword detection”. Selain itu, pihak USB-IF juga menyatakan bahawa penyaluran audio melalui USB-C mampu mengurangkan ruang peranti sebanyak 1MM. Walaupun pengurangan ini tidak ketara, ia penting pada masa kini kerana peranti yang dihasilkan semakin nipis dan setiap ruang harus dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Menurut pihak USB-IF lagi, dengan menghapuskan bicu audio 3.5MM dan menggantikannya kepada USB-C juga bermakna ia akan menjadi lebih mudah untuk merekabentuk peranti kalis air.


Sememangnya ketiadaan bicu audio 3.5MM pada iPhone generasi baru dan beberapa telefon lain seperti Lenovo Moto Z dan LeEco merupakan satu kemajuan yang masih menjadi kontroversi. Namun begitu, dengan adanya spesifikasi rasmi audio untuk USB Type-C, ia mungkin tidak lama sebelum fon telinga USB-C menjadi standard yang digunakan oleh kebanyakkan pengeluar pada masa akan datang. Perubahan ini bukan saja menjejaskan peranti mudah alih, tetapi bakal diadaptasi untuk semua peranti yang menggunakan speaker ataupun fon telinga. Mungkin perubahan ini mengambil sedikit masa sebelum bicu audio 3.5MM hilang selama-lamanya, tetapi ia pasti terasa seperti perubahan ini akan datang.


Bagi mereka yang masih tertanya-tanya apakah itu USB Type-C, USB Type-C merupakan generasi baru USB yang diperkenalkan sekitar Ogos 2014 bagi menggantikan USB 3.0. USB-C mempunyai beberapa kelebihan, antaranya termasuklah kebolehan memindah data yang lebih laju sehingga 10gbps. Selain itu, salah satu masalah yang sering dihadapi ialah apabila kita ingin menyambungkan USB, kita perlu memastikan arah penyambungan yang betul. Perkara ini akan diatasi melalui USB-C, dimana kita boleh menggunakan kedua-dua arah USB dan menyambungnya sahaja tanpa melihat bahagian penyambung.